Wednesday, July 1, 2009

Johor: Program galak murid menabung

Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my

Sebuah syarikat bekerjasama dengan Tabung Haji buka simpanan awal RM2

JOHOR BAHRU: Amalan menabung seharusnya dipupuk sejak masih kecil lagi supaya tabiat itu menjadi kebiasaan ketika dewasa.

Mengambil iktibar daripada pepatah 'melentur buluh biarlah daripada rebung,' sebuah syarikat Bumiputera bekerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Johor untuk menyediakan akaun simpanan kepada 500 murid beragama Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas, di sini.

Majlis penyerahan buku simpanan itu diadakan di dewan sekolah berkenaan, Sabtu lalu, menyaksikan setiap murid seawal Tahun Satu diberi deposit awal sebanyak RM2 sebagai dorongan untuk mereka mula menyimpan di Tabung Haji.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Lembaga Tabung Haji negeri, Nasir Jabar; Guru Besar SK Kempas, Norisha Darwish; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kempas, Nazleen Jabar dan Ketua Kampung Kempas Permatang, Mohamad Muasa.

Nazleen ketika ditemui selepas majlis berkenaan mengakui program itu adalah kerjasama pertama dilakukan Tabung Haji dengan sebuah syarikat Bumiputera yang memberi sumbangan RM1,000 sebagai deposit untuk akaun 500 murid sekolah berkenaan.

"Kita amat bersyukur kerana ada syarikat yang sanggup menghulurkan bantuan menyediakan sumbangan untuk dijadikan deposit akaun murid. Harapan ibu bapa untuk menyemai amalan menabung di kalangan anak mereka menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata, SK Kempas sebenarnya dikategorikan sebagai sekolah luar bandar dan amat memerlukan sumbangan serta peruntukan daripada pihak berkaitan dalam usaha menambah pelbagai kemudahan untuk mengadakan aktiviti murid.

Katanya, program seumpama itu sebenarnya memberi banyak manfaat untuk murid serta ibu bapa kerana mereka tidak perlu bersusah payah pergi ke pusat bandar untuk membuat simpanan sebaliknya semua urusan sudah disiapkan pihak Tabung Haji.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Zulkifli Abdul Majid, 44, berkata beliau berterima kasih kepada syarikat yang memberi sumbangan untuk membolehkan dua anaknya, Norazira yang menuntut di Tahun Empat dan Noradila di Tahun Enam membuka akaun Tabung Haji.

"Saya berharap lebih banyak syarikat tempatan tampil membantu sekolah dalam menyediakan kemudahan kepada murid dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan untuk menyediakannya. Sebagai contoh, dengan hanya menyumbang RM1,000, ia jelas memberi banyak manfaat kepada murid untuk menggalakkan mereka minat menabung," katanya.

Mohd Zulkifli berkata, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada semua ibu bapa beragama Islam di sekolah berkenaan kerana akaun itu bukan sekadar boleh digunakan untuk menabung malah bagi menunaikan haji apabila anak-anak berkenaan dewasa.

Seorang murid Tahun Tiga, Mohd Azim Nazlee, 9, berkata sebelum ini beliau ada menabung wang sakunya di rumah dan juga di bank.

"Guru saya memaklumkan bahawa menyimpan di Tabung Haji banyak faedah kerana selain boleh digunakan sebagai simpanan untuk dikeluarkan pada bila-bila masa, wang itu juga boleh digunakan untuk menunaikan haji," katanya.

Seorang lagi murid, Alya Najiha Nazleen, 10, berkata ramai rakannya dari sekolah lain turut berminat untuk menabung di Tabung Haji tetapi sukar berbuat demikian kerana lokasinya yang agak jauh dari rumah masing-masing.

"Biasanya, ibu bapa lebih suka membuka akaun simpanan di bank biasa bukan di Tabung Haji, jadi saya rasa Tabung Haji boleh membuka kaunter di sekolah bagi mendidik murid untuk menabung demi kebaikan mereka," katanya.


No comments:

Post a Comment