Thursday, August 20, 2009

Syor cuti persekolahan lebih awal kekang penularan H1N1

NAMPAKNYA penyakit selesema babi atau H1N1 semakin merebak dan setiap hari ada saja yang disahkan mati disebabkan serangan wabak maut itu.

Difahamkan untuk kita dijangkiti penyakit ini amat mudah kerana hanya dengan sentuhan tangan atau terkena tempias daripada seseorang yang bersin, boleh dijangkiti dan sudah memadai kita pula jadi pembawa penyakit itu tanpa disedari.

Difahamkan juga mereka yang mempunyai rekod berpenyakit seperti asma, kencing manis, lemah jantung dan mereka yang kurang mempunyai ketahanan melawan penyakit serta kanak-kanak dan orang yang lanjut usia mudah diserang H1N1.

Apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan penyakit H1N1 ini boleh merebak dengan pantas dan negara kita tidak terkecuali dengan berkemungkinan besar ia akan menyerang sebahagian besar penduduk bukan saja penduduk dunia, malah warga negara ini sudah cukup untuk membayangkan betapa bahayanya penyakit ini.

Oleh yang demikian disyorkan antara cara mengekangnya ialah dengan menganjakkan cuti tahunan persekolahan penggal ketiga ini lebih awal lagi iaitu sepanjang Ramadan dan disambung persekolahan selepas Aidilfitri.

Hanya bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM perlu bersekolah seperti biasa dan cuti penggal mereka bermula apabila saja tamat peperiksaan berkenaan.

Dicadangkan juga supaya jabatan kerajaan memendekkan waktu bertugas hingga jam 2 petang sepanjang Ramadan dan hanya membuka kaunter bayaran tertentu jika perlu.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL,
Ampangan, Seremban.

No comments:

Post a Comment