Monday, June 29, 2009

Cacat bukan penghalang timba ilmu

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Omar Osman (kanan) berkata sesuatu kepada Khu Li Huang dan ibunya, ketika melapor diri di universiti itu, baru-baru ini.

PULAU PINANG 28 Jun - Kecacatan tidak menghalang Khu Li Huang, 26, untuk berusaha mencapai impiannya menjadi pensyarah dan atas tekad itu, beliau perlu belajar berdikari untuk bergerak di dalam kampus dan bersaing dengan para pelajar normal.

Pemuda itu menyertai Universiti Sains Malaysia (USM) di sini sebagai pelajar baru kelmarin, lumpuh dari leher ke bawah setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya 10 tahun lalu.

Peristiwa motosikal yang ditungganginya dilanggar oleh sebuah lori tidak pernah memadamkan cita-cita anak kelahiran Bandar Baru, Kedah itu, walaupun beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Ketika ditemui pemberita semasa sesi pendaftaran pelajar baru, Li Huang, yang baru menamatkan pengajiannya di peringkat diploma Kejuruteraan Sistem Maklumat di Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) tahun lepas, akan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

"Saya akan cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru di kampus ini dan perlu belajar berdikari kerana selama ini saya banyak dibantu oleh ibu untuk menguruskan diri.

"Saya yakin, kawan-kawan di sini pasti membantu saya untuk menjalani kehidupan baru seperti mana yang saya alami di Kolej TAR dulu," kata LI Huang. Katanya, beliau mahu membalas budi ibunya, Ewe See Moi, 57, yang sanggup berhenti kerja di kedai kek dan roti di Butterworth untuk memastikan keperluan hariannya terurus dengan baik sebelum ini manakala bapanya, Khu Tiang Poo, 56, masih bekerja sebagai buruh binaan untuk menyara keluarga.

Menurut anak bongsu lelaki daripada empat beradik itu, beliau akan menggunakan kesempatan menimba ilmu di menara gading itu untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah pengangkutan yang sering dihadapi oleh golongan kurang upaya sepertinya.

Kelmarin, seramai 3,600 pelajar baru mendaftar di tiga kampus USM iaitu kampus induk, kampus perubatan di Kubang Krian dan kampus kejuruteraan di Nibong Tebal.

Seorang lagi warga baru istimewa USM, ialah Mokhtar Othman, 59, pesara guru yang melapor diri di kampus induk.

Katanya, beliau terpanggil untuk menyambung pelajaran setelah dicabar oleh dua anaknya yang masing-masing menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, beliau tidak berkesempatan belajar di peringkat tinggi semasa mudanya kerana sibuk mencari rezeki dan kini setelah anak-anak berjaya, beliau mahu mengisi masa terluang itu dengan membuktikan kepada keluarganya bahawa beliau juga boleh berjaya seperti mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment