Saturday, July 4, 2009

Pelajar adu pengetua miang diusir asrama

Oleh Ramli Hussin
bhkb@bharian.com.my

Masuk bilik penghuni perempuan, berkaraoke hingga 1 pagi

PASIR PUTEH: Seorang pelajar Tingkatan Enam yang juga ketua asrama pelajar digantung dari asrama sekolahnya di bandar ini lebih sebulan lalu kerana membuat laporan salah laku pengetua.

Sumber berkata, pelajar perempuan berusia 19 tahun itu dikenakan tindakan kerana pengetua tidak berpuas hati selepas mengetahui beliau membuat aduan salah lakunya kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar sekolah.

Katanya, pelajar terbabit bertindak demikian demi tanggungjawabnya sebagai ketua asrama yang memastikan keselamatan penghuni perempuan berikutan tiada warden wanita.

“Pelajar terbabit mendakwa sudah lama bersabar melihat pengetua bebas keluar masuk asrama perempuan tanpa mengira masa.

“Lebih memalukan pengetua itu ke asrama mulai jam 9 malam hingga 1 pagi berkaraoke bersama beberapa pelajar perempuan kesayangannya.

“Ketua pelajar terbabit turut mendakwa melihat beberapa lelaki luar keluar masuk kawasan asrama pelajar perempuan yang dilarang kepada semua termasuk guru lelaki jika tiada guru wanita bersama,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, ketua pelajar terbabit pernah dihambur pelbagai kata-kata kesat oleh pengetua berkenaan di depan rakan pelajar lain kerana tidak berpuas hati terhadap tindakannya membuat laporan salah laku itu.

Sementara itu, pelajar terbabit ketika ditemui di rumahnya, mengesahkan dia digantung dari asrama sejak 17 Mei lalu oleh pengetua dengan alasan membuat laporan tidak berasas.

“Alasan diberikan kerana saya suka menjaga tepi kain orang dan membuat laporan tidak berasas. Namun, saya melaporkan kejadian yang saya lihat sendiri berlaku di asrama.

“Mengikut arahan diterima, saya direhatkan daripada menduduki asrama mulai 17 Mei lalu sehingga ke tarikh diberitahu kelak,” katanya.

Gadis itu berharap dapat kembali tinggal di asrama sekolah kerana beliau akan menghadapi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akhir tahun ini.

Sementara itu, ibunya yang enggan namanya disiarkan, berharap anaknya dapat kembali ke asrama untuk memudahkan membuat persiapan menghadapi STPM akhir tahun ini.

“Mana saya nak cari duit untuk perbelanjaan dia berulang alik ke sekolah.

“Saya berharap Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan memberi perhatian kepada kes ini supaya anak saya kembali belajar dengan tenang tanpa sebarang tekanan,” katanya.

47 kejadian baru selesema babi, dua kelas diarah tutup

PUTRAJAYA: Sebanyak 47 lagi kes jangkitan terbaru selesema babi atau Influenza A (H1N1) membabitkan 41 kes import dan enam kes tempatan dikesan sehingga jam 8 pagi semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 291 di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan juga mengarahkan masing-masing satu kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak Indah (Kelas 6A), Kuala Lumpur dan di Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka, Cheras ditutup seminggu kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata 47 kes jangkitan terbaru membabitkan 28 rakyat Malaysia dan 19 warga asing termasuk sembilan warga Indonesia, Australia (lima), Filipina (dua) dan masing-masing satu dari Botswana, Iraq dan Amerika Syarikat (AS).

Semua 41 pesakit kes import mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan H1N1 termasuk Indonesia, Australia, Filipina, Thailand, Singapura, United Kingdom (UK), AS, China dan Vietnam.

Enam kes jangkitan tempatan pula membabitkan warga tempatan iaitu tiga pelajar dari Sekolah Menengah Tsu Jin, Jalan Loke Yew, Cheras Kuala Lumpur yang ditutup minggu lalu, manakala satu kes adalah kontak kes import ke-147 yang bersekolah di SK Setapak Indah.

Kes penularan tempatan kelima dalam tempoh 24 jam lalu membabitkan kontak kes import ke-170 yang bersekolah di Sekolah Antarabangsa Sri Chempaka (8 Aqua), manakala satu lagi kes kontak kepada mangsa ke-143.

Dr Ismail berkata, setakat ini, 175 daripada 291 pesakit H1N1 sudah sembuh dan dibenarkan pulang, manakala baki 116, termasuk 59 disahkan positif dan 57 masih menunggu keputusan ujian makmal.

Mengenai situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan 81,029 kes dengan 340 kematian di 121 negara dilaporkan sehingga semalam.

Antara negara baru mencatat kematian ialah Brunei, Filipina dan Thailand, manakala lima negara baru mengesahkan jangkit H1N1 ialah New Caledonia (enam), Kenya (12) dan masing-masing satu di Mauritius, Myanmar dan Saint Lucia.

Lima negara yang melaporkan pertambahan tertinggi adalah Chile (2,190), United Kingdom (2,108), Mexico (749), Thailand (640) dan Brazil (228).

Ditanya mengenai kuarantin di rumah, katanya, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan surat menyatakan seseorang perlu dikuarantin di rumah.

Sekolah ambil usaha kurangkan masalah disiplin

KOTA BHARU: Pengurusan semua sekolah di negeri ini diminta menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sedia ada dengan lebih ketat, bagi mengelakkan lebih ramai pelajar yang terbabit dalam perbuatan jenayah.

Pengarah Pelajaran Negeri, Ghazali Abdul Rahman, berkata langkah terbabit penting bagi mengurangkan masalah pelajar yang sebelum ini sudah mempunyai masalah disiplin daripada terus terjebak dalam kegiatan jenayah.

"Perkara ini patut dipandang serius kerana kebanyakan jenayah yang berlaku membabitkan golongan remaja. Maka, sekolah memainkan peranan penting dalam mengurangkan kegiatan itu.

"Memang menjadi tanggungjawab besar kepada pihak sekolah kerana terpaksa memegang dua tanggungjawab dalam satu masa iaitu mengajar dan mendidik untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berkaitan tangkapan tujuh pelajar Tingkatan Dua dari sebuah sekolah di Pasir Puteh, kelmarin kerana dikesan mendalangi kegiatan pecah rumah ketika mereka ponteng sekolah.

Ghazali berkata, sekolah sepatutnya sedia maklum mana-mana pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah dan perlu memantau pergerakan mereka terutama masalah ponteng.

"Dengan pemantauan secara berterusan itu, pelajar berkenaan tidak mampu bergiat aktif untuk melakukan sebarang masalah terutama bertindak melakukan kegiatan pecah rumah.

"Tindakan lanjut berkaitan penahanan tujuh pelajar berkenaan kita serahkan sepenuhnya kepada polis. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia adalah tanggungjawab polis dan kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah," katanya.

Ghazali berkata, peranan ibu bapa turut terbabit dalam menyelesaikan masalah dan tidak bertindak menyerahkan tanggungjawab kepada sekolah semata-mata.

"Jika tiada kerjasama daripada kedua-dua pihak, perkara ini akan menjadi lebih serius sekali gus mampu memburukkan imej pihak sekolah.

"Kebanyakan ibu bapa hanya menyerahkan pelajar kepada pihak sekolah sepenuhnya tanpa memantau pergerakan mereka. Sekiranya berlaku masalah, mereka akan menyalahkan pihak sekolah tanpa mengkaji di sebalik masalah yang berlaku," katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada pelajar sekolah supaya fokus dalam pembelajaran dan tidak sepatutnya status sebagai pelajar boleh terjebak dalam beberapa kes pecah rumah.

Guru Kemas perlu tingkat ilmu


HasSan Malek (lima dari kanan) bersama Pengarah Kemas negeri, Mohd. Adnan Md. Daud (tengah) meraikan kejayaan bersama kanak-kanak tabika yang muncul Juara Keseluruhan Hari Potensi peringkat kebangsaan pada majlis kesyukuran di Alor Biak, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 3 Julai - Seramai 27 orang guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri Kedah akan memperoleh diploma pada September ini bagi memastikan kanak-kanak di bawah seliaan mereka mendapat ilmu yang mencukupi.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek berkata, guru tabika perlu mempunyai kemahiran mencukupi untuk mendidik anak-anak supaya mereka mempunyai asas kukuh sebelum memasuki alam persekolahan.

"Kesemua mereka perlu mempunyai asas pendidikan dan kerajaan juga sedang merancang menaik taraf pendidikan mereka sehingga ke peringkat ijazah.

"Namun pada masa sekarang kita akan tumpu pada usaha memastikan setiap guru Tabika Kemas mempunyai diploma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis kesyukuran sempena kejayaan Kemas Negeri Kedah di Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas peringkat kebangsaan.

Menurut Hassan, guru-guru Tabika Kemas perlu melengkapkan diri dengan ilmu kerana proses perkembangan minda kanak-kanak amat cepat.

"Potensi kanak-kanak amat besar dan terpulang pada guru-guru untuk membentuk ia," katanya.

Dalam pada itu, Hassan memberitahu, kerajaan menyalurkan kira-kira RM50 juta kepada Kemas Kedah untuk digunakan bagi membangunkan tabika, teknologi maklumat dan sebagainya di negeri ini.

"Saya harap wang peruntukan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk memajukan masyarakat di negeri ini.

"Jumlah ini memang banyak dan menunjukkan kerajaan tetap prihatin dengan nasib rakyat di negeri ini walaupun berada di bawah pemerintahan parti pembangkang," jelasnya.

Friday, July 3, 2009

Papan putih interaktif merangsang transformasi P&P

oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Dalam sebuah bengkel seminar para menteri sempena The British Educational Technology Show (BETT 2007), apabila peserta-peserta dari pelbagai negara ditanya tentang apa yang mereka harapkan ada di sekolah mereka berdasarkan keutamaan, hampir 70 peratus menyatakan interactive whiteboard atau papan putih interaktif (IWB). Mereka diminta memilih antara akses jalur lebar, `connectivity’, komputer peribadi (desktop dan notebook) dan beberapa item pembelajaran berasaskan teknologi maklumat (IT). Respon ini menunjukkan bahawa peserta-peserta ini melihat kegunaan besar papan putih di dalam kelas di sekolah-sekolah negara mereka.

Direkodkan hampir 600,000 papan putih interaktif dijual di seluruh dunia menghasilkan jualan mencecah US $1 billion dalam tahun 2008. Dianggarkan setiap satu daripada enam kelas di dunia akan mempunyai papan putih interaktif menjelang 2012.

Dikatakan juga dalam tahun 2004, hanya 26 peratus British sekolah rendah di British mempunyai papan putih interaktif. Namun dalam tempoh tiga tahun, menurut bancian British Educational Communications and Technology Agency (Becta) 2007, 98 peratus daripada sekolah rendah dan 100 peratus sekolah rendah British telah mempunyai papan putih interaktif.

Bagi golongan yang sinikal terhadap teknologi, papan putih interaktif hanyalah sekadar satu lagi perkakasan dalam pendidikan. Bagaimanapun bagi ramai pihak di seminar para menteri tersebut, ia bukan sekadar perkakasan IT, tetapi apabila digandingkan dengan perisian interaktif yang baik dan mesra pengguna, connectivity, akses jalur lebar yang berkesan serta latihan kepada guru, ia berupaya untuk mengubahkan pendekatan, mood dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas.

Dengan perisian,`features’ dan aplikasi yang disertakan dengan papan putih interaktif ini, guru-guru boleh membangunkan bahan-bahan P&P dengan begitu mudah dan boleh menambah baikkannya dari semasa ke semasa. Dengan jumlah pengguna (user base) yang tinggi di seluruh dunia, mereka juga boleh berkongsi bahan P&P dan memuat turunkannya dari capaian web tertentu. Ini banyak menjimatkan masa mereka untuk menyediakan bahan P&P.

Pendekatan dengan murid di dalam kelas juga menjadi berbeza. Murid turut dilatih menggunakannya untuk belajar dan membentangkan tugasan. Semua ini akhirnya menjadikan persekitaran P&P dalam kelas amat interaktif dan tidak membosankan walaupun di sekolah tertentu di UK, waktu kelas boleh mencecah sehingga 160 minit!

Justeru tidak menghairankan jika ramai guru di United Kingdom (UK), Australia dan Canada dan begitu teruja menggunakannya di dalam kelas sehinggakan mereka tidak lagi boleh mengajar dengan baik tanpa papan putih interaktif. Lawatan saya ke beberapa buah sekolah di Australia dan UK menunjukkan guru bagi semua subjek amat bergantung pada `features’ yang ditawarkan oleh papan putih interaktif ini.

Di Malaysia, saya difahamkan papan putih interaktif telah diperkenalkan seawal tahun 2002 di Maktab Tentera Di Raja Malaysia (MTD). Mungkin hari ini, MTD adalah satu-satunya sekolah kerajaan di Malaysia yang mempunyai papan putih interaktif di dalam setiap kelas. Ini menjadikan pelaksanaannya efektif kerana guru dan pelajar tidak diberi sebarang pilihan, melainkan terpaksa membudayakan diri menggunakan papan putih interaktif dalam P&P.

Papan putih interaktif telah diperkenalkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada tahun 2004. Bagaimanapun banyak pertanyaan yang ditimbul dari segi strategi pelaksanaannya di sekolah-sekolah di Malaysia.

Di peringkat awal, pada tahun 2005, iaitu sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) diumumkan, sejumlah sekolah yang baik telah diberikan papan putih interaktif agar ia dapat digunakan secara rintis. Pada tahun 2006, lebih banyak lagi jenama dan perisian papan putih interaktif ini dirintis. Lebih banyak sekolah lagi dilibatkan. Sewaktu program rintis masih dijalankan, difahamkan KPM telah membeli sejumlah apparatus papan putih interaktif untuk sejumlah sekolah luar bandar. Pada ketika yang sama, 88 buah Sekolah Bestari masih belum dilengkapkan dengan sebarang papan putih interaktif, melainkan kelas yang terlibat dengan projek rintis sahaja.

Dari maklum balas yang diterima, ramai guru di sekolah yang terlibat dalam projek rintis, termasuk yang dipinjamkan papan putih interaktif semasa Persidangan Sekolah Bestari Antarabangsa 2007 berminat untuk menggunakannya secara berterusan kerana mereka telah melihat manfaatnya di dalam kelas.

Saya dimaklumkan sekolah-sekolah di UK telah diperkenalkan dengan papan putih ini seawal tahun 1996 lagi. Walaupun ada usaha untuk melengkapkan sejumlah sekolah yang bersedia dengan papan putih interaktif dan dikhabarkan terdapat RM 10 juta diperuntukkan dalam RMKe-9 untuk tujuan ini, namun selepas lima tahun ia diperkenalkan di Malaysia, kita masih menanti pelaksanaannya di sekolah-sekolah yang telah bersedia dari segi IT, terutama sekolah-sekolah yang bertaraf bestari.

Utusan mulakan program Pendidikan Sepanjang Hayat

Kumpulan Utusan memulakan program sulung Pendidikan Sepanjang Hayat di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sungai Sireh dekat sini hari ini.

Program sehari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang itu melibatkan sebanyak 200 calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari SRK Sungai Sireh, SRK Berjaya dan SRK Sri Gambut.

Mereka didedahkan dengan bengkel kecemerlangan pendidikan termasuk kelas bahasa Inggeris.

Sementara itu sebanyak 200 pelajar iaitu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Burung, SMK Datuk Harun dan SMK Sri Desa yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut diberikan pendedahan yang sama.

Program sulung itu turut mendapat penajaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung, Datuk Mohd. Shamsudin Lias.

Mohd. Shamsudin dalam ucapannya menyeru para pelajar supaya berusaha bersungguh-sungguh menguasai bahasa Inggeris sama ada dari segi pertuturan mahu pun penulisan.

Beliau menegaskan, bahasa antarabangsa itu adalah tiket untuk cemerlang dalam akademik dan amat diperlukan ketika memasuki pasaran pekerjaan selepas tamat belajar di pusat pengajian tinggi.

"Biarlah ada pihak mendakwa tindakan menguasai bahasa Inggeris seolah-olah meminggirkan bahasa Melayu, tetapi percayalah akhirnya nantinya diakui menguasai bahasa Inggeris amat penting dalam kehidupan masa depan," ujar beliau.

Mohd. Shamsudin juga berharap bengkel pendidikan itu dapat melahirkan ramai murid cemerlang kerana masih ada sekolah di luar bandar yang gagal melahirkan anak didik mereka memperoleh 5A dalam UPSR.

Program dengan kerjasama Universiti Sains dan Pengurusan (MSU)/Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) dengan pembiayaan RM1.1 juta itu akan diadakan di 44 buah sekolah di seluruh negara dan berakhir pada pertengahan tahun depan.

Aktiviti yang dianjurkan ialah bengkel kecemerlangan pendidikan dengan kumpulan sasarannya calon-calon peperiksaan utama di peringkat sekolah rendah dan menengah termasuk kelas bahasa Inggeris.

Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim yang juga pengurus program berkata, program tersebut akan digerakkan ke kawasan-kawasan lain di sebuah sekolah yang dipilih sebagai tuan rumah.

Turut hadir Naib Presiden Perhubungan Korporat MSU/PTPL, Rosli Yusof dan Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd. Adnan Othman.

IPG Gaya akan dijadikan pusat kecemerlangan pembelajaran BI: Masidi

3rd July, 2009

KOTA KINABALU: Institut Pendi-dikan Guru (IPG) Gaya di Kota Kina-balu akan dijadikan pusat kecemerlangan dalam pembelajaran Bahasa Ing-geris untuk guru-guru di negara ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Man-jun berkata, langkah berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan lebih ramai guru yang mahir dalam Bahasa Inggeris.

“Saya telah diberitahu bahawa Kement-erian Pelajaran telah memilih IPG Gaya sebagai pusat pengajaran Bahasa Inggeris untuk guru, yang saya percaya berada pada landasan yang betul.

“Kita selalu memperkatakan mengenai kualiti pendidikan dalam Bahasa Inggeris atau pengajaran dalam Bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan dalam kebanyakan kes mereka mengadu kualitinya menurun.

“Jadi saya menyambut baik keputusan kementerian untuk memberi lebih pene-kanan terhadap kemampuan mereka (guru-guru) yang mengajar dalam Bahasa Ing-geris, terutamanya mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris,” kata-nya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pengisahan sejarah IPG Gaya di Wisma Pertanian di sini kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil dan Pengarah IPG Gaya, Salmah Abdullah.

IPG Gaya yang mula dibuka pada 1963, sehingga kini telah berjaya melahirkan kira-kira 13,400 orang guru yang berkhidmat di seluruh negara.

Menurut Masidi, langkah itu merupakan satu jalan penyelesaian yang baik bagi mengatasi kelemahan pembelajaran dalam bahasa Inggeris dan meningkatkan lagi kualiti pendidikan Bahasa Inggeris di negara ini.

Dalam pada itu Masidi yang bertanggungjawab terhadap Pelajaran di negeri ini berkata, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan bagi menjadikan Ba-hasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan di kampus itu.

“Saya tahu ia mungkin tidak diterima baik oleh sesetengah pihak terutamanya mereka yang merasakan ia akan memberi kesan kepada kedudukan istimewa Bahasa Melayu tetapi bagi saya ia bukan persoalan yang memberi kesan kepada Bahasa Kebangsaan tetapi persoalannya ialah sama ada kita mahu selesaikan masalah kita atau menerimanya seadanya,” katanya.

Tambahnya, beliau juga berharap institut perguruan yang telah berusia 46 tahun itu dapat dinaiktaraf sebagai sebuah universiti pada masa akan datang.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Masidi berkata, industri pelancongan Sabah masih berada dalam kedudukan selesa di sebalik krisis ekonomi global dan kebimbangan wabak virus (H1N1) me-mandangkan peningkatan bilangan ketiba-an pelancong domestik.

Jelasnya meskipun penularan wabak berkenaan dijangka menjejaskan sasaran kedatangan pelancong asing, kesannya terhadap industri pelancongan Sabah tidak seteruk negara jiran lain.

Bina sekolah baru guna IBS

SEPANG 2 Julai – Pembinaan sekolah-sekolah baru akan diberi keutamaan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mengatasi masalah pembinaan sekolah yang tergendala.

Di bawah sistem itu, komponen pembinaan dibuat secara terkawal kerana ia disiapkan di kilang sebelum dipasang siap di tapak sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, dengan menggunakan sistem itu, sekolah mampu disiapkan dalam masa singkat di samping kualiti tinggi serta reka bentuk yang menjamin keselesaan pelajar.

‘‘Pembinaannya juga tidak memerlukan pekerja yang ramai bagi menghasilkan komponen atau untuk menyiapkan binaan di sekolah terbabit.

‘‘Ia boleh disiapkan hanya dalam tempoh tujuh bulan bagi pembinaan blok darjah manakala 12 hingga 15 bulan untuk sekolah baru,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana yang menjadi sekolah pertama dibina menggunakan IBS.

Menurut Puad, Kementerian Pelajaran sedang melaksanakan 138 projek pembinaan sekolah baru dan blok tambahan menggunakan kaedah itu di seluruh negara yang melibatkan kos RM1.4 bilion bagi tempoh sehingga 2010.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 117 buah projek dibina secara pakej dengan melantik empat kontraktor utama manakala 21 projek lagi melalui kontraktor terpilih.

‘‘Setakat ini semua projek disiapkan mengikut jadual. Sebanyak tujuh buah sekolah sudah siap termasuk SMK Putra Perdana yang sudah mula beroperasi 15 Jun lalu dengan permulaan 531 pelajar bagi tingkatan 1 dan 2 membabitkan kos RM26 juta.

‘‘Selepas meninjau sekolah ini, saya amat berpuas hati dengan kualiti pembinaan termasuk reka bentuk yang memberi keselesaan kepada pelajar yang hanya disiapkan selama 10 bulan,” katanya.

Tindakan tatatertib gagal lapor kes H1N1 di sekolah

KUALA LUMPUR 2 Julai - Tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pengetua dan guru besar yang didapati cuai tidak melaporkan kes selesema babi (H1N1) di sekolah masing-masing kepada Kementerian Pelajaran.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong menegaskan, pihaknya akan memberikan surat tunjuk sebab kepada pentadbir sekolah bagi menjelaskan secara terperinci punca sebenar kegagalan mereka berbuat demikian.

"Pengetua dan guru besar dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam perkara ini, sekiranya kita mendapat maklumat mengenainya daripada sumber lain dan bukannya pihak sekolah sendiri, maka kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga mengekalkan arahan sebelum ini yang membekukan setiap program guru dan pelajar ke luar negara sehinggalah wabak H1N1 pulih sepenuhnya.

Katanya, kementerian akan menghantar surat pekeliling ke seluruh sekolah melalui Jabatan Pelajaran negeri yang secara automatik membatalkan setiap perancangan pihak sekolah yang mengaturkan lawatan atau program ke luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedia menimbangkan sebarang program di luar negara yang jika dibatalkan akan mendatangkan implikasi kepada hubungan antarabangsa atau keselamatan negara.

"Rayuan boleh dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran untuk dipertimbangkan," katanya.

Sementara itu, Ka Siong juga merayu kepada ibu bapa memastikan anak-anak yang belajar di sekolah yang terlibat dalam penutupan akibat penularan H1N1 baru-baru ini hadir ke sekolah mereka.

Sehingga kini, katanya, hanya kira-kira 80 peratus pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 1, Petaling Jaya yang hadir dan perkembangan ini tidak menggalakkan serta tidak elok untuk perkembangan pendidikan pelajar.

"Saya rasa mungkin ibu bapa masih bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka, saya beri jaminan Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Kesihatan mengambil langkah dan penjagaan terbaik bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin," katanya.

1,300 murid dipindah siling sekolah runtuh

KOTA KINABALU: Seramai 1,300 murid Sekolah Kebangsaan Sembulan di sini, terpaksa dipindahkan selepas siling tingkat satu dua blok utama sekolah berkenaan runtuh manakala lantainya terkopak, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, guru dan murid Tahun Empat, Lima dan Enam terkejut apabila siling di kebanyakan tingkat satu dua blok bangunan tiga tingkat itu jatuh, manakala lantainya pula terkopak, menyebabkan guru dan murid bergegas keluar dari bilik darjah.

Dua blok berkenaan menempatkan 17 kelas murid Tahun Empat, Lima dan Enam yang bersekolah sesi pagi manakala murid Tahun Satu, Dua dan Tiga ditempatkan di 15 kelas sesi petang.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Usaha wakil Berita Harian meninjau keadaan berkenaan bagaimanapun dihalang pengawal keselamatan yang mendakwa menerima arahan pihak pengurusan sekolah supaya tidak membenarkan wakil media memasuki premis terbabit.

Tinjauan dari luar sekolah itu mendapati, murid ditempatkan di dewan terbuka, selain makmal komputer dan beberapa blok bangunan diperbuat daripada papan yang menempatkan bilik muzik, Kelas Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (J-QAF) serta kemahiran hidup.

Sumber berkata, ketika kejadian, guru dan murid sesi pagi terkejut apabila kebanyakan bahagian siling di tingkat satu kedua-dua blok berkenaan runtuh manakala lantainya terkopak, menyebabkan guru dan murid terpaksa menyelamatkan diri.

"Pihak pengurusan sekolah mengarahkan semua guru dan murid mengosongkan bilik darjah masing-masing dan berkumpul di dewan terbuka. Bagaimanapun, dalam keadaan kelam-kabut itu, tiada sesiapa yang cedera," katanya.

Sumber itu berkata, runtuhan siling yang runtuh dan lantai yang terkopak berukuran antara 0.3 hingga 0.6 meter itu menyebabkan ada murid perempuan menangis ketakutan.

Katanya, ada beberapa tiang di tingkat satu kedua-dua blok itu retak dan hanya menunggu waktu menyembah bumi.

Sumber lain mendakwa, kejadian dipercayai berpunca daripada kerja menanam cerucuk bangunan komersial yang dilaksanakan kira-kira 1,000 meter dari sekolah berkenaan.

Sekolah itu mula beroperasi pada 1984. Ia adalah antara sekolah di kawasan pinggir bandar raya ini yang dikelilingi pembangunan pesat, terutama pembinaan bangunan komersial seperti kompleks beli-belah dan pejabat.

Sementara itu, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Kinabalu dan Jabatan Pelajaran Sabah yang dihubungi, enggan mengulas.

Thursday, July 2, 2009

Ajar bahasa guna pendekatan baru

Oleh Nazmi Yaakub

nazmi@bharian.com.my




UngkU Aziz (kanan) dan Abdul Raof (tengah) pada kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa inggeris, baru-baru ini.

Kaedah yang diguna pakai dalam sistem pendidikan negara ini sudah lapuk

KEMENTERIAN Pelajaran dicadangkan merangka pendekatan baru dalam pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris dengan menggunakan teori terkini kerana kaedah yang diguna pakai pada masa ini sudah lapuk.

Cadangan berkenaan dikemukakan mantan Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, ketika membentangkan ucaptama Pendekatan Demi Rungkaian Dilema Dasar Pembangunan Bahasa di Malaysia.

“Sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa kita berpandukan pendekatan berasaskan teori yang dipelajari pentadbir kementerian dan universiti ketika mereka melanjutkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di luar negara pada 20 tahun lalu.

“Mereka lupa apa yang dipelajari dulu sebenarnya sudah pun diubah oleh sarjana luar sehingga sekiranya kita ke universiti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis, teori lapuk sudah digantikan dengan pendekatan terkini,” katanya pada Kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid.

Kira-kira 150 pengetua dan pendidik dari seluruh negara menghadiri kolokium anjuran Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) yang berlangsung di Bangunan Umno Bahagian Shah Alam, Shah Alam, baru-baru ini.

Prof Diraja Ungku Aziz berkata, pengetahuan baru dalam teori dan pendekatan pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris, hanya boleh diperoleh sekiranya pentadbir memperluaskan hubungan dengan pengkaji dan sarjana masa kini.

“Pengajaran bahasa sewajarnya menggunakan pendekatan didaktif iaitu berasaskan prinsip bahasa terlebih dulu kerana setiap bahasa seperti Melayu, Inggeris dan Arab mempunyai nahu serta tatabahasa tersendiri.

“Saya lihat di sekolah, buku teksnya mengandungi ratusan perkataan sehingga pelajar mengambil langkah menghafaznya untuk mendapatkan gred A, tetapi pada masa sama tidak memahami tatabahasa,” katanya pada kolokium yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.

Baginya, pendekatan yang menganggap pelajar dapat mengenal ribuan perkataan itu dengan sendirinya mengenal tatabahasa adalah salah dan perlu diubah dengan menekankan kerangka bahasa terlebih dulu.

“Bagi saya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak berupaya meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa itu. Pendekatan baru perlu membabitkan penambahan masa untuk kedua-dua subjek itu pada semua peringkat persekolahan dan universiti.

“Masa untuk belajar sama ada bahasa Melayu atau Inggeris perlu ditambah kepada sekurang-kurangnya tiga jam seminggu bermula daripada peringkat sekolah rendah hingga menengah,” jelasnya.

Baginya dengan cara itu pelajar yang mencapai usia 17 tahun boleh bercakap dalam kedua-dua bahasa terbabit dengan menggunakan tatabahasa betul, tanpa perlu merojakkannya seperti yang berlaku pada masa ini.

“Pelajar di sekolah perlu diberi masa yang cukup untuk mencapai kematangan dalam berbahasa sehingga berupaya menggunakan ayat yang canggih dan kompleks bagi mendorong minda mereka lebih terbuka,” katanya.

Selain itu, Prof Diraja Ungku Aziz turut menekankan penguasaan sekurang-kurangnya dua bahasa dengan bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal bagi tujuan perhubungan dan perpaduan dalam masyarakat majmuk, manakala bahasa Inggeris untuk memperoleh ilmu.

“Sebagai warga negara, mesti ada satu bahasa agar semua orang boleh berhubung hanya dalam bahasa Melayu kerana perpaduan tidak mungkin dicapai melalui penggunaan dua tiga bahasa. Bagaimanapun, peluang untuk belajar bahasa lain perlu diberikan semua warganegara,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak boleh dibuat secara terburu-buru dan menggunakan masa yang singkat, sebaliknya memerlukan pembabitan ramai pihak khususnya daripada kalangan sarjana dan pakar bahasa serta pendidikan.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, pula berkata peruntukan masa untuk pengajaran bahasa Inggeris pada peringkat rendah mesti ditambah dan menggunakan kaedah pengajaran bahasa alternatif yang lebih berkesan.

“Kajian kami menunjukkan penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi murid dalam mata pelajaran terbabit dan penggunaan bahasa Inggeris untuk kedua-dua subjek itu bukan cara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar,” katanya ketika memperincikan Kajian Kesan Dasar PPSMI di Sekolah Rendah dan Menengah.


'Bahasa Melayu, Manglish, Singlish @ Queen's English'

SYABAS Kementerian Pelajaran kerana membuka ruang perbincangan kepada semua pihak berhubung cadangannya untuk mewajibkan lulus Bahasa Inggeris bagi melayakkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat sijil penuh dalam peperiksaan terbabit.

Cara ini bukan saja dapat mengelakkan daripada perkara terbabit menjadi polemik pada kemudian hari seperti halnya dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menerima tentangan sehingga kini, bukan saja daripada bangsa Melayu, tetapi juga bangsa lain; meskipun dikuatkuasakan sejak 2003.

Pendekatan ini perlu memandangkan ia membabitkan masa depan generasi muda semua bangsa, baik kelompok marhaen mahupun menengah rendah, di kawasan bandar apalagi luar bandar dalam perjuangan mereka meningkatkan status ekonomi diri serta keluarga.


Cadangan Kementerian Pelajaran yang mengambil kira desakan globalisasi dan memungkinkan generasi muda negara ini berdaya saing dalam pasaran antarabangsa, hendaknya tidak ‘melucutkan’ keistimewaan dan status yang sudah diberikan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini melalui Fasal 152 dalam Perlembagaan Negara.

Jika ia diputuskan untuk dilaksanakan, maka kedudukan lulus untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dalam SPM sewajarnya lebih tinggi daripada Bahasa Inggeris selari dengan semangat 1Bahasa 1Malaysia seperti dicanangkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Dengan pendekatan ini, semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama mahupun status dalam masyarakat, akan lebih beriltizam memartabatkan bahasa Melayu, tidak memperlekehkannya, sehingga membuka ruang mahupun peluang kepadanya tampil utuh sebagai lambang jati diri bangsa, tetapi juga bahasa perpaduan serta pemersatu.

Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui hakikat kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar negara ini sebahagiannya berpunca daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang tidak mengarah kepada kecemerlangan apabila guru sendiri tidak fasih dengan bahasa terbabit.

Ini bukan saja menjadikan pelajar sebagai mangsa keadaan khususnya di sekolah awam kerana mereka yang berdepan dengan kemelut ini selain persekitaran kehidupan memangsakan mereka apabila ia bukan bahasa komunikasi dalam keluarga mahupun masyarakat sekeliling, sehingga akhirnya pelajar hilang punca.

Persekitaran luar bandar tidak akan memungkinkan pelajar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ketika berurusan di kedai bagi membeli barangan keperluan harian kerana silap hari bulan, akan dikatakan cuba menunjuk, gila bahasa atau tak betul, jika situasi itu mungkin dapat diterima di kawasan setinggan di bandar besar, tetapi tetap dengan kepayahan!

Ada benarnya pandangan seorang teman bahawa lulusan sekolah menengah negara ini mampu memahami bahasa Inggeris sekalipun jika tidak fasih menuturnya dan situasi itu dianggap bukan suatu yang aneh kerana hambatan serupa turut berlaku di negara yang menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi.

Lagipun hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia sebenarnya terbelenggu dalam kepompong Manglish apabila bahasa Inggeris mereka dipengaruhi budaya tempatan dan begitu juga dengan Singapura yang mengangkat bahasa Inggeris sebagai antara empat bahasa rasmi mereka, hakikatnya membentuk Singlish.

Hambatan itu bukan suatu yang perlu menjadi momokan memandangkan tidak semua lulusan sekolah atau universiti akan menjawat jawatan yang memerlukan pembabitan antarabangsa baik dalam sektor swasta apalagi kerajaan sehingga memerlukan mereka bertutur dalam Queen’s English, BBC English atau Receive Pronunciation.

“Saya tidak nampak keperluan Penolong Pegawai Daerah fasih bahasa Inggeris baku kerana sebahagian daripada urusannya membabitkan orang kampung yang bertutur dan memahami bahasa Melayu tanpa mengira bangsa, agama dan status dalam masyarakat

“Hatta Pegawai Tadbir dan Diplomatik lulusan universiti tempatan masih tidak kehilangan arah kerana boleh diberi latihan intensif oleh Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) seperti yang dilakukan pada masa ini memandangkan mereka sudah ada asas bahasa Inggeris,” ujar seorang teman bahasa.

Langkah Kementerian Pelajaran Tinggi memperkenalkan ujian kelayakan, Malaysian University English Test (MUET), bagi kemasukan semua kursus peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam dan kolej swasta bertaraf universiti sejak Disember 1999, hakikatnya banyak membantu.

Apalagi bagi sesetengah kursus kritikal di universiti awam seperti perubatan di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang mensyaratkan calon lulus tahap empat Muet bagi memastikan mereka dapat mengikuti pengajian tanpa kepayahan kefahaman bahasa.

Peta minda bantu pelajar dalam pembelajaran

PETALING JAYA 30 Jun – Pelajar perlu lebih kreatif dalam proses pembelajaran pada era kecerdasan dan kepandaian minda hari ini.

Sehubungan itu, Pearson Malaysia Sdn. Bhd. (Pearson) menggunakan pendekatan kaedah peta minda dalam membantu proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Pengarah Penerbitannya, Carol Wong berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan pereka kaedah peta minda, Tony Buzan dalam mengeluarkan buku bagi memudahkan proses pembelajaran.

“Buzan merupakan individu yang mereka cipta kaedah peta minda. Kerjasama dengannya membolehkan teknik ini disampaikan kepada pelajar dengan lebih tepat,” katanya selepas majlis pelancaran buku Buzan Mind Maps for Science Form 1 di Hotel Eastin di sini, semalam.

Majlis pelancaran buku turut disertai Buzan dan penulis buku tersebut, Cyntia Y. Dass, Christopher Tiew, Tam Lye Suan dan Thomas A. Richards.

Menurut Carol, Pearson telah berhubung dengan pihak Kementerian Pelajaran bagi membolehkan buku ini diguna pakai di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Buku itu ditulis mengikut sukatan mata pelajaran Sains tingkatan satu, maka pelajar boleh menggunakannya dengan mudah,” katanya.

Tambah beliau, ia merupakan buku pertama berkonsepkan kaedah itu dan buku bagi mata pelajaran lain juga akan turut dikeluarkan tidak lama lagi.

Menurutnya, harga seunit buku tersebut ialah RM16.90 dan boleh didapati mulai bulan depan di seluruh negara.

Pada majlis sama, Buzan turut menyampaikan ceramah kepada lebih 100 guru Sains dari sekolah sekitar Kuala Lumpur bertajuk ‘Pengajaran dan Pembelajaran Sains Menggunakan Peta Minda.’

Didikan awal bentuk daya pemikiran, kreativiti kanak-kanak.

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

PROSES pembelajaran berkesan bukan memberi tumpuan kepada kesempurnaan tetapi lebih kepada usaha mempelajari sesuatu yang baru dan dilaksanakan dalam kehidupan harian.

Bagi Pengetua sekolah awam yang terletak di New South Wales, berhampiran Sydney, Ross Sutherland, berkata proses mendidik kanak-kanak peringkat awal mendapati mereka memerlukan bimbingan untuk membentuk daya pemikiran dan kreativiti bagi mempelajari sesuatu secara semula jadi.

Kanak-kanak di peringkat tadika kini akan memasuki dunia pekerjaan pada 2027 dan bersara pada 2070. Bagi memenuhi keperluan industri pekerjaan, beliau berkata, mereka perlu diberi kemahiran secukupnya, sekali gus membolehkan lebih berdaya saing.

Katanya, menjadi tanggungjawab semua pihak membuat persiapan awal dalam melahirkan generasi muda lebih berdikari, selain mampu bertahan dalam suasana global yang menuntut daya ketahanan tinggi.

“Berhadapan dunia pendidikan lebih kompleks dengan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menuntut kepada kepelbagaian. Guru perlu terkehadapan dengan meningkatkan kemahiran mengendalikan teknologi.

“Kemudahan ICT juga dilihat mampu meningkatkan kecekapan guru dalam melaksanakan tugas harian termasuk menggunakan teknologi semasa menerusi proses khidmat pesanan ringkas,” katanya.

Sebagai persediaan melahirkan generasi muda lebih berdaya saing, Ross berkata, pihaknya melaksanakan kaedah belajar secara semula jadi dengan membawa kanak-kanak berfikir sendiri mengenai apa yang dipelajari.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk `Designing Learning for Tomorrow Leader’s” pada Persidangan Pemikir Antarabangsa ke-14 di Kuala Lumpur Konvensyen Center, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, kanak-kanak hari ini lebih cepat mempelajari sesuatu yang baru.

Kelebihan itu kata beliau, membolehkan mereka cepat berfikir dan mampu bekerja dalam kumpulan dengan memberikan pandangan dan berbincang melakukan bersama-sama.

Sebagai contoh, Ross berkata, kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun sudah boleh dibiarkan melakukan kerja melukis dan mewarna secara berkumpulan.

Hasilnya beliau berkata, kanak-kanak tadi mampu mengumpulkan bahan berkenaan dan berbincang dengan rakan lain mengenai kaedah terbaik mempamerkan kepada umum untuk dilihat supaya mereka dapat penghargaan.

“Kami melaksanakan pendekatan bersepadu dengan menerapkan kemahiran berfikir dan belajar mengikut kesesuaian mereka berdasarkan persekitaran. Setiap perkembangan kanak-kanak tadi dinilai dari semasa ke semasa dan merekod kebolehan mereka.

“Pemerhatian mendapati mereka lebih mudah melakukan sesuatu dengan bantuan rakan serta membentuk keyakinan, selain mewujudkan semangat kepimpinan di kalangan kanak-kanak ini sendiri,” katanya.

Ross berkata, sistem pendidikan perlu fleksibel dan memberi peluang kanak-kanak meneroka sesuatu yang baru untuk dikongsi bersama. Penerokaan berterusan dengan bimbingan sesuai mampu melahirkan generasi berdaya saing dan mampu memaju sesebuah organisasi secara kreatif pada masa akan datang.

Bank Rakyat diminta perluas seminar peperiksaan ke pedalaman

Oleh Poliana Ronnie Sidom
upen@bharian.com.my

PESERTA Seminar Skor A SPM dari sekitar Sandakan menyifatkan program yang dianjurkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP), baru-baru ini padat, menarik dan bermanfaat serta mendedahkan mereka tip terkini mengenai strategi dan teknik menjawab soalan secara berkesan.

Mereka berpendapat program tajaan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) itu wajar diteruskan dengan memberi tumpuan di kawasan pedalaman, sekali gus membantu pelajar memperoleh keputusan cemerlang.

Seorang peserta, Viviliah Hamsa, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol, berkata seminar yang dikendalikan Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama akhbar sisipan SKOR terbitan Berita Harian itu bukan saja menyeronokkan tetapi pada masa sama, membantu mereka mempersiapkan diri menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan yakin.

Katanya, sebelum ini mereka kurang terdedah mengenai teknik menjawab soalan atas faktor sekolah terletak di pedalaman.

Sementara itu, guru pengiring SMK Telupid, Irfan Rizaluddin, berkata program membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik itu dapat meningkatkan persediaan serta keyakinan pelajar luar bandar menghadapi peperiksaan.

“Banyak strategi menjawab dipelajari tidak diajar dalam bilik darjah, sekali gus menambah pengetahuan di samping kecekapan menjawab soalan,” katanya pada seminar Skor A SPM yang dirasmikan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Nasikin Gemon.

Terdahulu, Nasikin, berkata seminar dianjurkan bagi menunaikan tanggungjawab sosial bank berkenaan kepada anak anggota dan ahli koperasi sekolah.

“Seminar ini harus dimanfaatkan sepenuhnya kerana bukan semua pelajar berpeluang menyertainya. Gunakan peluang yang ada untuk mendapatkan panduan terkini disampaikan penceramah berpengalaman.

“Di samping itu, pelajar perlu gigih dan berusaha sendiri untuk mencapai keputusan cemerlang, sekali gus berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Hadir sama, Ketua Wilayah Bank Rakyat Sabah, Latif Seeni, Penolong Pengurus Bank Rakyat cawangan Sandakan, Md Azmi Md Taib dan Pegawai Pelajaran Daerah Sandakan, Sharif Mahada Sharif Attar.

Seramai 250 peserta dari sekolah sekitar Sandakan menghadiri seminar terbabit termasuk SMK Saint Mary, SMK Datuk Pangiran Galpam, SMK Bukit Garam, SMK Libaran, SMK Batu Sapi, SMK Pamol, SMK Sandakan, SMK Elopura II, SMK Agama Sandakan, SMK Telupid dan SMK Merpati.


Wednesday, July 1, 2009

Wajib lulus Bahasa Inggeris 2012

Oleh HISHAM IDRIS hisham.idris@kosmo.com.my

CALON-CALON peperiksaan SPM wajib lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat layak mendapat sijil pada tahun 2012. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menimbang kemungkinan untuk mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat kelayakan untuk mendapatkan sijil menjelang tahun 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pertimbangan itu adalah berdasarkan cadangan yang diterima daripada pelbagai pihak dan 85 peratus daripadanya bersetuju untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun katanya, beberapa perkara penting perlu diperhalusi bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran subjek tersebut sebelum ia dilaksanakan.

“Kita tidak mahu terburu-buru dan kita kena pastikan tenaga pengajar mencukupi serta kualiti guru-guru terlibat meningkat.

“Tenaga pengajar luar dari United Kingdom dan Australia seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dipertimbangkan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Hanya 0.2 peratus pelajar terbabit masalah disiplin

NUSAJAYA 30 Jun - Bilangan pelajar di negeri ini yang terbabit masalah disiplin tahun lalu adalah kecil iaitu 0.2 peratus atau 1,300 orang, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 656,583 pelajar di negeri ini.

Menurutnya, walaupun jumlah itu kecil, namun pihaknya akan terus berusaha bagi menangani masalah berkenaan.

"Pelbagai rancangan dirangka dan dijalankan bagi menangani masalah ini termasuk mengadakan permuafakatan antara Jabatan Pelajaran negeri (JPN) dan polis.

"Selain itu, para pelajar juga digalakkan menyertai Rakan Cop dalam usaha menangani jenayah bersama pihak polis," katanya menjawab soalan Datuk Md. Othman Yusof (BN-Tanjung Piai) dan Tan Cher Puk (BN-Johor Jaya) di sini hari ini.

Maulizan berkata, Kelab Pencegahan Jenayah yang ditubuhkan di setiap sekolah akan diaktifkan semula dengan pengisian yang proaktif seperti mengadakan kem motivasi dan jati diri.

Katanya, pihak sekolah juga perlu melantik individu untuk menjadi pegawai perhubungan sekolah yang akan menjadi perantara antara pihak sekolah dan polis.

Dalam jawapannya kepada soalan tambahan daripada Ong Kow Meng (DAP-Senai) mengenai masalah gangsterisme yang mencetuskan perbalahan kaum, Maulizan berkata, pergaduhan yang kebanyakannya berlaku di luar kawasan sekolah selalunya berpunca daripada salah faham.

Menurutnya, ia merupakan satu pergaduhan kecil, namun pihak sekolah dan JPN tetap mengambil berat mengenai perkara itu.

"Pihak jabatan dan sekolah sangat peka berkenaan gejala negatif ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya supaya ia tidak disalah tafsir oleh sesetengah pihak," katanya.

Mendidik murid kelas khas mencabar

KUANTAN 30 Jun - ''Mendidik murid-murid dalam kelas pendidikan khas cukup mencabar,'' akui Che Zaini Yusof, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Damai Jaya Gading di sini.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun mendidik murid di kelas pendidikan khas berkata, berbeza pelajar normal, mendidik murid terbabit bukan saja melibatkan bidang akademik tetapi juga pembinaan sahsiah diri.

"Kita membentuk dan mendidik mereka daripada kosong sehingga mempunyai sesuatu," katanya ketika ditemui di sini baru- baru ini.

Menurut Che Zaini, sebahagian murid di kelas pendidikan khas masih belum boleh mengurus diri walaupun telah berada di sekolah menengah.

Beliau turut mengakui, di sebalik cabaran besar itu, mendidik murid-murid terlibat juga ada kelebihannya memandangkan murid-murid itu begitu mendengar kata berbanding pelajar normal.

Bagi Guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Pendengaran) Kuantan, Sharifah Husaini Syed Hussin pula, pengalaman bertugas selama kira-kira setahun dalam mendidik murid-murid terbabit cukup menguji dirinya dalam pelbagai aspek.

"Bayangkan, mereka sukar memahami apa yang kita cakap," katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.

Rakannya, Rahimah Abu Wahab yang mengajar selama enam tahun di sekolah itu pula berkata, pengalaman turut membentuk jati diri dan keperibadian guru kerana perlu banyak bersabar dengan karenah mereka yang tersendiri.

"Guru kena bijak dalam mendidik mereka, perlu mendekati dan memahami keadaan mereka yang sebenarnya cukup istimewa," katanya yang mengajar mata pelajaran Agama.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan (Kokurikulum) sekolah itu, Norhayati Mohd. Salleh berkata, dalam mendidik murid-murid berkenaan, guru-guru lebih mengikut keperluan murid.

Ini kerana katanya, adalah sia-sia sekiranya guru menggunakan pendekatan tegas dan keras tetapi tidak dapat diikuti oleh murid-murid berkenaan.

"Selalunya, guru kena sesuaikan aspek pembelajaran dan pengajaran dengan keadaan serta keperluan murid terbabit," katanya yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan khas.

Beliau turut memberitahu, di sekolah tersebut, setiap kelas hanya terdapat lapan murid untuk membolehkan guru memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mendidik murid-murid istimewa itu.

Ketengah kreativiti murid

Oleh YULPISMAN ASLI
Sebahagian murid kaum Asli dari SK Maulana, Pekan menggayakan pakaian tradisi kaum mereka pada Majlis Pelancaran Minggu Keceriaan Pendidikan Khas Peringkat Pahang 2009 di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/Mahathir Ali


KUANTAN 30 Jun - Minggu Keceriaan Pendidikan Khas Peringkat Pahang 2009 yang dilancarkan baru-baru ini membuka mata banyak pihak, betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Pahang (JPP) dan guru-guru dalam membimbing murid berkeperluan khas di negeri ini.

Melihat kepada hasil seni dan kraf tangan yang dipamerkan pada majlis pelancarannya di pekarangan JPP itu, jelas, pihak jabatan khususnya Sektor Pendidikan Swasta dan Khas begitu komited untuk membangunkan potensi diri murid-murid tersebut.

Sungguhpun bilangan mereka tidak seramai murid normal, tetapi komitmen yang diperlukan sebenarnya jauh lebih tinggi bagi memastikan murid-murid ini tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.

Sebagaimana ditegaskan oleh Pengarah JPP, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, kanak-kanak berkeperluan khas sebenarnya mempunyai pelbagai kecerdasan yang boleh dicungkil, dipupuk serta dikembangkan bagi mencapai kecemerlangan individu yang optimum.

Ini kerana, jelas beliau, kanak-kanak tersebut juga merupakan aset yang boleh menyumbang dalam kemajuan masyarakat dan mereka tidak seharusnya dilihat hanya sebagai liabiliti.

Justeru gesaan beliau, semua pihak khususnya guru-guru perlu memberi sokongan dan komitmen yang tinggi kepada golongan itu.

"Janganlah masa depan mereka dikaburkan dengan sifat mereka yang sedemikian itu," seru Abdul Aziz.

Kenyataan beliau itu sudah pasti merujuk kepada komitmen guru-guru dalam membimbing murid-murid tersebut untuk menjadi sebahagian warga yang berguna dan dapat pula menyumbang kepada pembangunan negara.

Jika diukur dari segi kemajuan dan kecemerlangan akademik, sudah pasti pelajar ini tidak dapat menandingi kebanyakan rakan normal mereka.

Justeru, mereka perlukan bimbingan dan asuhan dalam aspek lain seperti dijelaskan oleh Abdul Aziz, supaya kecemerlangan yang sebenarnya ada pada diri mereka dapat digilap.

Murid berkeperluan khas terbahagi kepada beberapa kategori seperti kecacatan termasuk autisme, sindrom Down, terencat akal, disleksia, spastik, cacat anggota, bermasalah penglihatan dan pendengaran.

Mengikut perangkaan JPP, sehingga Mei 2009, terdapat 1,386 orang murid berkeperluan khas peringkat sekolah rendah di seluruh negeri ini iaitu 895 orang lelaki dan 491 lagi perempuan.

Sementara di peringkat menengah pula, terdapat 1,220 pelajar dengan 785 lelaki dan 435 lagi perempuan.

Bagi sekolah rendah terdapat 266 buah kelas dengan 389 orang guru, manakala peringkat menengah pula, terdapat 188 kelas dengan 296 orang guru.

Melihat kepada keadaan fizikal murid-murid ini, mereka memerlukan perhatian yang bukan sedikit daripada guru-guru.

Dalam hal ini, Ketua Sektor Pendidikan Khas dan Swasta Pahang, Murat Ab. Jalil mahu pihak sekolah dan guru menekankan aspek latihan kemahiran ke arah menyediakan kehidupan bagi pelajar terbabit.

"Nak mereka bersaing dalam akademik dengan murid lain, tidak mungkin. Jadi, kita nak sediakan mereka ke arah kehidupan setaraf dengan orang normal supaya kelak mereka boleh berdikari, tidak meminta dan tidak menyusahkan orang lain," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi menjayakan hasrat murni itu, Sektor Pendidikan Khas dan Swasta JPP katanya, telah melahirkan program ke arah kerjaya dalam sektor pertanian, ternakan dan perikanan melibatkan projek ikan hiasan di sekolah-sekolah.

Menurut Murat, bidang-bidang ini terutamanya ternakan ikan hiasan berpotensi besar untuk mengubah dan menjamin masa depan murid-murid berkeperluan khas apabila mereka tamat persekolahan nanti.

Sehubungan itu, jelasnya, pihak jabatan sedang mengenal pasti beberapa sekolah untuk dijadikan projek perintis.

Johor: Program galak murid menabung

Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my

Sebuah syarikat bekerjasama dengan Tabung Haji buka simpanan awal RM2

JOHOR BAHRU: Amalan menabung seharusnya dipupuk sejak masih kecil lagi supaya tabiat itu menjadi kebiasaan ketika dewasa.

Mengambil iktibar daripada pepatah 'melentur buluh biarlah daripada rebung,' sebuah syarikat Bumiputera bekerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Johor untuk menyediakan akaun simpanan kepada 500 murid beragama Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas, di sini.

Majlis penyerahan buku simpanan itu diadakan di dewan sekolah berkenaan, Sabtu lalu, menyaksikan setiap murid seawal Tahun Satu diberi deposit awal sebanyak RM2 sebagai dorongan untuk mereka mula menyimpan di Tabung Haji.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Lembaga Tabung Haji negeri, Nasir Jabar; Guru Besar SK Kempas, Norisha Darwish; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kempas, Nazleen Jabar dan Ketua Kampung Kempas Permatang, Mohamad Muasa.

Nazleen ketika ditemui selepas majlis berkenaan mengakui program itu adalah kerjasama pertama dilakukan Tabung Haji dengan sebuah syarikat Bumiputera yang memberi sumbangan RM1,000 sebagai deposit untuk akaun 500 murid sekolah berkenaan.

"Kita amat bersyukur kerana ada syarikat yang sanggup menghulurkan bantuan menyediakan sumbangan untuk dijadikan deposit akaun murid. Harapan ibu bapa untuk menyemai amalan menabung di kalangan anak mereka menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata, SK Kempas sebenarnya dikategorikan sebagai sekolah luar bandar dan amat memerlukan sumbangan serta peruntukan daripada pihak berkaitan dalam usaha menambah pelbagai kemudahan untuk mengadakan aktiviti murid.

Katanya, program seumpama itu sebenarnya memberi banyak manfaat untuk murid serta ibu bapa kerana mereka tidak perlu bersusah payah pergi ke pusat bandar untuk membuat simpanan sebaliknya semua urusan sudah disiapkan pihak Tabung Haji.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Zulkifli Abdul Majid, 44, berkata beliau berterima kasih kepada syarikat yang memberi sumbangan untuk membolehkan dua anaknya, Norazira yang menuntut di Tahun Empat dan Noradila di Tahun Enam membuka akaun Tabung Haji.

"Saya berharap lebih banyak syarikat tempatan tampil membantu sekolah dalam menyediakan kemudahan kepada murid dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan untuk menyediakannya. Sebagai contoh, dengan hanya menyumbang RM1,000, ia jelas memberi banyak manfaat kepada murid untuk menggalakkan mereka minat menabung," katanya.

Mohd Zulkifli berkata, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada semua ibu bapa beragama Islam di sekolah berkenaan kerana akaun itu bukan sekadar boleh digunakan untuk menabung malah bagi menunaikan haji apabila anak-anak berkenaan dewasa.

Seorang murid Tahun Tiga, Mohd Azim Nazlee, 9, berkata sebelum ini beliau ada menabung wang sakunya di rumah dan juga di bank.

"Guru saya memaklumkan bahawa menyimpan di Tabung Haji banyak faedah kerana selain boleh digunakan sebagai simpanan untuk dikeluarkan pada bila-bila masa, wang itu juga boleh digunakan untuk menunaikan haji," katanya.

Seorang lagi murid, Alya Najiha Nazleen, 10, berkata ramai rakannya dari sekolah lain turut berminat untuk menabung di Tabung Haji tetapi sukar berbuat demikian kerana lokasinya yang agak jauh dari rumah masing-masing.

"Biasanya, ibu bapa lebih suka membuka akaun simpanan di bank biasa bukan di Tabung Haji, jadi saya rasa Tabung Haji boleh membuka kaunter di sekolah bagi mendidik murid untuk menabung demi kebaikan mereka," katanya.


Tuesday, June 30, 2009

Rombak kaedah belajar BM, BI

SHAH ALAM 27 Jun - Kerajaan disaran merombak semula kaedah pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris bagi mengukuhkan penguasaan kedua-dua bahasa itu di kalangan pelajar sekolah.

Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, cadangan itu dibuat kerana beliau berpendapat pelaksanaan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak semestinya akan meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa tersebut.

"Kita bercakap daripada segi pengajaran dan pembelajaran bahasa, soal penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik tidak timbul.

"Sebaliknya, pembelajaran kedua-dua bahasa perlu ditingkatkan dengan bahasa Melayu perlu diberikan keutamaan yang sebaiknya," kata beliau ketika berucap merasmikan Kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid di sini hari ini.

Tambahnya, antara pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam dua bahasa itu ialah menambah masa pembelajaran di sekolah dan mengubah sistem pengajaran mengikut kesesuaian usia pelajar.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu melihat dan menetapkan persepsi bahawa bahasa Melayu dan Inggeris merupakan satu perkara yang berlainan dan ia tidak boleh ditambah atau dikurangkan antara satu sama lain dalam pembelajaran.

"Bahasa Melayu dan Inggeris adalah berbeza daripada segi sistem dan strukturnya," jelas beliau.

Ungku Aziz juga mahu kerajaan meneliti dan memperbanyakkan sumber maklumat termasuk buku-buku berkaitan sains dan teknologi dalam bentuk terjemahan bahasa Melayu.

Katanya, ketika ini beliau mendapati tidak begitu banyak terjemahan bahan-bahan ilmiah dalam bahasa Melayu terutamanya berkaitan dengan bidang berkenaan.

"Sebagai contoh, Sains dan Matematik tidak tertakluk pada pengunaan bahasa Inggeris kerana kedua-dua mata pelajaran itu sendiri merupakan 'bahasa simbolik'.

"Jadi dua mata pelajaran ini boleh diajar dalam pelbagai bahasa. Malah dengan ada banyak rujukan dalam bahasa Melayu, saya fikir tidak ada masalah untuk menguasai bidang-bidang ini," ujarnya.

Guru harus jadi ejen perubahan

JOHOR BAHRU 29 Jun - Golongan guru menjadi ejen perubahan selaras dengan keperluan sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti pada masa akan datang.

Sehubungan itu Pengarah Pelajaran negeri, Sufaat Tumin berkata, guru dituntut berfikiran kreatif dan kritis dalam mempelbagaikan kaedah pembelajaran selaras dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, ia mampu memberikan impak yang besar dalam memastikan kualiti perkhidmatan pendidikan sentiasa memenuhi kehendak pelanggan iaitu ibu bapa kepada para pelajar.

"Sekolah merupakan ejen melahirkan modal insan dan ia harus bergerak selari dengan keadaan semasa bagi memastikan setiap pelajar mendapatkan pendidikan pada tahap terbaik.

"Profesion perguruan pada abad ke-21 berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pelbagai perubahan dari pelbagai aspek dan ia memerlukan kreativiti para guru untuk menanganinya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Sudut Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah Contoh Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 1, Skudai, dekat sini kelmarin.

Sufaat berkata, dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama, para pendidik harus memainkan peranan memastikan generasi muda menjauhi gejala penagihan dadah kerana ia mampu memusnahkan masa depan mereka.

Beliau berkata, proses pembudayaan sekolah selamat perlu diwujudkan di setiap sekolah secara berterusan dengan sokongan daripada semua pihak.

Katanya, ia bagi memastikan generasi hari ini dapat meneruskan pembelajaran secara kondusif di samping mengelakkan diri daripada terlibat dengan kancah penagihan dadah.

"Usaha ini amat penting kerana sekolah berperanan penting dalam menjana pembangunan minda generasi muda dan pada masa sama menyediakan prasarana yang selamat untuk menjamin kualiti pendidikan.

"Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan jangan biarkan masalah dadah merosakkan masa depan generasi hari ini dan menggugat kesejahteraan negara," katanya.

34 pelajar SMK Seksyen 9 dibenar masuk kelas

SHAH ALAM 29 Jun - Seramai 34 pelajar dari sebuah kelas tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9 di sini yang dikuarantin seminggu sejak Isnin lalu berikutan penularan influenza A (HINI) memulakan sesi persekolahan seperti biasa hari ini.

Bagaimanapun, pihak sekolah memeriksa suhu badan semua pelajar terbabit sebelum mereka masuk ke kelas masing-masing.

Ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan mereka baik sepanjang waktu persekolahan.

Pengetua sekolah, Maizan Mohd. Nor berkata, semua pelajar kelas itu yang dikuarantin di rumah dan seorang pelajar perempuan yang sebelum ini disahkan positif H1N1 sudah dibenarkan datang ke sekolah dan belajar seperti biasa,.

Kata beliau, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya membuat dua kali pengambilan suhu badan terhadap kesemua pelajar terlibat pada awal pagi dan waktu akhir sekolah iaitu sekitar 12.45 tengah hari.

''Langkah ini adalah kesinambungan pemeriksaan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini bagi memastikan pelajar-pelajar dalam keadaan sihat semasa berada di sekolah.

''Malah kita turut memberi penerangan amalan penjagaan kebersihan kepada semua pelajar dan ia disampaikan oleh pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling pada waktu perhimpunan pagi tadi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 22 Jun lalu, kelas tersebut ditutup seminggu selepas pihak sekolah menerima surat yang mengarahkan semua pelajar dari kelas itu dikuarantin di rumah berikutan seorang pelajar perempuan disahkan positif H1N1.

Bagaimanapun, sekolah itu masih dibuka kepada pelajar lain berikutan tiada arahan penutupan diterima sama ada dari Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pelajaran.

Maizan berkata, pihak sekolah terutama guru-guru yang mengajar kelas itu sudah mula menjalankan aktiviti pembelajaran seperti biasa.

"Guru-guru terlibat juga menyusun semula jadual pengajaran berikutan pelajar kelas itu sudah tertinggal beberapa bab mata pelajaran sepanjang tempoh kuarantin,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak panik dan bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Tiga lagi sekolah dibuka semula

PETALING JAYA 29 Jun - Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 dan 2 di sini, serta Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka di Cheras, yang ditutup kerana jangkitan Influenza A (H1N1) sejak minggu lepas, telah dibuka semula hari ini.

Sabtu lepas, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur telah dibuka semula.

Di SRK Assunta 2, lebih 80 peratus pelajar sekolah itu hadir bagi menyambung semula pembelajaran mereka yang tertangguh sejak sekolah itu ditutup Isnin lepas.

Pengarah Pelajaran Selangor Dr. Zahri Aziz berkata, kehadiran para pelajar sekolah itu amat memuaskan dan beliau berpuas hati dengan persediaan awal yang dilakukan oleh pengurusan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Pada Sabtu lepas, sekolah itu dengan kerjasama PIBG telah mengadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekolah dari pagi hingga petang," katanya kepada pemberita ketika hadir untuk memantau keadaan di sekolah itu di sini.

Zahri berkata selain itu, sesiapa sahaja yang ingin memasuki kawasan sekolah perlu membersihkan tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pihak sekolah itu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor juga turut mengadakan pameran serta memberi penerangan kepada para pelajar dan guru mengenai langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil, termasuk pemeriksaan suhu badan.

Zahri berkata, para pelajar juga digalakkan menggunakan topeng muka sebagai inisiatif sendiri dalam menangani penularan wabak itu.

Pada Isnin lepas, Kementerian Kesihatan telah mengarahkan SRK Assunta 2 ditutup selama seminggu berikutan dua muridnya, iaitu pelajar tahun satu dan tahun lima, disahkan positif selesema babi.

Berikutan dengan dua kes positif di SRK Assunta 2, SRK Assunta 1 yang berkongsi bangunan dan kemudahan yang sama juga telah ditutup pada Selasa lepas dan dibuka semula hari ini.

Selain itu, Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka di Cheras juga dibuka semula hari ini setelah ditutup sejak Selasa lepas berikutan penularan selesema babi. - Bernama

Pakej lebih baik PPSMI

oleh SAMSOR JUNET
melaporkan dari Perancis

PARIS 29 Jun - Satu pakej yang lebih baik akan dikemukakan berhubung keputusan muktamad mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dijadual diumumkan dalam masa terdekat ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mengenainya akan mengambil kira kepentingan semua pihak terutama pelajar terbabit yang berjumlah kira-kira lima juta orang, guru-guru dan ibu bapa.

"Apapun keputusan yang bakal dibuat, kita akan kemukakan pakej yang dianggap lebih baik berhubung PPSMI," katanya yang juga Menteri Pelajaran kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Perancis, sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Ibu Pejabat UNESCO di sini.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan berkenaan kerana kesannya sangat besar dan melibatkan banyak pihak.

"Apa juga keputusan yang dibuat kita kena fikirkan kesannya bukan sahaja pelajar malah masyarakat dan negara. Kalau nak ubah sistem memang senang tetapi apa sistem gantinya," katanya.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengumumkan analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

PPSMI mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

Malah pejuang bahasa kebangsaan juga melihat PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.

Kemuncak terhadap bantahan itu apabila Gerakan Menentang PPSMI (GMP) mengadakan perhimpunan membabitkan kira-kira 5,000 orang yang kemudiannya berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menuntut pemansuhan dasar tersebut. - UTUSAN

Monday, June 29, 2009

Fokus: Mata pelajaran SPM

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


Pelajar perlu fokus subjek berkaitan bidang diminati bagi mencapai keputusan terbaik


SETELAH sedekad Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan secara pensijilan terbuka, Kementerian Pelajaran akhirnya membuat transformasi apabila mengehadkan jumlah mata pelajaran diambil calon peperiksaan berkenaan.

Berdasarkan ketetapan baru yang akan dilaksanakan mulai tahun depan itu, calon peperiksaan berkenaan hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 subjek, manakala 11 mata pelajaran bagi calon aliran agama sains.


Berbanding sistem pensijilan terbuka dilaksanakan sejak 2000, jumlah mata pelajaran tidak dihadkan dan calon bebas menentukan jumlahnya hingga ada yang mengambil 21 subjek.

Mengulas keputusan itu, Yang Dipertua Kesatuan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia (KKPSM), Azam Md Atan, berkata cadangan mengehadkan pengambilan subjek itu pernah disuarakan pihaknya kepada kementerian menerusi beberapa pertemuan sebelum ini, selain turut dijadikan fokus perbincangan seminar dan konvensyen pendidikan.

Katanya, kaitan pelajar mengambil banyak subjek sering dipersoalkan, malah pihak kesatuan sendiri pernah memohon agar Kementerian Pelajaran meneliti semula konsep sistem pensijilan terbuka SPM.

“Kami melihat keputusan ini sebagai bukti kepekaan kementerian terhadap pandangan dan saranan disuarakan pelbagai pihak termasuk KKPSM yang sememangnya menantikan respon positif sejak dulu lagi.

“Pujian wajar diberikan kepada Kementerian Pelajaran kerana bijak dan tuntas dalam membuat keputusan berkaitan isu ini. Bagi pihak kesatuan, setiap keputusan dibuat pasti ada sebab kukuh demi memastikan pembangunan potensi pelajar yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Berita Harian.

Biarpun masih ada suara sumbang yang mempertikaikan kewajaran keputusan itu, beliau menyarankan agar semua pihak khususnya pelajar bersikap positif dan terbuka dengan perubahan itu.

Sebagai pelajar, katanya, wajar bagi mereka memfokus mata pelajaran berkaitan bidang diminati dan bersesuaian dengan kecenderungan atau kemahiran mereka bagi mencapai keputusan berkualiti.

“Jumlah kuantiti subjek yang banyak bukanlah kayu pengukur sebenar kecemerlangan pelajar, malah lebih parah jika ia tidak diseimbangkan dengan pencapaian kokurikulum yang menjadi penyumbang utama pemupukan kemahiran insaniah, sahsiah dan kepimpinan pelajar.

“Malah, pelajar juga perlu ingat, selepas keluar universiti kelak, persoalan sama ada seseorang itu pernah memperoleh 18 1A atau 20 1A dalam SPM tidak lagi relevan.

“Majikan kini lebih suka menawarkan pekerjaan kepada graduan yang bukan saja cemerlang akademik tetapi yang mempunyai keyakinan, bakat kepemimpinan, pandai bergaul, inovatif dan kreatif,” katanya.

Beliau turut berharap agar keputusan mengehadkan pengambilan subjek SPM dapat mengubah persepsi pelbagai pihak yang sebelum ini sering melabelkan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan.

Malah, katanya, keputusan itu juga dilihat sebagai sebagai mekanisme terbaik menangani isu pengagihan biasiswa khususnya yang ditawarkan kerajaan kepada lulusan SPM.

“Isu pemilihan pelajar yang layak menerima biasiswa sering dipersoalkan ramai pihak setiap tahun, malah ada yang mempertikaikan ketelusan kerajaan dalam isu itu.

“Peluang pelajar yang mendapat 20 A contohnya lebih luas untuk mendapat biasiswa berbanding pelajar 10 A. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan pelajar dan dengan keputusan mengehadkan pengambilan subjek, saya rasa isu ini akan diatasi dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Akademik, Sekolah Agama Menengah Bestari (SAM Bestari), USJ 5, Subang Jaya, Selangor, Sabariah Jaafar, berkata pengambilan maksimum 11 subjek SPM bagi calon aliran agama sains yang diputuskan Kementerian Pelajaran disifatkan rasional dan sememangnya menjadi amalan kebanyakan sekolah agama.

Di SAM Bestari, beliau menjelaskan, majoriti calon SPM diwajib mengambil 11 subjek dan hanya segelintir calon yang mengambil lebih daripada jumlah itu dengan syarat mendapat kebenaran pihak sekolah.

“Empat subjek wajib diambil calon adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik selain tiga subjek teras aliran agama iaitu Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah.

“Calon turut mengambil empat subjek elektif sains tulen iaitu Matematik Tambahan, Kimia, Fizik dan salah satu daripada subjek Biologi atau Lukisan Kejuruteraan.

“Kombinasi 11 subjek itu sudah mencukupi dan bersesuaian dengan masa yang diperlukan pelajar untuk pembelajaran dan ulangkaji tanpa mengenepikan kepentingan pembabitan mereka dalam aktiviti kokurikulum,” katanya.

Biarpun keputusan jumlah maksimum 11 subjek hanya membabitkan calon 2010 sebelum calon seterusnya diwajibkan mengambil 10 subjek maksimum mulai 2011, beliau berkata, pihaknya akan memastikan pengubahsuaian dilaksanakan segera bagi membantu calon membuat pilihan subjek yang tepat dan bersesuaian dengan mereka," katanya.

Cacat bukan penghalang timba ilmu

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Omar Osman (kanan) berkata sesuatu kepada Khu Li Huang dan ibunya, ketika melapor diri di universiti itu, baru-baru ini.

PULAU PINANG 28 Jun - Kecacatan tidak menghalang Khu Li Huang, 26, untuk berusaha mencapai impiannya menjadi pensyarah dan atas tekad itu, beliau perlu belajar berdikari untuk bergerak di dalam kampus dan bersaing dengan para pelajar normal.

Pemuda itu menyertai Universiti Sains Malaysia (USM) di sini sebagai pelajar baru kelmarin, lumpuh dari leher ke bawah setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya 10 tahun lalu.

Peristiwa motosikal yang ditungganginya dilanggar oleh sebuah lori tidak pernah memadamkan cita-cita anak kelahiran Bandar Baru, Kedah itu, walaupun beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Ketika ditemui pemberita semasa sesi pendaftaran pelajar baru, Li Huang, yang baru menamatkan pengajiannya di peringkat diploma Kejuruteraan Sistem Maklumat di Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) tahun lepas, akan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

"Saya akan cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru di kampus ini dan perlu belajar berdikari kerana selama ini saya banyak dibantu oleh ibu untuk menguruskan diri.

"Saya yakin, kawan-kawan di sini pasti membantu saya untuk menjalani kehidupan baru seperti mana yang saya alami di Kolej TAR dulu," kata LI Huang. Katanya, beliau mahu membalas budi ibunya, Ewe See Moi, 57, yang sanggup berhenti kerja di kedai kek dan roti di Butterworth untuk memastikan keperluan hariannya terurus dengan baik sebelum ini manakala bapanya, Khu Tiang Poo, 56, masih bekerja sebagai buruh binaan untuk menyara keluarga.

Menurut anak bongsu lelaki daripada empat beradik itu, beliau akan menggunakan kesempatan menimba ilmu di menara gading itu untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah pengangkutan yang sering dihadapi oleh golongan kurang upaya sepertinya.

Kelmarin, seramai 3,600 pelajar baru mendaftar di tiga kampus USM iaitu kampus induk, kampus perubatan di Kubang Krian dan kampus kejuruteraan di Nibong Tebal.

Seorang lagi warga baru istimewa USM, ialah Mokhtar Othman, 59, pesara guru yang melapor diri di kampus induk.

Katanya, beliau terpanggil untuk menyambung pelajaran setelah dicabar oleh dua anaknya yang masing-masing menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, beliau tidak berkesempatan belajar di peringkat tinggi semasa mudanya kerana sibuk mencari rezeki dan kini setelah anak-anak berjaya, beliau mahu mengisi masa terluang itu dengan membuktikan kepada keluarganya bahawa beliau juga boleh berjaya seperti mereka. - BERNAMA

Ponteng sekolah menjadi-jadi

Oleh AIN SAFRE
utusanperak@utusan.com.my

Gelagat beberapa budak sekolah yang ponteng sekolah di sekitar kawasan Teluk Intan, baru-baru ini.

TELUK INTAN 28 Jun - Kegiatan pelajar ponteng sekolah di bandar ini didapati semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Intipan Utusan Malaysia mendapati, pelajar terbabit akan keluar dari rumah sekitar pukul 7 pagi lengkap berpakaian seragam sekolah dan akan pulang semula selepas tamat waktu persekolahan masing-masing.

Antara tempat tumpuan 'pusat melepak' dan membuang masa mereka ialah di kafe-kafe siber dan pusat beli-belah di sekitar bandar ini.

Kebanyakan pelajar yang ponteng juga bebas bergerak ke tempat-tempat yang ingin dituju kerana mereka menunggang motosikal dan berbasikal.

Tiga lokasi utama dikenal pasti sebagai tempat mereka menyalin pakaian sekolah kepada pakaian biasa ialah di Kunci Air Sungai Suli, Kunci Air Kampung Kebun Limau dan rumah kosong sekitar Kampung Bahagia.

Utusan Malaysia difahamkan, pelajar perempuan turut terlibat dengan aktiviti yang hanya menghabiskan masa dan wang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bahagia, Hasnan Mohd. Rashid ketika mengulas perkara tersebut mahu pihak Jabatan Pelajaran negeri mengambil tindakan tegas menangani masalah itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak termasuk sebahagian ibu bapa pelajar terbabit tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

''Apa yang sedihnya, ada ibu bapa seolah-olah seperti tidak percaya bila saya maklumkan anak mereka ponteng sekolah.

''Saya pelik melihat perangai mereka sedangkan berdasarkan pengetahuan saya, kes ponteng sekolah ini sudah berlaku sejak empat tahun lalu.

''Saya bukan mereka-reka cerita, saya sendiri pernah terserempak dengan pelajar yang sedang menukar pakaian dalam kebun sawit dan cuba menasihatkan mereka tetapi tidak diendahkan," ujarnya.

Hasnan berkata, perkara berkenaan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia mungkin akan menimbulkan pelbagai masalah sosial lain.

''Kita tidak boleh berasa malu dalam hal ini, kita kena bertindak tegas jika tak masa depan anak-anak muda kita akan hancur," katanya.

Sementara itu, usaha wartawan Utusan Malaysia mengambil gambar beberapa pelajar sekolah menengah yang sedang menyalin pakaian langsung tidak dibimbangi atau dihiraukan oleh pelajar terbabit.

''Ambillah gambar kami, kami tak takut, siarlah dalam surat khabar, kami pun memang nak berhenti sekolah," kata salah seorang pelajar itu sambil terus menukar pakaiannya di sebuah ladang kelapa sawit.

Sekolah digalak tanam pokok


RAJA NONG CHIK menyiram pokok Meranti Sengkawang yang ditanam Pengakap SK Taman Tun Dr Ismail (1), sempena program Duta Hutan di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR: Semua sekolah di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digalak menjalankan program menanam pokok sebagai langkah menghijaukan bandar raya serta membantu mengurangkan kepanasan global.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata penerapan usaha murni menanam pokok itu perlu diterapkan sejak peringkat awal terutama kepada pelajar kerana mereka yang menjadi pewaris negara dan khazanah alam pada masa depan.

"Ia memupuk semangat cintakan alam semula jadi, selain pokok itu boleh dijadikan tempat berteduh serta menjana oksigen yang diperlukan setiap makhluk bernyawa.

"Bagi sekolah yang ingin menjalankan program ini, mereka boleh menjalinkan kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutama mendapatkan kawasan sesuai dan bantuan logistik seperti penyediaan anak pokok," katanya selepas menghadiri majlis menanam anak pokok Meranti Sengkawang Merah sempena Program Duta Hutan, anjuran Pengakap Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr Ismail (1), di sini, semalam.

Nong Chik berkata, sekolah sama ada di Kuala Lumpur atau di seluruh negara boleh menjadikan SK Taman Tun Dr Ismail (1) contoh dalam menjalankan program menanam pokok.

Sebanyak 300 anak pokok Meranti Sengkawang Merah ditanam ahli pasukan pengakap sekolah berkenaan dalam usaha menghijaukan lagi kawasan tepi sungai di Taman Tun Dr Ismail itu.

H1N1: Sekolah Tinggi Chung Hwa ditutup

SEREMBAN: Sekolah Tinggi Chung Hwa, di sini menjadi sekolah pertama di negeri ini ditutup selama seminggu, mulai hari ini selepas seorang pelajarnya didapati positif jangkitan Influenza A (H1N1).

Pelajar Tingkatan Tiga itu dikatakan menghidap demam dan selesema Jumaat lalu dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini sebelum disahkan dijangkiti virus itu, petang semalam.

Pelajar perempuan itu dipercayai dijangkiti virus itu daripada abangnya, 22, yang pulang bercuti semester dari sebuah universiti di Australia, Isnin lalu.

Pengetua sekolah berkenaan, Sua Sin Zang, berkata sehubungan itu, ahli lembaga pengarah sekolah mengarahkan 46 rakan sekelas mangsa dan 14 guru diarahkan dikuarantin di rumah masing-masing selama seminggu.

Syarat biasiswa jejas pelajar miskin

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my

Pemberian berasaskan 100 peratus merit perlu dikaji demi golongan luar bandar

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meneliti secara mendalam pemberian biasiswa nasional yang berasaskan 100 peratus merit kerana ia memberi kelebihan kepada anak golongan kaya yang mendapat kemudahan pembelajaran lebih baik berbanding pelajar keluarga miskin.

Ia juga tidak adil kepada pelajar sekolah luar bandar yang miskin kerana ibu bapa tidak mampu menyediakan kemudahan baik seperti pelajar di bandar.

Presiden Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM), Datin Fauziah Mohd Ramly, berkata anak golongan kaya ada kelebihan mendapat kemudahan pendidikan terbaik, berbanding golongan miskin terutama di luar bandar yang hanya bergantung kepada pembelajaran di sekolah.

Katanya, ia memberi perbezaan kepada keputusan pembelajaran dan kelayakan pelajar mendapat biasiswa kerajaan.

"Dalam konteks perspektif Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, cadangan biasiswa kerajaan dibuka kepada semua kaum berasaskan merit amat dialu-alukan. Namun, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci untuk melayakkan seseorang itu memohon.

"Golongan kaya tidak perlu memohon biasiswa walaupun anak mereka layak supaya peluang diberi kepada pelajar miskin," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata mulai tahun depan pemberian biasiswa kerajaan yang akan dikenali sebagai biasiswa nasional ditawarkan berdasarkan 100 merit tanpa mengira kaum.

Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) pula berpendapat biasiswa kerajaan atau agensi berkaitan kerajaan (GLC) yang berasaskan 100 peratus merit, bercanggah dengan sistem berasaskan kuota untuk Bumiputera yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz tidak setuju pemberian biasiswa berasaskan 100 merit, sebaliknya sistem kuota perlu dikekalkan seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, beliau mengakui dari segi hak asasi manusia, pemberian biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran berasaskan merit adalah sistem adil kepada semua kaum di negara ini.

"Persoalannya biasiswa kerajaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mempertahankan kuota hak orang Melayu. Kalau dilaksanakan tahun depan, ia melanggar perlembagaan.

"GGMM harap kerajaan mengkaji dengan teliti supaya tidak bercanggah dengan perlembagaan," katanya.

Mengenai sama ada kuota Bumiputera perlu dipertahan Mohd Khairul Azam, berkata ia berkaitan perlembagaan yang perlu dihormati seperti dipersetujui bersama dalam kontrak sosial.

Solar hibrid bekal elektrik 24 jam di pedalaman

Oleh Matzidi Dris
mzidi@bharian.com.my

Teknologi mesra alam akan dilaksana berperingkat-peringkat

KUCHING: Satu sistem solar hibrid yang mesra alam dan menggunakan teknologi hijau terkini dari Jerman, akan digunakan di kawasan penempatan penduduk di pesisiran dan pedalaman Sarawak bagi memastikan kawasan terbabit mendapat bekalan elektrik 24 jam.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata sistem itu akan dipasang di kawasan yang tidak dapat dihubungi grid utama bekalan elektrik sedia ada.

Bagaimana pun katanya, kawasan penempatan terbabit masih boleh dikunjungi menerusi jalan sungai atau darat, namun terpaksa mengambil masa yang panjang.

"Pelaksanaan projek itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat. Sebelum itu, satu kajian lengkap bagi mengenal pasti sama ada sistem itu berdaya saing atau sebaliknya perlu dijalankan.

"Kajian lengkap yang akan dijalankan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ini perlu ekoran kegagalan sistem yang dilaksanakan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kemudahan Awam Sarawak dan Carbon Capital Corporation (CCC) Sdn Bhd bagi membina sistem solar hibrid di Sarawak, di sini, semalam.

Kementerian Kemudahan Awam diwakili Setiausaha Tetapnya, Ubaidillah Abd Latif, manakala (CCC) Sdn Bhd diwakili Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Wahab Suhaili.

Awang Tengah, yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber berkata, menerusi MoU itu, CCC Sdn Bhd akan melakukan kajian kemungkinan berhubung penilaian aspek teknikal dan kewangan di tapak projek yang dikenal pasti sesuai dengan sistem berkenaan.

"CCC Sdn Bhd seterusnya akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri termasuk sistem reka bentuk, kos dan spesifikasi bagi melaksanakan kerja pemasangan sistem terbabit.

"Jika kerajaan negeri berpuas hati dengan hasilnya, kontrak rasmi akan ditandatangani untuk pelaksanaan projek berkenaan," katanya.

Beliau juga berkata, dengan pengenalan sistem tenaga alternatif terkini menerusi sistem solar hibrid, Sarawak akan dapat mempercepatkan pembekalan tenaga di kawasan persisiran dan pedalaman.

Terdahulu dalam ucapan, Wahab berkata, sistem solar hibrid akan menggunakan teknologi yang disediakan oleh IBC Solar Teknik Sdn Bhd yang berpengalaman luas dalam teknologi solar hijau di pasaran domestik dan antarabangsa.

"Sistem solar hibrid IBC, yang terbukti berkesan di seluruh dunia, amat sesuai untuk sebuah negeri yang luas, berbukit-bukau dan bergunung-ganang seperti Sarawak.

"Dalam keadaan sedemikian mustahil untuk kerajaan negeri menyediakan grid elektrik di semua kawasan persisiran dan pedalaman," katanya.

Sementara, Ketua Pegawai Eksekutif IBC Solar Teknik Sdn Bhd, Ahmad Nazri Ibrahim, berkata Sarawak boleh menjadi negeri peneraju di Malaysia yang menggunakan teknologi hijau kelas pertama sebaik saja kerajaan meneruskan dengan serius penggunaan sistem solar hibrid.

Beliau berkata, sistem itu dinamakan sistem solar hibrid kerana ia secara automatik akan bertukar kepada generator berkuasa diesel sekiranya tidak menerima tenaga solar yang cukup daripada matahari.

Katanya, sistem ini memang sesuai untuk kawasan penempatan di luar bandar, persisiran dan pedalaman yang jauh dari grid bekalan elektrik utama.

Usia bukan penghalang warga emas timba ilmu

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my

26 wanita masuk kelas mengenal huruf tiga kali seminggu

TENOM: Pada usia mencecah 60 tahun, penduduk Kampung Bakuku, Ulu Tomani dekat sini tidak pernah patah semangat untuk menimba ilmu. Pada usia berkenaan seharusnya diluangkan untuk bermesra dengan cucu itu, bagaimanapun, usaha menambah ilmu secara formal tidak dilupakan.

Bukan untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik. Bukan juga untuk menggunakannya bagi mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi di sektor awam atau swasta.

Sebaliknya, pada usia lanjut ini, 26 wanita yang sebahagian besarnya warga emas di kampung berkenaan menghambakan diri untuk menimba ilmu membaca, menulis dan mengira (3M) yang selama ini tidak pernah dinikmati.

Kemiskinan yang menghimpit sejak sekian lama tidak memberi peluang untuk mereka menimba ilmu secara formal. Faktor jarak kampung yang kira-kira 25 kilometer untuk ke pekan kecil Kemabong, dekat sini dengan melalui jalan tidak berturap dan dikelilingi hutan, tidak membolehkan mereka ke sekolah.

Namun demikian, peluang menimba ilmu secara formal yang seolah-olah sudah terpadam daripada perjalanan hidup mereka, terbuka luas apabila Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran menyediakan program Kelas Dewasa di kampung itu sejak April 2008.

Ia bertujuan membasmi buta huruf di kalangan masyarakat luar bandar, sekali gus membolehkan mereka menikmati pembangunan negara.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakuku, 26 wanita yang sememangnya tidak pernah menikmati pendapatan tetap dan bertugas sebagai suri rumah itu merebut peluang untuk menimba ilmu, sekurang-kurangnya mengenal huruf dan konsep 3M.

Setiap Selasa, Rabu dan Khamis, wanita berusia antara 35 hingga 60 tahun itu akan berada dalam kelas selama dua jam, mulai jam 2 petang.

Dengan dibimbing guru sekolah berkenaan, Daniel Chiong, mereka diajar mengenal huruf bagi membolehkan membaca dan menulis, selain mengira.

"Kebanyakan mereka langsung tidak pernah menerima pendidikan formal sebelum ini. Bagaimanapun, sejak mengikuti kelas ini, mereka sudah boleh membaca dan menulis perkataan dan ayat yang mudah.

"Mereka juga sudah boleh mengira dan membuat kerja Matematik yang mudah. Pada mulanya memang sukar untuk membolehkan mereka menguasai pada peringkat rendah ketiga-tiga kemahiran itu tetapi berkat kesungguhan menimba ilmu, sekarang mereka sudah boleh berbuat demikian" katanya kepada Berita Harian, ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

Seorang pelajar, Suliya Ambun, 60, berkata beliau tidak akan melepaskan peluang menimba ilmu setiap jam 2 petang Selasa, Rabu dan Khamis.

"Pada sebelah pagi saya membantu suami di kebun. Habis saja kerja di kebun, saya pulang ke rumah untuk memasak. Pada jam 2 petang, saya masuk kelas.

"Masa muda dulu, saya memang tak berpeluang belajar. Kampung kami terlalu jauh dari pekan kecil Kemabong atau Tenom. Saya memang tak kenal huruf, apatah lagi membaca dan menulis. Bagaimanapun, dengan adanya Kelas Dewasa ini, saya sudah boleh mengeja perkataan yang mudah," katanya.

Kementerian Pelajaran menyediakan 195 Kelas Dewasa di seluruh negara, iaitu 93 sekolah rendah di Semenanjung yang keseluruhan pelajarnya adalah Orang Asli dan 102 sekolah rendah yang membabitkan peribumi di Sabah dan Sarawak.

Selain SK Bakuku, sekolah lain di Sabah yang turut menyediakan kelas berkenaan ialah SK Tumunda Salimandut di Kota Marudu dan SK Kampung Solob di Sipitang.

Setiap kali hadir, pelajar diberikan elaun RM15 seorang, selain RM4 untuk membeli makanan serta minuman. Mereka perlu mengikuti kelas Bahasa Melayu dan Matematik selama 200 jam dalam 100 hari dari Mac lalu hingga November depan.