Monday, July 6, 2009

Didik pelajar di jalan raya

Oleh Khairunnisa Kamarudin
khairunnisa@bharian.com.my

Sekolah di ibu kota disaran sertai pertandingan anjuran Shell

KUALA LUMPUR: Sekolah di seluruh ibu kota digalakkan menyertai pertandingan pendidikan lalu lintas keselamatan jalan raya yang dianjurkan Shell bagi mendidik generasi muda mengenai kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya dalam usaha melahirkan pemandu berhemah pada masa depan.

Yang Dipertua Majlis Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MKJRWP), Datuk Salleh Yusop, berkata setakat ini hanya 120 sekolah rendah dan menengah di seluruh ibu kota menyertai pertandingan terbabit dan pihaknya berharap jumlah itu akan meningkat.


“Pertandingan pendidikan ini sangat bermanfaat kepada pelajar dalam mendidik dan mendedahkan mereka mengenai undang-undang jalan raya. Generasi muda ini adalah pewaris kesinambungan masa depan oleh itu kita tidak mahu mereka terkorban atau mengalami kecederaan kekal pada usia muda.

"Pertandingan ini diharap mampu menyalurkan maklumat pemanduan betul kepada mereka atau sekurang-kurangnya mengenali kesalahan biasa dilakukan sekali gus berupaya menyelamatkan nyawa mereka," katanya, ketika merasmikan majlis penutup program itu di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Operasi Jualan dan Hubungan Luar Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shaharom Faiz Farid Wajidi.

Salleh yang juga Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, di seluruh Wilayah Persekutuan terdapat lebih 300 sekolah rendah serta menengah dan pihaknya mengharapkan penyertaan lebih banyak sekolah pada tahun berikut penganjuran program itu.

“Statistik kemalangan bagi tahun ini di seluruh ibu kota sehingga April saja sudah menunjukkan 16,584 kemalangan dengan 76 kematian membabitkan kategori usia 16 tahun hingga 30 tahun adalah membimbangkan,” katanya.

Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa muncul pasukan terbaik bagi kategori sekolah menengah menewaskan SMK Puteri Wilayah (tempat kedua) dan SMK Setapak Indah (ketiga).

Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru muncul juara mengalahkan SK Taman Melati dan SK Jalan Air Panas.

Acara tahunan itu yang diadakan sejak 52 tahun lalu dianjurkan MKJRWP, DBKL, Shell dan Kementerian Pelajaran, bertujuan melahirkan generasi muda yang peka dan berilmu terhadap keselamatan jalan raya.

Pertandingan itu diadakan secara menyeluruh dengan setiap tahun lebih 100 sekolah mengambil bahagian bagi mendedahkan pelajar kepada peraturan dan undang-undang jalan raya, simbol yang digunakan serta ujian berkomputer.


No comments:

Post a Comment