Monday, July 6, 2009

Aritmetik minda abacus memudahkan matematik

KUALA LUMPUR 5 Julai - Matematik bukanlah subjek yang susah dan membosankan.

Perkara itu dibuktikan oleh Nor Hanisa Abdul Kadir dan Nor Farah Nathirah Zahirin, masing-masing berusia 15 tahun yang kini berjaya menguasai matematik peringkat tinggi melalui kaedah aritmetik minda abacus.

Mereka merupakan dua pelajar Melayu yang berjaya membuktikan kecemerlangan dalam bidang matematik bersama 80 pelajar bukan Melayu sempena majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan U C Mas di sini hari ini.

"Saya kini berjaya menguasai subjek ini dan mampu menyelesaikan semua permasalahan matematik dengan pantas tanpa bantuan kalkulator.

"Sebenarnya matematik bukan subjek yang susah. Permasalahan matematik mampu dijawab dengan menggunakan kepantasan pengiraan di dalam minda sahaja," kata Nor Hasina.

U C Mas merupakan pengasas kaedah pengajaran dan pembelajaran matematik menggunakan aritmetik minda abacus di negara ini sejak 17 tahun lalu.

Hadir sama pada majlis konvokesyen itu Menteri Pendidikan Sudan, Elamin Abdelgadir Mohamed, Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Khaidir Jamal dan Presiden U C Mas, Prof. Dr. Dino Wong.

Tambah pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat yang bercita-cita menjadi pakar matematik itu, dia bangga dapat bersaing dengan pelajar bukan Melayu lain.

Katanya, stigma pelajar Melayu yang menganggap matematik sebagai subjek yang sukar menyebabkan pencapaian mereka tidak meningkat terutamanya di sekolah di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Nor Farah pula berkata, dia kini tidak menghadapi masalah setiap kali ujian penilaian matematik dilakukan oleh pihak sekolah.

"Saya bersyukur kerana mampu menjawab semua soalan matematik dengan cemerlang. Standard yang kami belajar di U C Mas lebih tinggi berbanding diajar dalam sesi persekolahan biasa.

"Sebelum ini saya pun menganggap matematik sebagai 'subjek membunuh' tetapi kini selepas tiga tahun semuanya berubah dan akhirnya diiktiraf sebagai salah seorang yang cemerlang dalam matematik," katanya.

Dalam pada itu, Dino memberitahu, kaedah aritmetik minda abacus bukan sekadar membantu pelajar menguasai matematik dengan cemerlang tetapi mendedahkan pelajar kepada elemen konsentrasi dan ingatan yang kuat.

Menurutnya, aritmetik minda abacus membantu pelajar merangsang otak kiri dan kanan secara serentak bagi membolehkan mereka mendapat jawapan dengan cepat dan tepat.


No comments:

Post a Comment