Friday, July 10, 2009

Mansuh PPSMI tak jejas BI: Najib

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


Najib mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara di Putrajaya, semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kanan); Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pengajaran bahasa Malaysia dalam Sains, Matematik ikut matlamat kerajaan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, perubahan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada bahasa Malaysia tidak menyimpang daripada matlamat kerajaan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Perdana Menteri berkata, perbezaannya hanya dari segi kaedah untuk memastikan pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.

"Dari segi matlamat, kita mempunyai matlamat yang sama. Kerajaan sedar betapa pentingnya penguasaan bahasa Inggeris yang baik untuk masa depan negara.

"Kita akan memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris menerusi penambahan waktu, guru yang berkualiti dan meningkatkan kemudahan lain seperti makmal bahasa," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kesembilan Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan, di sini semalam.

Beliau mengulas keputusan Kabinet meluluskan strategi baru memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Dasar PPSMI pada 2003 menyatakan rasa sedih kerana pemansuhan menjejaskan masa depan generasi muda.

Najib berkata, usaha pemantapan bahasa Inggeris termasuk kemungkinan mewajibkan kelulusan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ini semua menggambarkan kerajaan prihatin kepentingan penguasaan bahasa Inggeris untuk pastikan kita bersaing dalam dunia globalisasi sekarang," katanya.

Perdana Menteri juga berkata tambahan waktu dan pengenalan subjek Kesusasteraan Inggeris lebih baik untuk memantapkan penguasaan bahasa itu berbanding mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa berkenaan.

Mengenai cadangan sesetengah pihak supaya sekolah diberi pilihan meneruskan PPSMI, Najib berkata, ia akan dirujuk kepada Kementerian Pelajaran untuk dinilai.

Bagaimanapun, katanya, kajian kementerian dan pakar merumuskan penambahan waktu dan pengenalan Kesusasteraan Inggeris adalah kaedah terbaik.

"Dalam PPSMI, hanya lapan peratus guru mempunyai keyakinan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Realitinya, ini bukan sesuatu yang kita jangka akan berlaku," katanya.

Najib juga berkata, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia tidak menghalang pelajar memasuki kerjaya profesional seperti doktor.

"Itu bukan masalah kerana ramai doktor yang mengikuti (aliran) bahasa (Malaysia) pada peringkat universiti, terutama dari UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan mereka adalah doktor yang baik," katanya.


No comments:

Post a Comment