Friday, July 24, 2009

Guru ajar Sains, Matematik terus terima elaun BISP

Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my

Kerajaan belum buat keputusan pemansuhan insentif

KUALA LUMPUR: Guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan terus menerima elaun Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan pada 2012.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata kerajaan buat masa ini tidak membuat sebarang keputusan mengenai pemberian itu dan status quo BISP masih kekal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai elaun BISP yang mungkin akan dihentikan selepas kerajaan membuat keputusan memansuhkan PPSMI pada 2012.

Kerajaan memperuntukkan RM40 juta setahun bagi membiayai elaun berkenaan sejak BISP diperkenalkan pada 2003 dengan guru lulusan diploma menerima elaun kira-kira RM200 sebulan atau 10 peratus daripada gaji bulanan mereka dan guru lulusan ijazah menerima elaun lima peratus (RM75 sebulan).

Bercakap kepada pemberita di Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-16 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, dekat sini, semalam, Asariah berkata, pihaknya kini melatih lebih ramai guru menerusi program intensif bahasa Inggeris di lima institut perguruan di seluruh negara dalam usaha memastikan lebih ramai guru bahasa itu ditempatkan di sekolah pedalaman.

Beliau berkata, institut terbabit ialah di kampus Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan, Kota Kinabalu dan Sarawak dengan pengambilan pelatih dalam pelbagai bidang kira-kira 1,000 orang setahun.

"Kami mempunyai masa dua setengah tahun untuk membuat perancangan, dari segi menambah bilangan guru terlatih selain melihat semula penempatan guru di luar bandar.

"Dari segi bilangan guru bahasa Inggeris setakat ini, memang mencukupi cuma dari segi taburannya tidak menentu dengan kawasan tertentu perlu dihantar lebih ramai guru," katanya.

Mengulas bentuk insentif yang ditawarkan kepada guru bahasa Inggeris yang berkhidmat di luar bandar, Asariah berkata, perkara itu belum diputuskan lagi, namun, insentif itu hanya akan diberikan kepada guru yang mencatat prestasi pengajaran terbaik dalam usaha memastikan pelajar luar bandar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan berkesan.

Asariah berkata, pihaknya juga masih mengkaji mekanisme pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara untuk membantu mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar serta pengambilan guru pakar bahasa Inggeris dari luar negara.


No comments:

Post a Comment