Wednesday, July 8, 2009

SM Tinggi Chung Hua dibuka semula

SEREMBAN 6 Julai - Pelajar Sekolah Menengah Tinggi Chung Hua di sini memulakan sesi persekolahan hari ini selepas ditutup seminggu berikutan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pengetuanya, Sua Sim Zang berkata, kebenaran memulakan semula sesi persekolahan itu dibuat selepas mendapat pandangan Jabatan Kesihatan negeri dan Jabatan Pelajaran negeri.

Selain itu, tambahnya, kerja pembersihan persekitaran sekolah telah dibuat dalam tempoh seminggu lalu.

"Hari ini pelajar mula bersekolah selepas cuti seminggu. Sebelum mereka mula bersekolah, kita telah adakan gotong-royong membersihkan kawasan bilik darjah," katanya di sini hari ini.

Sim Zang berkata, beliau berterima kasih kepada jabatan terbabit kerana walaupun ia sekolah swasta, kerjasama memantau penularan wabak itu daripada banyak pihak dilakukan dengan baik sekali.

Pada 28 Jun lalu, dua pelajar disahkan dijangkiti selesema babi yang menyebabkan sekolah itu terpaksa ditutup berikutan kebimbangan kemungkinan ia menular kepada individu lain.

Tinjauan Utusan Malaysia pagi ini mendapati sebahagian besar pelajar memasuki pekarangan sekolah seawal pukul 7 pagi dan sepanjang tempoh pemerhatian itu, ibu bapa memberi kerjasama baik kepada pihak sekolah.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pemantauan terhadap sekolah itu akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Pihak jabatan telah menjalankan program pencegahan di sekolah itu termasuk mengadakan ceramah bersama pegawai dan guru," ujar beliau.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak bimbang menghantar anak mereka kembali bersekolah kerana pihak jabatan sentiasa memantau perkembangannya termasuk mengesan jika ada tanda-tanda wabak itu kembali berlaku di sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhamad pula ketika dihubungi menjelaskan, pihaknya gembira dengan pembukaan sekolah tersebut selepas itu ditutup selama seminggu kerana H1N1.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak sekolah dan pelajar juga hendaklah sentiasa melaporkan jika terdapat mana-mana pelajar yang menunjukkan tanda tidak sihat supaya tindakan segera boleh diambil.



No comments:

Post a Comment