Saturday, July 11, 2009

Kritikan Dr M pandangan peribadi

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun sering mengkritik dasar kerajaan, ia tidak bermakna beliau tidak menyokong pentadbiran kerajaan.

Katanya, kritikan terhadap dasar kerajaan adalah pandangan peribadi dan beliau berhak berbuat demikian.

"Banyak perkara (dasar) saya tidak bersetuju, tetapi itu pandangan peribadi. Saya berhak mempunyai pandangan sendiri tetapi itu tidak bermakna saya tidak menyokong kerajaan," katanya ketika diminta mengulas pentadbiran 100 hari kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif 1Malaysia yang diadakan secara tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak boleh membuat penilaian terhadap pentadbiran Najib dalam tempoh 100 hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu kerana belum membuat kajian mengenainya.

Namun, katanya, dalam tempoh berkenaan Najib berjaya menonjolkan imej positif dengan sikap mesra dalam usaha menyelami masalah rakyat .

"Dia berjumpa lebih ramai orang dan dia juga tidak tidur (sentiasa peka dengan masalah). Ini semua positif," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut melakukan beberapa tindakan salah termasuk pembinaan jambatan ketiga Johor Bahru kerana dibuat tanpa kajian teliti.

"Saya minta maaf atas kenyataan ini tetapi saya perlu menjelaskan yang benar kerana lebih banyak negatif daripada positif," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berpendapat Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu diteruskan dengan syarat Bumiputera menghentikan tindakan menyalah guna kemudahan yang diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, banyak tindakan salah guna kemudahan berlaku termasuk Permit Import (AP), kontrak dan lesen yang dianugerahkan kepada mereka.

Dr Mahathir juga berkata, imej pentadbiran Najib terjejas apabila memansuhkan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang boleh menjejaskan masa depan pelajar.

"Saya cuba menilai pendapat orang ramai terutama ibu bapa yang melayari blog saya. Setakat ini kira-kira 26,000 yang memberi maklum balas dan daripada jumlah itu 80 peratus tidak bersetuju," katanya.


* NASIONAL Guru diarah terus guna dwibahasa dalam kelas

Oleh Norliza Abdullah
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Guru diarah terus menggunakan bahasa Inggeris atau dwibahasa dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih berkuat kuasa sehingga 2012.

Arahan berkenaan dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, kerana sudah ada guru yang menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya selepas kerajaan mengumumkan pemansuhan PPSMI mulai 2012.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan pekeliling berhubung perubahan itu mulai minggu depan.

"Kerajaan sudah mengumumkannya dan dilaporkan secara meluas menerusi media. Tidak tidak ada alasan untuk mengajar murid menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya dalam mata pelajaran berkenaan.

"PPSMI masih sah dan pengajaran perlu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris atau dwibahasa seperti sebelum ini. Tidak adil jika guru melaksanakan pengajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya kerana PPSMI masih relevan," katanya semalam.

Tinjauan Berita Harian ke beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam mendapati ada guru sudah menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya mengajar subjek Sains dan Matematik.

Mereka berbuat demikian dengan alasan kerajaan sudah mengembalikan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia hingga menimbulkan kekeliruan di kalangan ibu bapa kerana anak mereka sudah memulakan PPSMI sejak tahun satu.

Seorang guru berkata, beliau menggunakan bahasa Malaysia kerana sebahagian besar murid lebih mudah memahami sesuatu topik jika diajar dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Alimuddin berkata, pihaknya akan menerangkan perkara itu secara terperinci menerusi Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah mengenai perubahan dasar PPSMI bagi mengelakkan berlaku kekeliruan hingga menjejaskan proses pembelajaran murid.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi, berkata langkah itu selaras pendekatan 'soft landing' kementerian untuk mengembalikan sepenuhnya PPSMI ke dalam bahasa Malaysia.

"Soalan dan jawapan dwi- bahasa akan dikekalkan dalam semua peperiksaan utama sehingga 2012, untuk berlaku adil kepada pelajar termasuk yang belajar menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

"Tidak perlu timbul isu kita menghentikan PPSMI mulai tahun depan seperti dituntut beberapa pihak kerana walaupun pemberhentian sepenuhnya berkuat kuasa 2012, kita tahu ada guru sudah mengambil inisiatif kembali mengajar dalam bahasa Malaysia," kata pada majlis bertemu pendidik sekitar Mukim Temalir pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai semalam.


Rasional mansuh dasar PPSMI 2012

Oleh Ridzuan Yop dan Shamsul Kamal Amarudin
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Dr Zambry (dua dari kiri) dan Dr Ling melihat pameran replika otak di UTAR, Kampar, semalam.

Kerajaan perlu sedia kelengkapan pengajaran

KAMPAR: Keputusan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 tidak wajar dipersoalkan kerana kerajaan mahu memastikan ia tidak dilaksanakan secara gopoh, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri mengakui ada pihak termasuk pejuang bahasa mahu jika boleh pemansuhan dasar itu dibuat esok, tetapi kerajaan memikirkan ia tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga menggagalkan matlamatnya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata tempoh dua tahun sehingga 2012 diperlukan untuk membuat persiapan seperti menyediakan guru berkelayakan, makmal bahasa, alat bantuan mengajar dan sebagainya.


"Kita mengambil kira tempoh masa itu untuk membuat persiapan yang sempurna, tidak perlu tergopoh-gapah dalam soal pendidikan ini... kita fahamlah pejuang bahasa ini kalau boleh esok nak mulakan.

"Kita mesti realistik sebab itu kita perlu tempoh masa yang sesuai, itupun ada orang kata awal sangat dan perlukan tempoh masa yang lebih sesuai lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pesta Mind Malaysia kelima di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kampus Perak di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Majlis UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik dan Presiden UTAR, Prof Datuk Dr Chuah Hean Teik.

Muhyiddin juga mengakui kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

"Tempoh dua tahun setengah ini memberikan kita masa cukup untuk memastikan kita ada kelengkapan, kita tidak mahu terjebak sama seperti ketika PPSMI diperkenalkan.

"Saya tahu ada sesetengah sekolah di kawasan bandar tidak menghadapi masalah melaksanakan PPSMI, tetapi kita bukan bercakap hanya untuk beberapa sekolah tetapi lebih 10,000 sekolah seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, sebelum PPSMI diperkenalkan pada 2003, bahasa kebangsaan digunakan untuk semua bidang ilmu termasuk Matematik dan Sains.

Ketika diminta mengulas gesaan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) supaya dasar itu dimansuhkan secara menyeluruh termasuk pada peringkat universiti, Muhyiddin berkata, perkara itu diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran mengkaji memperkenalkan program literasi minda atau kemahiran berfikir di sekolah bagi menguatkan daya ingatan pelajar agar dapat menguasai ilmu dipelajari dengan lebih cekap dan cepat.

Katanya, sebagai permulaan kementerian akan mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan Gerakan Literasi Mental Malaysia (MMLM) untuk memperkenalkannya di sekolah terpilih.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Gagasan '1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' boleh menjadi jenama hebat sekiranya seluruh lapisan masyarakat memahami konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, konsep itu membawa maksud dan komponen yang baik antaranya semangat perpaduan, kerjasama, saling bantu-membantu dan tidak ada perbezaan layanan dalam kesaksamaan kepada semua lapisan masyarakat.

"Untuk memahami gagasan ini yang perlu diperjelaskan lagi kepada rakyat, ia akan mengambil masa. Pentadbiran Najib akan masuk 100 hari, ini idea baru dan ia mengambil masa untuk orang faham.

"Bukan (konsep) 1Malaysia saja tetapi konsep rakyat didahulukan jangan diputar-belitkan sehingga menimbulkan salah faham kerana ia satu pendekatan penting yang boleh diperluaskan dalam pelbagai bentuk," katanya.

Katanya, makna dan konsep 1Malaysia akan dijelaskan kementerian dan agensi kerajaan terutama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

"Selain itu, media massa berperanan penting untuk menjelaskan gagasan yang dibawa Najib kepada 27 juta penduduk di negara ini," katanya.


Usaha latih guru bahasa Inggeris perlu ditingkatkan

KOTA KINABALU: Usaha melatih guru bahasa Inggeris perlu ditingkatkan bagi membolehkan cakupan penguasaannya terutama di kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan lebih meluas.

Pada masa sama, Ketua Pergerakan Puteri Umno Sabah, Musliati Moslimin, berkata dasar pendidikan di negara ini tidak wajar terlalu kerap diubah kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.

Sambil melahirkan keyakinan langkah memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat selepas meneliti pelbagai sudut secara mendalam, beliau berkata, ketetapan Kementerian Pelajaran itu perlu diterima dengan fikiran terbuka.

"Seboleh-bolehnya kita mahu melihat PPSMI melonjakkan kecemerlangan generasi pelajar dalam penguasaan Sains dan Matematik.

"Bagaimanapun, kita terima keputusan itu secara positif demi kebaikan dan faedah semua pihak, terutama masa depan pelajar.

"Isu ini tidak wajar dipolitikkan kerana ia boleh mengelirukan rakyat.

"Sebaliknnya, kita perlu melihat betapa tertibnya kerajaan apabila mewujud atau memansuhkan sesuatu dasar besar," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, Puteri Umno Sabah turut berharap Kementerian Pelajaran berusaha memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris sejajar kepentingannya dalam era globalisasi

Beliau berkata, ini kerana pelajar Melayu dan Bumiputera tidak mungkin mampu berdepan dengan cabaran di peringkat lebih tinggi jika gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.


Friday, July 10, 2009

Guru bersara direkrut semula secara kontrak

PUTRAJAYA 9 Julai - Guru bersara akan direkrut semula secara kontrak bagi memenuhi keperluan tambahan 13,933 guru Bahasa Inggeris (BI) bagi memantapkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, mereka boleh memohon terus kepada Kementerian Pelajaran untuk mengisi jawatan tersebut.

Katanya, guru bersara yang memohon akan ditempatkan berhampiran rumah masing-masing supaya tidak membebankan mereka untuk berulang- alik ke sekolah.

''Kementerian akan mencari jalan untuk memudahkan mereka berkhidmat di sekolah-sekolah dan kita percaya dengan cara ini lebih 600 guru bersara akan memohon.

''Bagaimanapun, tahap umur yang ditetapkan bagi mereka yang boleh memohon masih dalam perbincangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Alimuddin berkata, kementerian juga akan berbincang dengan Naib Canselor IPTS untuk menyediakan lebih banyak program pendidikan di universiti mereka bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar subjek itu.

''Kita juga masih berbincang dengan beberapa negara seperti Australia, New Zealand, India dan United Kingdom untuk mendapatkan khidmat 1,000 guru BI dari luar negara," katanya.


Tambah masa BI tak jejas waktu sekolah

PUTRAJAYA 9 Julai - Tambahan masa pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris (BI) yang diumumkan kerajaan semalam, tidak akan mengubah waktu persekolahan sedia ada.

Bagaimanapun, waktu pembelajaran subjek lain akan dikurangkan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom (gambar) berkata, ia sebagai langkah memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris tanpa membebankan pelajar dan guru dengan tambahan waktu persekolahan.

''Ibu bapa tidak perlu risau dengan tambahan itu kerana waktu pembelajaran subjek lain akan dikurangkan tanpa menjejaskan pelajaran subjek itu.

''Misalnya mungkin kita akan mengurangkan waktu subjek Muzik untuk memberi lebihan masa kepada subjek BI," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Waktu BI bagi sekolah kebangsaan (SK) tahap satu ditambah sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua daripada 210 minit kepada 300 minit seminggu.

Waktu BI bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tahap satu pula ditambah daripada 60 minit kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua ditambah daripada 90 minit kepada 120 minit seminggu.

Bagi tingkatan satu hingga lima, waktu tambahan adalah daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan pemansuhan dasar PPSMI yang dikatakan boleh mengelirukan anak-anak mereka kerana keputusan itu tidak dilaksanakan serta-merta.

''Kami yakin dengan pelaksanaan program pengukuhan bahasa Inggeris akan memantapkan lagi penguasaan bahasa itu dengan syarat guru dan pelajar berusaha keras," katanya.


Jadikan bahasa Melayu bahasa ilmu

KUALA LUMPUR 9 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan langkah baik untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda yang perlu dijaga kesuciannya dan dimartabatkan supaya ia tidak terpinggir dalam arus peredaran zaman.

Menurutnya, untuk terus memartabatkan bahasa itu, ia perlu dijadikan bahasa ilmu di semua peringkat pengajian.

"Langkah kerajaan memansuhkan dasar PPSMI merupakan langkah yang cukup baik, tetapi bukan bermakna bahasa Inggeris dipinggirkan.

"Sebagai bahasa kebangsaan, keutamaan haruslah diberikan kepada bahasa Melayu untuk terus dipelihara dan dijadikan sebagai bahasa ilmu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Abdul Rahman berkata, apabila PPSMI dilaksanakan, ia telah mewujudkan satu kejutan budaya bagi pelajar luar bandar yang masih belum bersedia secara keseluruhannya.

Jelasnya, pemansuhan PPSMI bukan bermaksud bahasa Inggeris dipinggirkan tetapi ia harus dijadikan nilai tambah dalam diri setiap pelajar untuk bersaing di peringkat global.

''Kita akui kepentingan bahasa Inggeris, tetapi PPSMI bukanlah cara yang boleh digunakan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris baik di kalangan pelajar mahupun guru," jelasnya.

Hishammuddin rasa lega

KUALA LUMPUR 9 Julai - Bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) merasa amat lega kerana keputusan muktamad mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akhirnya telah dibuat.

Beliau yang kini memegang portfolio Menteri Dalam Negeri berkata, melalui pemansuhan PPSMI itu, maka sudah tiba masanya untuk semua pihak melihat ke hadapan dalam aspek pembangunan pendidikan negara.

Kata beliau, sudah tidak ada guna lagi jika sebarang isu berkaitan PPSMI hendak dibangkitkan oleh mana-mana pihak kerana keputusan kerajaan itu dibuat berdasarkan fakta yang tidak boleh ditolak.

Jelas Hishammuddin, kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang proaktif dan bersifat prihatin sebelum memutuskan untuk memansuhkan PPSMI.

"Perbincangan meja-meja bulat dengan seramai mungkin pihak berkepentingan, akhirnya bukan mengambil langkah ke belakang tetapi dasar baru dengan memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya menjelang 2012.


Hampir RM5b tingkat penguasaan bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kerajaan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran. Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau memberitahu Dewan Negara hari ini bahawa kementerian sentiasa memberi latihan kepada guru mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa itu kepada murid sekolah.

"Kita akan menggunakan pelbagai modul seperti mendengar dan bercakap, modul penulisan dan modul seni bahasa yang akan menekankan tatabahasa. Kita akan betulkan penguasaan Bahasa Inggeris bukan setakat boleh bertutur tetapi menggunakannya dengan betul," katanya menjawab soalan Senator Datuk Samsiah Samsudin.

Mohd. Puad berkata, kerajaan juga bercadang untuk mengambil sejumlah 13,933 guru bahasa Inggeris sebagai satu daripada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Menjawab soalan Senator Zaitun Mat mengenai jumlah guru pakar dalam bahasa Inggeris yang disediakan kementerian di sekolah luar bandar, Mohd. Puad berkata, sehingga 9 Julai ini, terdapat 9,293 guru cemerlang dalam pelbagai gred jawatan dan bidang kepakaran.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 954 orang guru adalah guru cemerlang bahasa Inggeris dan 622 orang ditempatkan di sekolah menengah manakala 332 orang guru di sekolah rendah di seluruh negara sama ada di bandar ataupun di luar bandar," katanya.

Beliau berkata, kementerian berusaha memastikan khidmat kepakaran guru-guru itu tidak tertumpu di satu-satu sekolah atau kawasan sahaja tetapi diagihkan kepada semua sekolah.

Tambah beliau, langkah memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa tahun 2012 akan menjimatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM40 juta setahun.

Jelasnya, penjimatan itu berlaku kerana kerajaan tidak perlu menyediakan peruntukan Bayaran Insentif Subjek Penting (BISP) kepada guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

''Sekarang pembayaran BISP adalah RM40 juta setahun membabitkan lima peratus daripada gaji pokok diberikan kepada guru lepasan universiti dan 10 peratus kepada guru bukan lepasan universiti.

''Ini adalah bagi membolehkan mereka membeli buku rujukan atau menghadiri tuisyen bahasa Inggeris," katanya.

Menurut Mohd. Puad, pemberhentian bayaran itu akan dilakukan kerana pihaknya mendapati hanya sebahagian kecil guru yang menerima BISP menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.


Mansuh PPSMI perlu menyeluruh


Hassan Ahmad bersama A. Samad Said dan ahli Gerakan Memansuhkan PPSMI mengadakan sidang akhbar di Rumah Pena, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak mencukupi setakat di sekolah rendah dan menengah tetapi perlu sehingga ke universiti.

Pengerusi Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, pemansuhan PPSMI hanya di peringkat sekolah rendah hingga tingkatan lima akan menimbulkan masalah kepada pelajar apabila memasuki tingkatan enam, matrikulasi atau universiti pada masa depan.

Katanya, ini kerana tiba-tiba sahaja mereka terpaksa beralih menggunakan bahasa Inggeris.

''Bagi GMP, memansuhkan PPSMI bererti memansuhkan semuanya iaitu kembali sepenuhnya kepada dasar pembelajaran sebelum 2003 ketika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu dari tahun satu sampai tingkatan enam dan seterusnya ke universiti,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) di sini hari ini.

Turut hadir Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said selaku Penasihat GMP, Pengarah Eksekutif Yayasan Tamil Malaysia, C. M Elanttamial dan Naib Setiausaha Kanan Pusat Pembangunan Kebudayaan Bekas-Bekas Guru Cina Malaya (LLG), Goh Kean Seng.

Selain menuntut PPSMI dimansuhkan secara menyeluruh, Hassan berkata, GMP juga mahu agar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, Tamil dan Cina dimulakan pada tahun depan bagi murid-murid tahun satu.

''Kita mahu pelajar yang baru masuk sekolah diajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing mulai 2010 bukannya 2012,'' katanya.

Hassan berkata, mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil bagi tahun satu tidak menimbulkan masalah kerana Kementerian Pelajaran boleh menyediakan bahan-bahan bacaan dan buku teks dalam ketiga-tiga bahasa ini mulai sekarang.

Katanya, kementerian juga boleh menggunakan semula buku-buku teks lama yang ditulis dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil untuk mata pelajaran Sains dan Matematik sebelum 2003.

Beliau berkata, walaupun tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap keputusan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, GMP tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju memansuhkan PPSMI.

Mengulas mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kecewa dengan keputusan itu, Hassan berkata, ia hak peribadi bekas Perdana Menteri itu untuk berasa begitu.

Bagaimanapun, katanya, GMP tidak sependapat dengan Dr. Mahathir kerana lebih mementingkan suara rakyat.

''Pemansuhan PPSMI kami anggap sebagai kejayaan tuntutan rakyat semua kaum dan kerana itu GMP akan mengadakan sambutan pemansuhan PPSMI pada pukul 9 malam, 19 Julai ini bertempat di Stadium Bandar Baru Bangi,'' katanya.

Sementara itu, A. Samad berkata, beliau mewakili golongan sasterawan negara berasa lega dengan keputusan Menteri Pelajaran memansuhkan PPSMI.

''Lega. Itu kata-kata yang saya gunakan apabila Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan PPSMI

''Ada beberapa perkara yang saya fikir membuat saya lega. Antaranya, saya tidak perlu berada di mana-mana tempat untuk memperjelaskan isu ini.

''Kedua, saya fikir apa yang telah diperjelaskan agak mencukupi untuk setakat ini walaupun sebenarnya masih timbul pertanyaan lain mengenai dasar ini,'' katanya.


Cadangan mantapkan BI sebagai persediaan pelajar ke IPT

PENGUMUMAN kerajaan untuk memansuhkan PPSMI tidaklah sesuatu yang mengejutkan, berikutan tentangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak. Ia bukan satu keputusan mudah bagi kerajaan tetapi cukup besar untuk membuktikan bahawa kerajaan memang mendahulukan rakyat.

Oleh kerana pada masa yang sama, langkah-langkah untuk memperkasakan bahasa Inggeris juga telah dibentangkan, maka seperti yang dikatakan oleh Prof. Ungku Aziz, keputusan tersebut dapat memuaskan hati semua pihak. Satu pihak mahu bahasa Melayu dimartabatkan, dan satu pihak lagi mahu melihat peningkatan di dalam penguasaan bahasa Inggeris (BI).

Salah satu hujah yang selalu kedengaran bagi golongan yang mahu PPSMI ini diteruskan ialah masalah pelajar-pelajar daripada alam persekolahan ke peringkat universiti.

Kebanyakan daripada bahan-bahan rujukan masih lagi di dalam bahasa Inggeris bertahap tinggi dan agak sukar bagi pelajar-pelajar yang hanya berkelulusan MUET dan Bahasa Inggeris SPM, yang langsung tidak diiktiraf IPT tempatan, apatah lagi di luar negara.

Ini merupakan salah satu penyumbang kepada pencapaian pelajar-pelajar IPT kita yang 'sederhana', khususnya golongan Bumiputera, terutamanya di dalam bidang-bidang sains dan teknologi.

Jawapan kerajaan terhadap hujah di atas ialah dengan memantapkan Bahasa Inggeris (BI) itu sendiri di peringkat persekolahan, dengan menambahkan contact hours, bilangan guru serta pendedahan istilah sains dan teknologi. Di sini izinkan saya memberikan beberapa cadangan.

Tidak perlu bagi Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menterjemahkan segala-galanya ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah teknikal/saintifik "universal" perlu dikekalkan, atau setidak-tidaknya di masukkan juga di dalam buku-buku teks sebagai "nota kaki" bagi memudahkan pelajar-pelajar membuat rujukan kelak.

Untuk memantapkan lagi penguasaan mana-mana subjek, pelajar-pelajar perlu mengaplikasikan apa yang telah diajar di sekolah, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja. Dalam kes penguasaan sesuatu bahasa, tidak ada cara yang lebih berkesan selain daripada menggunakannya. Memperkenalkan ujian lisan, persembahan-persembahan teater/drama, debat dan pidato sebagai cabang kurikulum, dari peringkat rendah secara berterusan dapat memantapkan lagi penggunaan bahasa tersebut. Pengajaran secara 'monolog' yang berlebihan perlu dihentikan.

Soalan-soalan peperiksaan BI sama ada ujian bulanan, penggal, semester atau tahunan wajar merangkumi bidang sains dan teknologi, dan tidak tertumpu kepada nahu, sastera dan hal-ehwal semasa sahaja.

Ketika ini, hanya BI yang merupakan satu-satunya subjek di dalam peperiksaan SPM yang "tidak laku" untuk syarat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Pelajar-pelajar yang ingin ke luar negara perlu mengambil peperiksaan IELTS, manakala bagi yang mendapat tempat di IPT terpaksa mengambil MUET.

Sudah sampai masanya bagi Kementerian Pelajaran untuk menaikkan kembali status BI ke tahap yang setaraf dengan negara-negara membangun yang lain.

Akhir sekali, demi masa depan anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini, semua pihak perlu berhenti mempolitikkan soal-soal pendidikan, sebaliknya bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab untuk bersama-sama berganding bahu memperkasakan perkara yang sensitif ini.

Bagi pihak Kementerian Pelajaran pula, diharap pada masa-masa akan datang dapat membuat pertimbangan dan persiapan secara menyeluruh lagi terperinci, sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang membabitkan kepentingan generasi akan datang, yang bakal menggalas amanah untuk mentadbir negara kita yang tercinta ini.

Dr. Faizal Tajuddin

Pasir Salak, Perak


Manfaat pelaburan PPSMI mantapkan bahasa Inggeris

KOTA KINABALU 9 Julai - Kerajaan perlu menggunakan pelaburan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di luar bandar.

Exco Pelajaran Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, langkah itu boleh diadakan dengan mengadakan kelas bahasa Inggeris secara intensif menggunakan kemudahan pembelajaran PPSMI.

''Ia boleh dilakukan melalui pembelajaran intensif bahasa Inggeris kepada pelajar. Bukan sekadar mewajibkan mereka belajar mata pelajaran itu.

''Saya berharap sistem pendidikan negara kita lebih terbuka dan konsisten pada masa depan bagi mengelak kekeliruan di kalangan pelajar dan ibu bapa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Masidi berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 itu.

Dengan pemansuhan itu, mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Masidi bagaimanapun berkata, keputusan tersebut menunjukkan pendirian kerajaan yang tidak konsisten dalam menguruskan pembelajaran bahasa Inggeris di negara ini.

''Bagaimanapun, perkara ini berbalik kepada masalah ketidakmampuan kerajaan menyediakan tenaga pengajar bahasa Inggeris untuk merealisasikan matlamat sebenar PPSMI," ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar negeri menjelaskan, penguasaan bahasa Inggeris di peringkat awal penting bagi memastikan pelajar mampu bersaing ke tahap yang tinggi.

''Dunia kini serba kompetitif. Apa pun dasar yang kita perkenalkan ada pro dan kontranya. Justeru, saya berharap walaupun pembelajaran Sains dan Matematik telah kembali diajar dalam bahasa Malaysia, penekanan terhadap bahasa Inggeris perlu ditingkatkan," ujarnya.


Sokong mansuh PPSMI

KOTA KINABALU 9 Julai - Ibu bapa di negeri ini menyambut baik langkah kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada 2003.

Bagaimanapun mereka berharap pemansuhan berkenaan tidak mengetepikan usaha meningkatkan lagi penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris terutamanya di kawasan luar bandar.

Juruaudit bebas, Abdullah Kassim, 45, berkata, langkah tersebut amat tepat bagi meningkatkan lagi pencapaian pelajar khususnya di luar bandar.

Beliau yang mempunyai empat orang anak yang bersekolah termasuk tiga di sekolah rendah berkata, tindakan itu akan dapat memastikan keseimbangan pencapaian pelajar bumiputera khususnya di luar bandar.

"Selain sebahagian usaha memartabatkan bahasa Melayu, ia juga amat wajar memandangkan tidak semua pelajar dapat menerima baik pembelajaran dalam bahasa Inggeris terutamanya sekolah luar bandar.

"Kini pihak kerajaan harus menumpukan usaha memperlengkapkan kemudahan dan prasarana untuk pengajaran bahasa Inggeris di semua sekolah terutamanya sekolah luar bandar," katanya di sini hari ini.

Hassan Awang Damit, 40, berkata, meskipun amat bersetuju dengan pemansuhan itu, dia berharap kerajaan dapat menyediakan pelbagai kaedah untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris.

Katanya, usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris amat penting dan harus dilakukan berterusan bagi memastikan pelajar dapat bersaing pada era kini.

"Seramai tiga orang anak saya bersekolah di sekolah rendah dan walaupun mereka dapat mengikuti pembelajaran dalam bahasa Inggeris dengan baik namun terdapat masalah dalam menguasai mata pelajaran Sains.

"Jadi bagi saya langkah ini memang wajar tetapi kerajaan harus menyediakan langkah lain bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris seperti dengan mewajibkan hari tertentu untuk bercakap bahasa Inggeris," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Hassan, 50, berkata, pemansuhan dasar yang telah dilaksanakan kira-kira tujuh tahun lalu itu sedikit sebanyak menyukarkan pelajar yang telah biasa menggunakan bahasa Inggeris.

Katanya, kedua-dua anaknya yang bersekolah di tahun tiga dan tahun enam tidak menghadapi masalah dalam pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

"Bagi pelajar yang sudah biasa dengan kaedah ini agak sukar sedikit untuk mengalih kepada bahasa Melayu. Sebenarnya anak saya sendiri tidak menghadapi masalah dan mampu mendapat A dan B dalam Sains dan Matematik.

"Bagaimanapun ia terpulanglah kepada kerajaan, asalkan keputusan yang dibuat demi kebaikan semua pihak," katanya.

Sementara itu, seorang ibu, Mahani Awang Jaya, 47, berkata, langkah tersebut amat tepat dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

Malah, katanya, pemansuhan PPSMI itu juga tidak akan menyebabkan pelajar ketinggalan dalam bahasa Inggeris.


Guru ketagih ganja ditahan

KOTA TINGGI 9 Julai - Perwatakannya selama ini seperti juga guru-guru lain, namun 'rahsia' seorang guru ini terbongkar apabila dia ditahan polis ketika sedang 'lalok' selepas mengambil ganja.

Dalam serbuan polis di sebuah bengkel membaiki kereta di Batu 1, Jalan Lombong di sini, guru sekolah menengah terbabit sedang leka menghisap ganja.

Dia didapati bersama dua rakannya iaitu seorang buruh di jabatan kerajaan dan pekerja bengkel kereta.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, ketiga-tiga lelaki yang ditahan itu berusia antara 31 hingga 43 tahun.

"Ketika ditahan, tiga lelaki itu sedang leka menghisap dadah dipercayai ganja.

''Hasil siasatan, salah seorang daripada yang ditahan merupakan guru sekolah menengah di sini," katanya di sini hari ini.


PPSMI: Pembangkang dibidas tuduh kerajaan lambat

KUALA KRAI 9 Julai - Parti pembangkang dibidas kerana mendakwa kerajaan terlalu lambat untuk membuat keputusan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menegaskan, Malaysia bukan negara koboi yang boleh membuat keputusan sebegitu penting secara tergesa-gesa.

Beliau berkata, kerajaan sebaliknya berhati-hati kerana PPSMI perlu melengkapkan satu pusingan iaitu enam tahun selepas dasar itu dilaksanakan pada 2003.

"Tetapi bagi saya dakwaan liar itu bukannya pelik kerana sudah menjadi resam pembangkang sentiasa menyalahkan kerajaan,'' katanya pada sidang akhbar di Bilik Operasi BN Manek Urai, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan Tamil (SJKT) pada 2012.

Sehubungan itu, Mustapa berharap golongan guru di Manek Urai yang tidak menyokong PPSMI selama ini mengambil langkah berani mengundi BN berikutan tindakan drastik memansuhkan dasar berkenaan.

"Selama ini kita sedar ramai guru tidak setuju dengannya, maka dengan keputusan kerajaan semalam saya yakin ia membantu kita.

"Undi guru amat berpengaruh dan jika pendirian mereka berubah, kita amat menghargainya," katanya.


PPSMI: Terima keputusan dengan hati terbuka

KUALA LIPIS 9 Julai - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta semua pihak menerima keputusan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dengan hati terbuka.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, keputusan tersebut dibuat kerajaan berdasarkan kepentingan rakyat.

Jelasnya, ia telah melalui proses perjalanan yang panjang, bermula dari perbincangan meja bulat sehingga ke peringkat akar umbi.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah begitu teliti. Keputusan ini menggambarkan keprihatinan kerajaan dalam melaksanakan gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Agropolitan Gahai dan Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil (PROSDET) Kampung Pantos di sini, hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Hassan Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya mulai 2012.

Beliau turut mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Menurut Mohd. Shafie, beliau sendiri bersetuju dengan dasar baru yang dibentangkan.

''Banyak kerja perlu dibuat untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar," ujarnya.

Antaranya menurut beliau, guru-guru Bahasa Inggeris yang berpengalaman dan mahir perlu ditempatkan di sekolah luar bandar bagi memastikan pelaksanaan tindakan itu berjalan lancar.

"Di kawasan luar bandar, para pelajar tidak mempunyai kemudahan pembelajaran seperti di bandar. Di luar bandar pelajar hanya bergantung kepada guru mereka," katanya.


Mansuh PPSMI bukan desakan - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR 9 Julai - Keputusan kerajaan mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bukan kerana desakan pihak tertentu sebaliknya ia hasil keputusan analisis pelaksanaan dasar itu selama enam tahun.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak boleh dengan serta-merta menukar dasar yang dilaksanakan tanpa membuat pertimbangan sewajarnya walaupun wujud desakan kuat supaya ia dimansuhkan.

Beliau yang bersetuju dengan langkah kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 berkata, keputusan itu dibuat setelah dianalisis keberkesanan pelaksanaan dasar itu sejak 2003.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima berhubung keberkesanan dasar itu, menunjukkan ia gagal.

Kerajaan jelas beliau, harus menjalankan kajian terlebih dahulu untuk memastikan keputusan yang dibuat lebih adil kepada semua pihak.

"Sebelum ini kita banyak mendapat memorandum meminta untuk mengkaji semula, maka kita menetapkan supaya satu kajian dibuat mengikut tempoh pelaksanaan dasar itu iaitu selama enam tahun (2003 hingga 2009).

"Dan semalam keputusan telah dicapai menerusi kajian selama enam tahun itu. Itu membuktikan keputusan semalam dibuat bukan kerana desakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Masjid di Jerman di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI dengan Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Perubahan pelaksanaan dasar tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Abdullah berkata, sejak PPSMI dilaksanakan Kementerian Pelajaran telah dari awal bersedia untuk melihat semula dasar tersebut sama ada ia wajar diteruskan atau tidak.

Katanya, desakan mengenai PPSMI dan permintaan untuk dikaji semula berlaku ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri pada 2004.

Jelasnya, setelah berbincang dengan Menteri Pelajaran pada masa itu (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein), kerajaan memutuskan supaya dasar tersebut diberi kesempatan untuk dilaksanakan dari 2003 hingga 2009.

Kerajaan jelas beliau, terpaksa meneruskan dasar itu berikutan tidak mahu pelajar terganggu dan seterusnya menjejaskan pembelajaran pelajar.

Abdullah berkata, selain memartabatkan bahasa Melayu, penggunaan bahasa Inggeris hendaklah ditingkatkan lagi dan rakyat harus menguasai kedua-dua bahasa itu.

"Saya yakin, dasar baru ini akan memantapkan lagi pembelajaran para pelajar dan mereka juga akan lebih mudah menguasai kedua-dua bahasa itu tanpa ada sebarang masalah pada masa depan terutama untuk ke universiti," katanya.

Sementara itu, ditanya pandangannya mengenai pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama 100 hari memimpin negara, Abdullah berkata, beliau berjaya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Beliau juga yakin segala dasar yang dilaksanakan Najib termasuk berkaitan ekonomi akan diterima oleh rakyat.

"Najib merupakan individu yang saya pilih untuk memimpin negara, beliau mampu dan dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Beliau semakin menjadi perhatian rakyat," katanya.


BI tak terjejas – PM

PUTRAJAYA 9 Julai – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan matlamat untuk memantapkan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar kepentingan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, justeru ia akan diperkukuhkan menerusi penambahan waktu belajar dan guru-guru berkualiti.

Tegas beliau, pemantauan terhadap dasar PPSMI mendapati pelaksanaannya tidak seperti dihasratkan termasuk hanya lapan peratus guru yang menunjukkan keyakinan berbuat demikian.

“Malah dengan keputusan ini (mansuh PPSMI), kita akan meningkatkan kemudahan lain termasuk makmal bahasa serta pengenalan kesusasteraan Inggeris.

“Jika keadaan mengizinkan seperti mana (idea) yang dilontarkan oleh Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kemungkinan kita jadikan kelulusan bahasa Inggeris itu sebagai wajib di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap penguasaan bahasa Inggeris untuk membolehkan kita bersaing di era globalisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan Kesembilan di sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya kekhuatiran sesetengah pihak bahawa pemansuhan PPSMI berupa langkah ke belakang dalam memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat terutama di peringkat persekolahan.

Najib bagaimanapun percaya jika penambahan dalam pembelajaran bahasa Inggeris dilaksanakan, seseorang itu akan lebih berkeyakinan dalam penguasaan bahasa itu termasuk dalam mata pelajaran yang menggunakan bahasa tersebut.

Mengenai kekecewaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap pemansuhan PPSMI yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya enam tahun lalu, beliau berkata: “Kita tidak ada beza dari segi matlamat. Matlamatnya sama, kita dah terima betapa pentingnya bahasa Inggeris, cuma kaedah bagaimana nak sampai pada matlamatnya, itu sahaja.”

Semalam, Kabinet memutuskan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.


Sains dan Matematik dalam BM dan bahasa ibunda 2012

9th July, 2009

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Muhyiddin berkata kabinet kelmarin meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

“Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003,” katanya ketika mengumumkan perkata itu di Kementerian Pelajaran di sini, kelmarin.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Em-pat di sekolah menengah yang bermula 2012.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.

Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.

“Apa ysng dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

“Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik,” katanya.

Selain itu, katanya, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi.

Katanya peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus,” katanya.

Beliau berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

Muhyiddin berkata laporan “Trends in Mathematics and Science Study 2007” turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007,” katanya.

Beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Katanya berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK© dan bahasa Tamil di SJK.


Respons: Pengajaran daripada pemansuhan dasar PPSMI

Oleh Zainor Said
zainor@bharian.com.my

DASAR Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menimbulkan kontroversi sehingga mencetuskan perdebatan hangat serta bantahan pelbagai pihak, sejak mula dilaksanakan pada 2003, akhirnya sampai ke penghujung jalan.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar itu, sekali gus pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek itu kembali kepada bahasa Melayu dan bahasa ibunda mengikut kaum masing-masing, mulai 2012.

Walaupun ramai yang menarik nafas lega dengan keputusan itu, terutama mereka yang membantah keras pelaksanaannya, namun tidak kurang juga mereka yang kecewa terutama bagi yang sudah nampak kesan positif ke arah menggalakkan pelajar menguasai bahasa Inggeris serta dapat memahami ilmu sains dan teknologi di semua peringkat.

Kita tidak menafikan, berdasarkan beberapa kajian yang didedahkan kepada umum, jelas menunjukkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik memberi kesan negatif terhadap prestasi pelajar bagi kedua-dua subjek berkenaan, terutama di kalangan pelajar luar bandar dan yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi.

Bagaimanapun di sesetengah kawasan, sebahagian pelajar menunjukkan perkembangan yang cukup positif, baik dalam peperiksaan mahupun dari segi minat mereka mempelajari mata pelajaran berkenaan, sekali gus menunjukkan petanda positif menguasai bahasa Inggeris, jika usaha itu diteruskan.

Dengan kata lain, adalah tidak wajar kita menidakkan terus kesan positif dasar PPSMI itu atau mendakwa dasar itu sepenuhnya gagal mencapai matlamat. Setidak-tidaknya tahap kemahiran bahasa Inggeris pelajar adalah lebih baik berbanding tahap sebelumnya.

Walaupun dasar itu kini sudah dimansuhkan namun sejak diperkenalkan, dasar itu telah meningkatkan kesedaran dalam sesetengah masyarakat peri pentingnya bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu yang harus dikuasai pelajar, jika mereka ingin bersaing dengan pelajar pelbagai kaum di negara ini, apatah lagi di persada antarabangsa.

Kerajaan mengambil masa agak lama sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya, setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk hasil kajian terperinci yang dijalankan oleh ahli akademik berwibawa.

Walaupun cadangan hasil rumusan daripada tujuh rundingan meja bulat yang dibuat ketika Kementerian Pelajaran diterajui Datuk Seri Hishammuddin Hussien ditolak Kabinet, namun kita percaya rundingan yang disertai wakil pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu tetap diguna pakai dan turut menjadi pertimbangan kementerian.

Keputusan memansuhkan dasar PPSMI itu bukan suatu yang mudah untuk diputuskan kerajaan. Apatah lagi selepas enam tahun dilaksanakan setelah pelbagai persediaan dibuat dan banyak tenaga dicurahkan, termasuk menyediakan peruntukan yang bukan sedikit untuk menjayakannya.

Begitupun, kita tidak harus beranggapan bahawa segala usaha dilakukan itu sebagai satu pembaziran, sebaliknya ia adalah pelaburan yang wajar dengan tujuan untuk mendidik anak bangsa. Jadikanlah kegagalan dasar PPSMI itu sebagai pengajaran serta cabaran kepada semua warga pendidikan khususnya guru untuk merangka strategi lebih berkesan selepas ini, khususnya dalam pengajaran bahasa Inggeris.

Pemansuhan dasar PPSMI membuktikan kerajaan sama sekali tidak pernah mengabaikan kepentingan mana-mana pihak, apatah lagi pelajar luar bandar yang dikatakan terjejas teruk dalam kedua-dua subjek berkenaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Langkah itu juga sekali gus menangkis

dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan tidak sensitif dengan usaha memperjuangkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, jauh sekali membelakangkan kepentingan bangsa Melayu.

Walaupun dasar PPSMI dihentikan, namun ini tidak bermakna usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar turut terbantut, sebaliknya kita harus membuktikan mampu melakukan usaha yang lebih berkesan dan lebih mantap berbanding PPSMI.

Seperti diumumkan Muhyiddin, kementeriannya akan terus mempertingkatkan strategi dan melakukan pelbagai perubahan terutama dari segi kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Perubahan juga harus dilakukan dari segi latihan serta bilangan guru terlatih terutama di luar bandar bagi mengelak sesetengah sekolah bertindak menyerahkan tugas mengajar bahasa Inggeris kepada guru yang bukan bidangnya kerana masalah kekurangan guru bahasa Inggeris.

Usaha itu harus dilakukan bersungguh-sungguh agar pelajar yang bakal lahir hasil daripada strategi baru kerajaan itu, bukan saja mampu menguasai bahasa Inggeris, malah mereka harus mampu memahami ilmu sains dan teknologi dengan baik, yang dikatakan banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Fokus kita sekarang haruslah diberikan kepada usaha memperkemaskan kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris sebagai alternatif kepada pemansuhan dasar PPSMI. Sikap pelajar yang tidak mementingkan bahasa Inggeris juga harus diubah, jika tidak mereka akan menghadapi masalah di peringkat SPM yang bakal mewajibkan mereka lulus bahasa Inggeris tidak lama lagi.


Pemansuhan PPSMI selaras semangat 1Malaysia

TARIKH 8 Julai 2009 tercatat dalam sejarah bahasa dan pendidikan kebangsaan negara ini apabila kerajaan mengambil keputusan bijak dengan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Pujian dan ucapan terima kasih patut diberikan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang akan genap menerajui negara selama 100 hari pada 11 Julai ini kerana benar-benar melunaskan semangat 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'

Begitu juga kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang prihatin dengan permasalahan dan masa depan rakyat dan tanah air ini.


Selepas enam tahun PPSMI menjadi 'duri' dalam hati sebilangan besar ahli akademik, golongan budayawan, pejuang bahasa, malah paling kuat yang menerima kesannya ialah kumpulan pelajar dan guru, akhirnya Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

Memang sesuatu keputusan yang diambil tidak akan memuaskan hati semua pihak.

Bagi yang masih mempersoalkan mengapa tindakan itu diambil sepatutnya merenung dan memikirkan kesan jangka panjang serta kepentingan bangsa dan negara mengatasi kepentingan diri.

Hakikatnya, anggapan PPSMI masih wajar diteruskan meskipun banyak hasil kajian ilmiah menunjukkan lebih banyak impak buruk daripada dasar itu samalah seperti kita tidak menghiraukan majoriti anak bangsa kita yang sebenarnya lebih berjaya jika didedahkan ilmu dalam bahasa milik kita sendiri.

Mereka yang tegar mendakwa PPSMI itu lebih baik juga seharusnya mengemukakan hasil kajian ilmiah untuk membuktikan dakwaan mereka itu.

Kenyataan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohamad Nasir Mohamed Nazri dalam akhbar ini amat mengecewakan.

Nasir sedih dengan keputusan itu kerana percaya ramai pelajar sekolah setuju jika PPSMI diteruskan, bertentangan dengan pendapat pemimpin pelajar dari institusi pengajian tinggi lain.

Kenyataannya itu mungkin memberi tamparan kepada UKM sebagai universiti yang sebelum ini ditubuhkan atas semangat memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu untuk semua disiplin ilmu termasuklah Sains, Matematik dan Teknologi.

Malah, hujah beliau hanya bersandarkan pendapat pelajar bukan pensyarah dan ilmuwan.

Jika hanya pendapat pelajar dari sekolah elit di bandar, itu bukan suara pelajar yang menyeluruh untuk menyatakan PPSMI masih relevan!

Pandangan murid di SMK Dabong atau di Gerik atau di sekolah pedalaman, sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak juga perlu diambil kira.

Semua pihak harus jelas. Keputusan sudah diambil. Tindakan semua pihak sekarang bukan saja sekadar mengkritik tanpa cadangan penambahbaikan.

Gunakanlah kepakaran, latar belakang atau kelebihan yang ada untuk bersama-sama menggembleng agar bahasa Malaysia yang juga bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia tanpa berbilang kaum benar-benar dimartabatkan.

Bagi bahasa Inggeris pula, kaedah pengajaran perlu dirombak sama sekali memandangkan Malaysia adalah satu-satunya negara yang memperuntukkan masa pengajaran bahasa asing yang paling panjang.

Oleh itu, tiada sebab pelajar masih lemah dalam penguasaan bahasa itu melainkan kaedah pengajaran bahasa itu tidak 'dibedah siasat' untuk hasil pemahaman dan kualiti penguasaan yang berkesan.

ARIF ATAN,
Tanah Merah,
Kelantan.

Sokong tambah guru pakar tingkat bahasa Inggeris

SALAH satu kelemahan ketara dalam dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selama enam tahun pelaksanaan ialah kekurangan guru mahir berbahasa Inggeris. Malah, ada guru dikatakan terpaksa membuat penjelasan dalam bahasa Malaysia ketika mengajar, kerana guru itu sendiri kurang memahami bahasa Inggeris dan murid pula tidak memahami bahasa asing itu, terutama pelajar luar bandar yang tidak menuturkan bahasa Inggeris di luar sekolah. Keadaan menjadi kekok sehingga ada pihak mendakwa dasar PPSMI sepatutnya dilaksanakan apabila segala kemudahan dipersiapkan terutama untuk melatih lebih banyak guru yang fasih berbahasa Inggeris. Namun, tempoh enam tahun pelaksanaan PPSMI yang akan dimansuhkan tiga tahun lagi, adalah terlalu singkat sebenarnya untuk mengukur kejayaan atau kegagalan PPSMI. Tetapi berdasarkan kajian oleh universiti tempatan dan badan antarabangsa, PPSMI tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Sebab itu, apabila Kabinet kelmarin memutus untuk memansuhkan PPSMI, ia memberi penekanan kepada usaha memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Berdasarkan reaksi pelbagai pihak, majoriti menyokong langkah kerajaan untuk memantapkan penggunaan bahasa asing itu. Antaranya ialah menambah seramai 13,933 guru bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Malah, keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik dalam BI. Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai; pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI serta menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris. Semua ini dilakukan dalam usaha kerajaan untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan. Memandangkan penekanan diberi kepada BI selepas PPSMI dimansuhkan, mungkin sudah tiba masanya pula bagi kerajaan mewajibkan lulus subjek bahasa Inggeris pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menggambarkan kerajaan amat prihatin mengenai pentingnya penguasaan bahasa Inggeris yang amat baik untuk menentukan kita boleh bersaing dalam era globalisasi. Langkah ini juga mungkin boleh meredakan emosi golongan yang tidak menyokong pemansuhan PPSMI. Jika ada keperluan, tidak mustahil nanti kita boleh menubuhkan kolej khas bertaraf universiti untuk melatih guru khas bahasa sama ada bahasa Inggeris, bahasa Malaysia, bahasa Perancis, Mandarin, Jepun, bahasa Indonesia dan bahasa lain di dunia ini, yang mungkin akan turut menarik minat pelajar dari serata dunia. Pelbagai cabang jurusan bahasa boleh diwujudkan seperti pengkhususan dalam bahasa Malaysia untuk sains merangkumi semua subjek Sains termasuk Matematik, bahasa teknologi maklumat (IT) dan sebagainya. Malah universiti bahasa ini juga boleh dibuka untuk pelajar diploma penterjemahan. Dengan itu, Malaysia boleh dijadikan pusat pendidikan atau hab bagi mengeluarkan guru pakar bahasa.

Penggunaan bahasa keluarga memudahkan pelajar berfikir

Oleh Norliza Abdullah
rencanabh@bharian.com.my

Pengajaran subjek Sains, Matematik dalam bahasa ibunda bantu memahami konsep, prosedur pengajian

ANGKAH kembali kepada penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilihat sebagai keputusan adil kepada sebahagian besar murid terutama yang bahasa pertuturan mereka bukan bahasa Inggeris.

Ia memberi peluang saksama kepada mereka terutama yang tinggal di luar bandar dan penempatan Orang Asli menguasai kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa yang mudah difahami.

Menggunakan bahasa yang mudah difahami penting dalam proses menguasai sesuatu ilmu kerana kemahiran kognitif (berfikir) setiap individu bergantung kepada kefasihan serta kefahaman mereka dalam bahasa yang mudah difahami.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata dalam konteks pendidikan di Malaysia, bahasa Malaysia lebih relevan dijadikan bahasa pengantar untuk kedua-dua mata pelajaran ini.

Katanya, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diguna pakai sejak 2003, jelas menidakkan hak murid terutama yang tidak menguasai bahasa Inggeris dalam menguasai ilmu berasaskan teknologi moden itu dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami.

Buktinya, pelaksanaan itu menjejaskan prestasi pelajar terutama apabila mereka berada di Tingkatan Dua yang menjadi sampel kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Berdasarkan kajian 59 negara, menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2004 dan 519 bagi 1999 iaitu penurunan sebanyak 34 peratus.

Berbanding kajian TIMSS pada 1999 mendapati prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains adalah antara yang tertinggi di kalangan 59 negara yang dikaji.

Beliau berkata, pada 2007 prestasi pelajar kita menjunam dan kemerosotan ini adalah tertinggi di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam TIMSS 2007. Kemerosotan itu sebahagian besarnya disebabkan kebanyakan pelajar sukar mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, pada 1999 dan 2003, pelajar mengikuti mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia. Mereka mudah belajar kerana masing-masing cekap dalam bahasa Malaysia dan guru mereka juga lancar mengajarnya dalam bahasa Malaysia. Jadi prestasi mereka dalam Matematik dan Sains baik.

"Sudah banyak kajian di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Eropah menunjukkan pentingnya bahasa ibunda atau bahasa keluarga (bahasa yang selalu diguna dalam keluarga) diguna untuk mengajar pelajar memahami konsep dan prosedur dalam Matematik dan Sains atau dalam mata pelajaran akademik lain.

"Penggunaan bahasa keluarga atau ibunda memudahkan pelajar berfikir dan memahami pelajaran. Kajian TIMSS menunjukkan pelajar yang menggunakan bahasa ibunda (bahasa keluarga) dalam pembelajaran Matematik dan Sains mencapai prestasi lebih tinggi berbanding pelajar yang menggunakan bahasa kedua atau bukan bahasa keluarga," katanya mengulas langkah kerajaan mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah untuk dilaksanakan dalam bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.

Dr Isahak berkata, di Malaysia jelas menunjukkan bagaimana bahasa Cina yang diguna di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains (ditambah dengan pengajaran istilah dalam bahasa Inggeris) memberi kesan positif dalam meningkatkan prestasi pelajarnya dalam UPSR pada 2008 dan menurun peratus yang gagal.

"Kita harus bertanya, apakah sebab sebahagian besar pelajar luar bandar rendah penguasaan bahasa Inggeris? Tentu ada sebabnya iaitu sebahagiannya kerana kurikulum dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris untuk pelajar ini kurang sesuai," katanya.

Beliau berkata, pendekatan Communicative English atau bahasa Inggeris komunikasi diguna untuk mengajar pelajar asing di United Kingdom (UK) dan AS yang dipelopori Widdowson pada 1970-an dijadikan asas dan pendekatan mengajar pelajar di sekolah rendah dan menengah di Malaysia bermula awal 1980-an.

"Usaha itu relevan sebagai pendekatan pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa asing kepada pelajar asing di UK atau AS. Bahasa Inggeris komunikasi diguna pelajar asing dalam konteks masyarakat di kedua-dua negara yang menggunanya sebagai bahasa kehidupan seharian dalam pertuturan dan komunikasi.

"Pendekatan itu kurang sesuai untuk mengajar pelajar di sekolah rendah luar bandar di Malaysia kerana bahasa berkenaan tidak digunakan di luar bilik darjah. Masing-masing hanya menggunakan bahasa berkenaan selama kira-kira sejam sehari lima hari seminggu, dalam kelas saja," katanya.

Dr Isahak dalam kajian ilmiahnya bersama empat pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, mengenai kesan pelaksanaan PPSMI di sekolah mendapati, 83 peratus daripada murid di semua penempatan seluruh negara meluahkan kesukaran mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris, walaupun mereka mempelajari subjek ini sejak 2003.

Hasil kajian itu juga mendapati 85 peratus murid melaporkan guru mereka mengajar Matematik dan Sains dengan menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris.

Guru mengambil inisiatif lebih menerangkan semula dalam bahasa Melayu dengan harapan muridnya yang lemah bahasa Inggeris memahami apa yang hendak disampaikan.

Kajian membabitkan murid dalam tiga kohort, iaitu pada Februari 2007 seramai 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah. Ini diikuti pada Julai juga 2007 membabitkan seramai 636 dari 13 sekolah rendah. Seterusnya Januari lalu, tinjauan dilaksanakan membabitkan murid 1,703 murid Tahun Lima di 28 sekolah rendah.

Selain kajian UPSI menunjukkan kegagalan PPSMI meningkatkan minat pelajar dalam subjek Sains dan Matematik, pengkaji lain sebelum ini juga menunjukkan hasil sama.

Terdahulu sekumpulan penyelidik juga dari UPSI diketuai Zainuddin Bikum pada 2004 juga menunjukkan hasil sama.

Antara pengkaji lain yang mengenal pasti kesan negatif pelaksanaan PPSMI ialah Prof Madya Hashimah Jalaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2003 dan Prof Juriah Long juga dari UKM menerusi dana penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr Isahak berkata, konteks dan fungsi pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (atau bahasa asing) di Malaysia tentulah berlainan berbanding proses pengajarannya di UK atau AS.

"Kita perlu mengguna pendekatan lebih sesuai dengan konteks 'budaya' di Malaysia. Tentu sekali ada pendekatan alternatif lain dan sudah pun terdapat pendekatan lain mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa asing dalam konteks budaya lain," katanya.

Beliau menyarankan supaya kementerian mengguna dan menambah bilangan guru tempatan dan kukuhkan kecekapan mereka, tanpa perlu mengimport guru dari luar negara seperti UK, Australia dan AS mengajar pelajar kita kerana kosnya berganda selain mereka akan balik semula ke negara asal.

Kajian menunjukkan pelajar berlainan kebolehan perlu jangka masa berlainan untuk menguasai kecekapan berbahasa, termasuk bahasa Inggeris. Lebihkan masa dan banyakkan latihan untuk pelajar kita belajar bahasa Inggeris terutama pelajar di luar bandar.

Pelajar kita sudah pun berjaya belajar secara intensif pelbagai bahasa asing - Jepun, Arab, Korea, Perancis, Jerman dan Russia - untuk belajar di peringkat tinggi dalam pelbagai bidang di IPT di luar negara.


Mansuh PPSMI tak jejas BI: Najib

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


Najib mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara di Putrajaya, semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kanan); Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pengajaran bahasa Malaysia dalam Sains, Matematik ikut matlamat kerajaan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, perubahan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada bahasa Malaysia tidak menyimpang daripada matlamat kerajaan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Perdana Menteri berkata, perbezaannya hanya dari segi kaedah untuk memastikan pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.

"Dari segi matlamat, kita mempunyai matlamat yang sama. Kerajaan sedar betapa pentingnya penguasaan bahasa Inggeris yang baik untuk masa depan negara.

"Kita akan memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris menerusi penambahan waktu, guru yang berkualiti dan meningkatkan kemudahan lain seperti makmal bahasa," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kesembilan Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan, di sini semalam.

Beliau mengulas keputusan Kabinet meluluskan strategi baru memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Dasar PPSMI pada 2003 menyatakan rasa sedih kerana pemansuhan menjejaskan masa depan generasi muda.

Najib berkata, usaha pemantapan bahasa Inggeris termasuk kemungkinan mewajibkan kelulusan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ini semua menggambarkan kerajaan prihatin kepentingan penguasaan bahasa Inggeris untuk pastikan kita bersaing dalam dunia globalisasi sekarang," katanya.

Perdana Menteri juga berkata tambahan waktu dan pengenalan subjek Kesusasteraan Inggeris lebih baik untuk memantapkan penguasaan bahasa itu berbanding mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa berkenaan.

Mengenai cadangan sesetengah pihak supaya sekolah diberi pilihan meneruskan PPSMI, Najib berkata, ia akan dirujuk kepada Kementerian Pelajaran untuk dinilai.

Bagaimanapun, katanya, kajian kementerian dan pakar merumuskan penambahan waktu dan pengenalan Kesusasteraan Inggeris adalah kaedah terbaik.

"Dalam PPSMI, hanya lapan peratus guru mempunyai keyakinan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Realitinya, ini bukan sesuatu yang kita jangka akan berlaku," katanya.

Najib juga berkata, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia tidak menghalang pelajar memasuki kerjaya profesional seperti doktor.

"Itu bukan masalah kerana ramai doktor yang mengikuti (aliran) bahasa (Malaysia) pada peringkat universiti, terutama dari UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan mereka adalah doktor yang baik," katanya.


Kesatuan Guru Sarawak sokong keputusan Kabinet

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) akur dengan keputusan Kabinet memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun kebanyakan ahlinya terus menyokong dasar itu dilaksanakan.

Presiden STU, William Ghani Bina, berkata pihaknya tidak terkejut dengan langkah itu dan menyambut baik cadangan kerajaan bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, namun ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, keadaan pendidikan di Sabah dan Sarawak adalah berbeza dengan kerajaan perlu melengkapkan segala kemudahan pembelajaran di sini, sebelum melaksanakan pelbagai langkah menambah baik subjek bahasa Inggeris.

"Kami menerima banyak rungutan dari guru dan ibu bapa yang mengatakan anak-anak mereka dijadikan bahan kajian oleh kerajaan dengan kejayaan PPSMI tidak boleh hanya diukur dengan penurunan keputusan peperiksaan umum.

"Adakah salah bahasa Inggeris sekiranya keputusan Sains dan Matematik merosot sedangkan pelajar diberi pilihan menjawab dalam bahasa Malaysia atau bahasa ibunda masing-masing ketika peperiksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat STU di sini, semalam.

STU sebelum ini menjadi satu-satunya kesatuan guru di negara ini yang menyokong pelaksanaan PPSMI kerana menganggap subjek Sains dan Matematik harus diajar di dalam bahasa ilmu bagi memastikan penguasaannya.

Wiliam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Guru Sabah dan Sarawak (JGSS) berkata, kebanyakan sekolah di Sabah dan Sarawak masih menggunakan konsep dua sesi persekolahan dengan tambahan masa sehingga 280 minit bagi bahasa Inggeris agak sukar dilaksanakan.

"Di sekolah pedalaman masalah kekurangan kelengkapan mengajar akan mengganggu proses pembelajaran dengan tambahan masa, bermaksud tambahan guru diperlukan, sedangkan guru bahasa Inggeris sedia ada telah cukup terbeban.

"Keadaan ini menguntungkan pelajar di bandar kerana mereka mempunyai guru terlatih, perpustakaan awam, bahan rujukan yang banyak serta kelas tuisyen yang boleh dihadiri pada hujung minggu," katanya.

Beliau berkata, langkah ini akan mengejutkan pelajar sendiri kerana ada antara mereka dari tahun satu hingga tingkatan tiga mengikuti PPSMI dan tiba-tiba apabila memasuki tingkatan empat dan lima terpaksa menggunakan bahasa Malaysia atau ibunda.

"Jangan jadikan anak-anak kita sebagai mangsa kerana mereka yang terawal menerima PPSMI dulu terpaksa menggunakan bahasa Malaysia pada peringkat tingkatan empat dan lima, sebelum bertukar kembali pada bahasa Inggeris ketika tingkatan enam.

"Sebenarnya bukan saja pelajar yang terkejut, malah guru turut terkejut kerana terpaksa berpatah balik kepada sistem lama setelah hampir enam tahun menggunakan sistem PPSMI ini," katanya.


Waktu sekolah kekal

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Mohd Hamizar Hamid
bhnews@bharian.com.my


TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengadakan sidang media mengenai laporan keputusan pengajaran, pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah dan menengah dilaksanakan semula dalam Bahasa Malaysia mulai 2012 sambil diperhatikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Puad Zakarshi (dua kanan) dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (kanan). - Foto Afendi Mohamed

Masa subjek lain dipendekkan untuk mantap Bahasa Inggeris

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran semalam menjelaskan waktu persekolahan tidak akan dipanjangkan walaupun masa pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris (BI) ditambah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, sebaliknya berkata masa pembelajaran sesetengah subjek akan dipendekkan dalam pelaksanaan strategi baru untuk memartabatkan Bahasa Malaysia (BM) dan memantapkan BI.


Beliau memberi contoh waktu pembelajaran muzik antara yang akan dipendekkan dan masa berkenaan dipindahkan kepada pengajaran BI.

"Pelajar tidak akan terbeban dengan pelaksanaan ini, malah waktu persekolahan tidak dilanjutkan," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini. Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan semula dalam BM, manakala di sekolah jenis kebangsaan Cina serta Tamil dalam bahasa ibunda masing-masing mulai 2012.

Berikutan itu, BI akan dimantapkan dengan pertambahan waktu pembelajaran subjek berkenaan.

Mengenai penyediaan buku teks terutama bagi pelajar yang telah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam BI (PPSMI), Alimuddin berkata, ia mungkin dicetak dalam dwi-bahasa untuk mengelakkan timbul masalah di kalangan pelajar.

Beliau juga berkata, setakat ini kementerian belum membuat keputusan berhubung cadangan melaksanakan peraturan mewajibkan pelajar lulus BI dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, katanya, melalui ribuan e-mel dan maklum balas yang diterima setakat ini, 80 peratus menyatakan persetujuan berhubung perkara itu tetapi dengan syarat kementerian mesti menyediakan guru BI terlatih serta kemudahan pembelajaran yang efisien.

Mengenai pengambilan lebih 13,000 guru BI termasuk 600 yang sudah bersara, Alimuddin berkata, guru bersara boleh memohon terus kepada kementerian dan akan tempatkan di kawasan mereka tinggal supaya tidak perlu berpindah.

"Saya rasa ramai yang akan memohon kalau diberi peluang. Jika mereka ditempatkan di kawasan sendiri, saya rasa kita tidak ada masalah untuk dapatkan 600 orang yang disasarkan," katanya.

Alimuddin juga berharap ibu bapa menyokong usaha kerajaan memantapkan BI, termasuk menyediakan bahan bacaan di rumah atau menggunakan teknologi, maklumat dan komunikasi.

"Saya cadangkan ibu bapa menyediakan sekurang-kurangnya akhbar berbahasa Inggeris di rumah, majalah, novel atau buku bahasa Inggeris kepada anak-anak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kerajaan memperuntukkan kira-kira RM5 bilion untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran BI di sekolah rendah serta menengah bagi tempoh 2011 hingga 2015.

"Peruntukan itu akan membiayai pelaksanaan pelbagai langkah untuk memantapkan penguasaan BI, termasuk pengambilan guru asing terutama dari United Kingdom dan Australia," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

Ketika ini, 34,767 guru BI mengajar di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Mengenai pengambilan guru dari kalangan graduan universiti swasta, Mohd Puad berkata, perkara itu akan dibincang dengan Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran supaya ada kolaborasi antara kedua-dua pihak terutama berhubung latihan praktikal.

Mohd Puad berkata, ada juga cadangan supaya kementerian mewujudkan Institut Pendidikan Guru khusus untuk BI dan setakat ini sebuah pusat latihan di Nilai akan menjadi pusat kecemerlangan bagi melahirkan guru pakar dalam bahasa itu.

Mengenai bayaran insentif subjek pendidikan (BISP) berikutan pemansuhan PPSMI, beliau berkata, guru Sains dan Matematik tidak akan menerima bayaran itu mulai 2012 yang berjumlah kira-kira RM40 juta setahun.

Ketika ini, 61,040 guru Matematik mengajar di sekolah rendah dan 26,389 di sekolah menengah, manakala 46,946 guru Sains di sekolah rendah dan 25,781 di sekolah menengah.

"Lebih baik wang yang kita belanjakan bagi PPSMI seperti BISP, digunakan untuk menterjemahkan lebih banyak buku rujukan dalam bahasa Melayu bagi kegunaan pelajar. Institut Terjemahan Negara Malaysia di bawah kementerian ada keupayaan dan pakar yang profesional," katanya.

Mengulas kekeliruan orang ramai mengenai tempoh tiga tahun bagi memansuhkan PPSMI, Mohd Puad berkata, langkah itu mesti dilaksanakan secara `tertib' supaya tidak berlaku kejutan.

Beliau berkata, kementerian juga tidak akan mempertimbangkan cadangan supaya PPSMI dilaksanakan pada peringkat sekolah menengah.

Allow it to be taught in mission schools: Upko

Kota Kinabalu: Upko Deputy President Datuk Wilfred Bumburing urged the Federal Government to consider allowing Science and Mathematics to be taught in the English language in mission schools.

Bumburing, who is also Tuaran Member of Parliament, said Wednesday, since the Government allows the teaching and learning of the two subjects in Chinese and Tamil national-type schools to be carried out in their respective mother tongue, it would be a perfect if mission schools are allowed to conduct the two subjects in the English language.

"I believe many would still want the two subjects to be taught in the English language for various reasons and the Government should give the people a choice.

"Those who prefer the two subjects be taught in the Malay language, can go to national-type schools while those who prefer in the English language can go to mission schools," he said.

Bumburing said allowing the two subjects to be taught in English in mission schools would further enhance Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak's IMalaysia concept.

"I have met many parents who would prefer their children to study the two subjects in the English language as they have plans to send their children overseas for further studies and they believe that having a strong foundation in the two subjects in English would assist their kids greatly.

"There is no doubt that that Bahasa Malaysia as our national language is equally important, and all of us, be it Kadazans, Malays, Chinese, Indian or any other races, should be fluent and proud to use it.

"But for our youngsters to compete globally, we also need them to be fluent in English and as such allowing the two subjects to be taught in the English language in mission schools would assist greatly towards this end," he said.

He said if the Federal Government allows the teaching of the two subjects in English in mission schools, then it should also make it compulsory for these students to pass the Bahasa Melayu subject in all examinations.

"This will ensure that these students will also learn our national language and be good in it," he said, adding that he will bring up the proposal in the next Parliament sitting.


Kerajaan tidak cadang kembalikan sekolah aliran Inggeris

8th July, 2009

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak bercadang untuk menukar aliran persekolahan yang sedia ada sekarang kepada aliran Inggeris, Dewan Negara diberitahu kelmarin.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata kementerian yakin aliran persekolahan yang dilaksana kini masih relevan dan melaluinya kerajaan berupaya melahirkan modal insan berkualiti selaras dengan Dasar Pendidikan Negara serta kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Kementerian sentiasa berusaha mening-katkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid dan penyemakan semula kandungan sukatan pelajaran selaras dengan hasrat untuk mengemaskini kurikulum sukatan persekolahan telah dilaksanakan,” katanya menjawab soalan Senator Ng Fook Heng pada Persidangan Dewan Negara di sini.

Wee berkata pengajaran bahasa Inggeris di setiap sekolah adalah mengikut kurikulum yang diselaraskan oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum.

“Bagi memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, bilangan waktu mengajar yang diperuntukkan bagi mata pelajaran ini adalah sama bagi semua sekolah,” katanya.

Beliau berkata kementerian turut melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bahasa Inggeris di setiap sekolah bagi membolehkan murid menguasai bahasa itu serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Peranan pemimpin masyarakat juga penting dalam memberi kesedaran kepada ibu bapa dengan menyediakan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Inggeris sama ada di rumah atau di perpustakaan desa, katanya.


Keputusan wajar demi masa depan anak bangsa

KEPUTUSAN bahasa yang digunakan untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik telah dimuktamadkan.

Namun bukan bermakna ada pihak yang menang atau kalah kerana matlamatnya adalah untuk semua rakyat Malaysia.

Keputusan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam hanya mempunyai satu matlamat.

Semestinya ia bukan untuk kepentingan politik - jauh sekali kerana tunduk kepada desakan pihak-pihak tertentu.

Keputusan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kedua-dua subjek itu demi masa depan pelajar.

Ia juga selaras dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Usaha itu telah dimulakan sejak puluhan tahun lalu sehingga penggunaan bahasa Melayu diperluaskan ke mahkamah termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sebab itu apabila Sains dan Matematik mula diajar dalam bahasa Inggeris biarpun sangat diakui murni niatnya, banyak pihak yang membantah.

Apatah lagi selepas merujuk kepada statistik dan fakta, ketara ada kemerosotan keputusan peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran.

Bagi mengelak 'yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran', maka keputusan semalam dimuktamadkan selepas rundingan dengan pelbagai pihak dijalankan.

Semua pihak yang terlibat mencorakkan sistem pendidikan di negara ini mesti bergerak pantas susulan daripada pengumuman ini.

Selepas ini tiada lagi alasan untuk para pelajar terutama di luar bandar mencatatkan peratusan yang rendah dalam kedua-dua mata pelajaran.

Tidak ada alasan juga jika penguasaan bahasa Inggeris mereka lemah.

Ini kerana selain memuktamadkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu, formula memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris turut dibentangkan.

Usaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan penguasaan para pelajar dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris mesti digerakkan serentak.

Kesemua formula yang disenaraikan mesti dilaksanakan dengan berkesan.

Tiada ruang untuk menunggu hatta seminit sekali pun jika semua pihak benar-benar serius untuk memajukan anak bangsa terutama di luar bandar dan pedalaman.

Semua masalah yang menjadi faktor penghalang mesti segera dirungkai. Masalah kekurangan guru yang fasih berbahasa Inggeris misalnya mesti segera diatasi.

Begitu juga kaedah pengajaran yang tidak menarik sehingga gagal menarik minat pelajar untuk mempelajari mata pelajaran itu mesti segera diubah.

Tidak kurang pentingnya adalah pastikan graduan yang memilih profesion perguruan bukan kerana terpaksa. Mereka mesti menyerap 'roh' bidang perguruan itu dengan penuh minat selain ikhlas untuk mendidik anak bangsa.

Tanpa elemen itu, sebaik mana pun sistem yang dirangka, secantik mana pun dasar yang diperkenalkan, tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar pasti kekal di takuk lama.

Begitu juga bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Minda pelajar mesti dirangsang untuk mencintai kedua-dua mata pelajaran itu.

Akhirnya, semua pihak yang bersungguh-sungguh mahu bahasa Melayu dimartabatkan, tanggungjawab itu sebenarnya bukan hanya di peringkat dasar kementerian.

Di bahu mereka terpikul beban itu. Sekadar bercakap, menggesa dan berdemonstrasi tidak cukup untuk memastikan martabat bahasa Melayu diangkat selamanya.


Politik Luar Negara Sukan Bisnes Laporan Saham Mahkamah Jenayah Rencana Bicara Agama Forum GAYA HIDUP Hiburan Keluarga Feminin Rancangan

TEKS kenyataan akhbar Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dasar memartabatkan bahasa Melayu, memantapkan bahasa Inggeris dan tawaran baru sistem pendidikan Malaysia di Putrajaya, semalam.

Muhyiddin Yassin bersama Timbalannya, Dr. Puad Zarkashi dan Wee Ka Siong semasa sidang akhbar pengumuman pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains menggunakan bahasa ibunda di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam.


KABINET hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran ingin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia. Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Keputusan Kabinet untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan mula berkuat kuasa pada tahun 2012. Perlaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula pada tahun 2012.

Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi. Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.

Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.

Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati:

- Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

- Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

- Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai tahap profisiensi.

n Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

- Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot dari tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot dari tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.

Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil di SJK (T).

Kerajaan juga telah memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid:

n Menambah bilangan guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Ini termasuklah 1,000 orang guru luar negara, 600 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan daripada IPGM, IPTA dan IPTS. Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik. Pihak Kementerian juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 bagi kelas besar seperti kelas yang melebihi 35 murid di Tahun Satu dan Dua untuk meningkatkan 'contact time' antara guru dan murid.

n Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu manakala bagi tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.

- Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap I ditambah 100 peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu.

- Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.

- Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.

- Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu dari tiga jam menjadi enam jam seminggu.

- Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk mengukuhkan minat membaca di kalangan murid di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.

- Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.

- Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.

- Pelajaran tatabahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

- Untuk mendedahkan murid dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi kurikulum bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.

Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah.

Di peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

Penekanan terhadap aspek Kesusasteraan Melayu bertujuan memperkayakan aspek kebahasaan di samping menonjolkan aspek pemikiran, nilai, budaya masyarakat Malaysia.

Dengan keputusan ini, kerajaan menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik dan Bahasa Malaysia.

Kerajaan percaya akan dapat memartabatkan bahasa Malaysia, memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting untuk masa depan negara.


Thursday, July 9, 2009

PAGE terkejut dengan keputusan PPSMI

KUALA LUMPUR 8 Julai - Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) merasa hampa dan terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Kabinet berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presidennya, Datin Noor Azimah Abdul Karim berkata, keputusan itu bertentangan dengan kajian yang dibuatnya terhadap ibu bapa yang merujuk bahawa 95 peratus daripada mereka menyokong agar pelaksanaan PPSMI diteruskan.

Justeru beliau menegaskan agar kerajaan memberi pilihan kepada pihak sekolah dan ibu bapa sama ada untuk mengekalkan pelaksanaan tersebut di sekolah masing-masing.

''Kami akan merayu agar kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran memberi pelepasan kepada pihak sekolah yang mahu meneruskan pelaksanaan dasar tersebut kerana kami tahu banyak sekolah dan ibu bapa yang bersetuju agar PPSMI diteruskan," tegas beliau.

Katanya, secara logistik di pihak sekolah yang terlibat telah menunjukkan kelancaran pelaksanaan PPSMI itu.

Beliau berkata, PAGE telah dijemput oleh Kementerian Pelajaran untuk memberi pandangan semasa mesyuarat meja bulat sebanyak dua kali pada tahun lalu.

''Kali terakhir kami membentangkan dapatan kajian kami kepada ahli-ahli politik iaitu pada pertengahan bulan Oktober tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Seminar Kesedaran Keselamatan Internet di sini hari ini.

PAGE telah mengedarkan borang kaji selidik berjumlah 3,000 kepada pihak sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara dan sejumlah 2,000 borang yang diisi menunjukkan 95 peratus menyokong pelaksanaan PPSMI untuk diteruskan.

Noor Azimah berkata, PAGE juga terkejut kerana semasa mesyuarat meja bulat itu tiada perbincangan mengenai pemansuhan PPSMI untuk sekolah-sekolah menengah.

Malah kata beliau, pihaknya turut mengusulkan jika berlaku pemansuhan, ia harus berlaku pada tahun 2016.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAGE, Mahiyuddin Abdul Rahman menegaskan bahawa sepatutnya keputusan mengenai masa depan pendidikan para pelajar terletak di tangan ibu bapa.

''Adakah jaminan daripada anak-anak kami pada masa hadapan mampu bersaing dan mendapat pekerjaan yang lebih terjamin di syarikat-syarikat swasta?" katanya.

PAGE turut menegaskan terdapat beberapa kekeliruan dalam kenyataan berhubung kejatuhan peratusan dalam keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2005 dan 2007 dan tidak boleh dikaitkan dengan pelaksanaan PPSMI.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, pihaknya akur dengan keputusan kabinet itu tetapi akan merayu agar PPSMI dikekalkan untuk sekolah menengah.

''Kami ada tempoh lagi dua tahun untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan agar cadangan kami itu diteliti dan diterima,'' katanya.

Pada dasarnya beliau berkata, NUTP telah mencadangkan kepada kerajaan agar pelaksanaan PPSMI di peringkat sekolah rendah dimansuhkan manakala di peringkat sekolah menengah diteruskan.

''Bagaimanapun kami gembira kerajaan tidak membuat perubahan serta merta kerana sebarang perubahan memerlukan masa untuk penyesuaian,'' katanya.

Beliau juga berharap agar mata pelajaran bahasa Inggeris dimantapkan dengan memastikan guru-gurunya berkualiti dan cemerlang sama ada dalam pengajaran mahupun pertuturan.

Menurut Yim Pheng, NUTP juga akan mengadakan perbincangan dengan ahli-ahlinya berhubung keputusan kabinet itu.