Wednesday, July 8, 2009

50 SJK Cina tanpa pelajar dipindah

NILAI 7 Julai – Sebahagian daripada 75 buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina di seluruh negara yang kekurangan pelajar telah berpindah ke lokasi lebih strategik supaya pendidikan aliran berkenaan dapat terus dipertahankan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah berkenaan dilaksanakan sejak tahun 2000 dengan 50 buah sekolah telah berpindah.

Kata beliau, tindakan memindahkan sekolah yang ‘lesu’ itu perlu supaya tidak berlaku pembaziran sekali gus dapat memberi nafas kepada pengurusan sekolah untuk menjadi lebih bertenaga.

‘‘Proses perpindahan sekolah ke lokasi baru itu dijalankan berdasarkan beberapa faktor seperti kepadatan penduduk, jumlah permintaan pelajar, lokasi yang strategik dan faktor kemudahan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan bangunan dan kunci SJK (C) Bukit Kledek, Putra Nilai di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa MCA Negeri Sembilan, Datuk Dr. Yeow Chai Thiam dan Ketua Pegawai Eksekutif PK Resources Berhad, Tan Sri Dr. Gan Kong Seng.

Dalam perkembangan lain, Ka Siong memberitahu, beliau mengalu-alukan usaha projek perpindahan SJK (C) Bukit Kledek yang merupakan ihsan PK Resources Berhad.

‘‘Projek pembinaan dan kawasan tapak sekolah yang mempunyai keluasan 2.4 hektar ini telah didermakan oleh Tan Sri Dr. Gan Kong Seng sendiri,” katanya.


No comments:

Post a Comment