Wednesday, July 8, 2009

Pelajar pakai seragam dilarang ke pusat siber

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

Tindakan elak penuntut ponteng guna alasan siapkan tugasan

KUALA LUMPUR: Pelajar berpakaian seragam tidak dibenarkan memasuki pusat siber tidak lama lagi seperti larangan terhadap mereka di pusat permainan video, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Kah Siong.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi membendung kegiatan ponteng yang dilaporkan semakin berleluasa di pusat siber.

“Saya akan mengemukakan cadangan itu kepada Kabinet berikutan Kementerian Pelajaran menerima banyak aduan pusat siber disalah guna pelajar ponteng dengan memberi alasan menghabiskan tugasan diberi guru.

“Kementerian memandang serius gejala ini dan pada peringkat awal, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen premis serta Kementerian Dalam Negeri yang menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri lawatan Menteri Pelajaran Australia, Stephen Smith pada projek Pendidikan Malaysia-Australia untuk Afghanistan (Maepa) di Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa Lembah Pantai, di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan pemilik pusat siber membenarkan pelajar berpakaian seragam melayari laman web lucah di internet termasuk permainan video.

Wee berkata, setakat ini, tidak ada peruntukan atau peraturan jelas larangan pelajar berpakaian seragam mengunjungi pusat siber, sedangkan pada masa sama mereka tidak dibenar memasuki pusat permainan video.

Jika cadangan ini dipersetujui Wee berkata, kementerian yakin pelajar ponteng dengan berselindung di pusat siber dapat dibendung.

“Pergerakan mereka perlu dikawal dari semasa ke semasa kerana dikhuatiri aktiviti di pusat siber itu disalah guna dengan melakukan kegiatan tidak berfaedah, sekali gus boleh meruntuhkan moral,” katanya.

Mengenai kes Influenza (A), beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan guru besar dan pengetua yang mengetuai unit H1N1 mengemukakan laporan terkini wabak itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah.

“Laporan terkini penting supaya perkembangan gejala itu dipantau bagi mengelak terus menular,” katanya.


No comments:

Post a Comment