Saturday, August 22, 2009

Halimahton kongsi didik anak pintar

Oleh Sariha Mohd Ali
sariha@bharian.com.my


HALIMAHTON bersama anak, Iskander Ibrahim ketika ditemui di rumahnya di Damansara.

Program Genius Pra Sekolah bantu budak mahir Matematik

KUALA LUMPUR: Kemampuannya mendidik lima anak di United Kingdom (UK) sehingga menjadi pelajar genius Matematik yang berjaya memasuki universiti bagi kursus sarjana pada usia muda dan terkenal di seluruh dunia, menyebabkan Halimahton Yusuf, berhasrat mengembangkan kaedah pendidikan yang digunakannya itu untuk membantu ibu bapa di Malaysia memiliki anak pintar seawal usia muda.

Beliau yang sudah menetap di Kuala Lumpur bersama dua anaknya, Iskandar Ibrahim Farooq Yusof,23, dan Sabrina Zuleikha,15, sejak bulan lalu berkata, sebagai permulaan, program yang akan dijalankan selepas Ramadan ini hanya dibuka kepada ibu bapa dan pelajar yang berminat di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya saja.

Katanya, kaedah pendidikan dikenali `Program Genius Pra Sekolah' itu antara lain akan mendedahkan teknik pengajaran asas khusus untuk membentuk kepintaran anak bermula di peringkat bayi hingga berusia lima tahun.

"Program ini adalah siri bengkel interaktif membabitkan penyertaan ibu bapa dan anak mereka. Saya ingin mendedahkan apakah teknik yang boleh dilakukan untuk menjadikan anak berusia bawah lima tahun ini mampu membaca dan menulis dengan lancar, selain memiliki kemahiran dalam Matematik.

"Ramai ibu bapa bertanya sama ada anak berusia bawah tiga tahun boleh memiliki kemahiran seperti itu dan kita akan membuat demonstrasi bagaimana untuk melakukannya dalam kelas.

"Paling penting, saya ingin menekankan aktiviti pendidikan perlu dilakukan dalam suasana ceria dan mampu menimbulkan perasaan ingin tahu di kalangan anak-anak, selain membincangkan langkah perlu dilakukan ibu bapa jika anak tidak berminat untuk belajar," katanya ketika ditemui di Damansara, petang semalam.

Lima anak Halimahton, Isaac Yusof, 27, Aisya, 26, Sufiah, 24, Iskander Ibrahim, 23, dan Sabrina Zuleikha, 15, memiliki kepintaran luar biasa terutama dalam bidang Matematik sehingga menarik perhatian media yang memaparkan keluarganya sebagai paling pintar di UK.

Isaac yang kini menjalankan perniagaan sendiri di UK mendapat tawaran memasuki universiti pada usia 15 tahun, diikuti Aisya yang memasuki Universiti Warwick pada usia 15 tahun, Sufiah ke Universiti Oxford pada usia 13 tahun dan Iskander memasuki Universiti Warwick ketika berusia 12 tahun, manakala Sabrina Zuleikha turut menerima tawaran ke universiti pada usia 14 tahun.

Halimahton berkata, kepulangannya untuk menetap terus di Malaysia diputuskan Iskander dan peluang itu membolehkannya menabur bakti kepada anak tempatan menggunakan kemahiran dimilikinya itu selepas menetap selama 34 tahun di London.

Katanya, walaupun kejayaan anaknya memasuki universiti mengagumkan orang ramai kerana mereka masih kanak-kanak, tetapi dia tidak menggalakkan ibu bapa menghantar anak ke universiti pada peringkat usia berkenaan.

"Walaupun anak itu pintar pada usia muda, dia sewajarnya diberi peluang melalui kehidupan biasa bersama rakan dan memasuki universiti ketika mencapai usia yang agak matang," katanya.






No comments:

Post a Comment