Monday, July 6, 2009

5,788 pelajar sekolah di Selangor terima zakat Bank Rakyat

SHAH ALAM 5 Julai - Seramai 5,788 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Selangor menerima sumbangan wang zakat berjumlah RM290,050 daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

Sumbangan itu diserahkan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat kepada Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Selangor, Mahmud Karim yang mewakili pengarahnya, Dr. Zahri Aziz pada Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan Perdana Wilayah Selangor di sini semalam.

Kamaruzaman dalam ucapannya berkata, pihaknya memperuntukkan RM33.4 juta untuk disalurkan kepada golongan asnaf yang layak di seluruh negara tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu RM20.8 juta disalurkan melalui Majlis Agama Islam di setiap negeri sementara baki RM12.6 juta lagi diagihkan kepada pelajar miskin sebagai usaha untuk membantu mereka dari segi keperluan persekolahan, pendidikan dan pelajaran.

"Untuk tahun ini, 112,000 pelajar menerima bantuan zakat seluruh negara dengan purata setiap seorang mendapat RM50 berbanding 4,000 penerima tahun lalu.

"Setakat ini semua negeri telah diserahkan zakat tersebut kecuali Perlis," katanya.

Menurut beliau, Bank Rakyat turut menyumbang dua peratus daripada keuntungan kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi untuk disalurkan dalam aktiviti pendidikan kelolaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.


No comments:

Post a Comment