Wednesday, July 8, 2009

Mencegah penularan wabak H1N1


Yew Teong Look (dua dari kanan) membantu seorang murid memakai penutup mulut dan hidung sambil diperhatikan Zaifuddin Baharom (kanan) semasa melawat Sekolah Kebagsaan Setapak Indah di Setapak, semalam.

SETAPAK 6 Julai – Prihatin dan ambil berat. Demikianlah sikap yang ditunjukkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look terhadap kes penularan selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Sehubungan itu, beliau membuat lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan Setapak Indah di sini dan menyampaikan bantuan penutup mulut dan hidung kepada lebih 1,246 pelajar sekolah itu hari ini.

Sebanyak 1,400 penutup mulut dan hidung dan empat botol pembersih tangan segera telah diberikan kepada pihak sekolah sebagai langkah mencegah kejadian penularan wabak tersebut.

Teong Look berkata, dengan cara itu orang ramai terutamanya pelajar sekolah dapat mencegah diri mereka daripada sebarang jangkitan wabak penyakit tersebut.

“Pihak kami amat bimbang dengan kesihatan orang ramai berikutan penularan wabak penyakit selesema babi yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

“Boleh dikatakan setiap hari jumlah pesakit yang disyaki menghidapi penyakit tersebut semakin bertambah dan teruk.

“Kita tengok sahajalah jumlah kematian yang berlaku di dunia sekarang ini,” katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan Setapak Indah di sini hari ini.

Katanya, beliau telah menyediakan bantuan sebanyak 10,000 topeng pernafasan kepada semua sekolah di Wangsa Maju untuk diedarkan.

Tambahnya, peruntukan untuk membeli semua peralatan itu telah ditanggung sendiri olehnya demi keselamatan orang ramai di kawasan Wangsa Maju.

Difahamkan, pada hari Jumaat lalu, satu kes selesema babi telah dilaporkan di sekolah berkenaan yang melibatkan seorang murid lelaki tahun enam.

Pada mulanya, murid tersebut dilaporkan mengalami demam biasa oleh doktor yang memeriksanya pada hari Rabu dan memberikannya cuti sakit selama sehari.

Bagaimanapun, selang dua hari daripada kejadian itu, murid tersebut telah dilaporkan disyaki menghidapi penyakit selesema babi.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan telah menghantar surat arahan kepada pihak sekolah supaya menutup kelas tersebut dan mengkuarantinkan murid kelas itu.

Dalam pada itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Setapak Indah, Zaifuddin Baharom memberitahu, pihaknya telah menerima arahan tersebut pada hari Jumaat yang lalu.

Menurutnya, pihak sekolah telah berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan semua keluarga pelajar yang terlibat dan memberi taklimat kepada mereka mengenai proses kuarantin yang akan dilaksanakan.

“Seramai 35 pelajar semuanya dalam kelas tersebut termasuk seorang pelajar yang disyaki telah dikuarantinkan bagi mencegah penularan wabak itu di sekolah.

“Tempoh kuarantin yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam kes ini adalah selama seminggu, iaitu bermula pada hari Jumaat lepas.

“Jika dalam tempoh tersebut berlaku simptom-simptom jangkitan kepada pelajar-pelajar ini, ambulans akan terus dihantar ke rumah dan dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, pihak sekolah juga telah menampal poster dan membuat pengumuman mengenai selesema babi itu kepada semua pelajar supaya mengutamakan kebersihan diri.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kelas yang terlibat itu telah dikosongkan dan dikunci oleh pihak sekolah.

Pihak sekolah juga telah membersihkan kelas tersebut sebaik sahaja mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan.

No comments:

Post a Comment