Saturday, August 22, 2009

Samad bawa isu PPSMI di pentas Pas

BUKIT MERTAJAM: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan menyertai kempen Pas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir bagi menjelaskan isu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir di sini, semalam, Samad berkata, beliau akan menggunakan kesempatan diberikan Pas untuk menerangkan kegagalan kerajaan memartabatkan bahasa Melayu.

Beliau akan menceritakan kepada masyarakat di sini bagaimana Kerajaan Pusat gagal melakukan sesuatu bagi memartabatkan bahasa Melayu dan hanya memperkasakan bahasa Inggeris dengan memperuntukkan kira-kira RM5 bilion.

"Saya lihat sampai sekarang kerajaan gagal mengumumkan mengenai langkah mereka memartabatkan bahasa Melayu. Apa yang mereka lakukan hanyalah memperkasakan bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa perniagaan serta bangsawan.

"Selain itu, saya juga ingin menyatakan bahawa Kerajaan Pusat berdolak-dalik untuk memansuhkan PPSMI. Ini terbukti kerana ketika hendak melaksanakan, mereka hanya ambil masa lima bulan, tetapi dua atau tiga tahun untuk memansuhkannya," katanya.

Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang juga Pengarah Jentera Pas Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali.

Ini bukan kali pertama, sasterawan negara itu bekerjasama dengan Pas berhubung isu PPSMI kerana pada Mac lalu, mereka mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur untuk berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan pelaksanaannya.

Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, berkuat kuasa pada 2012.

Pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil pula dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Samad berkata, beliau menggunakan pentas kempen disediakan Pas kerana kerajaan tidak mendengar desakan daripada golongan seniman sepertinya dan hanya mendengar apabila desakan keluar daripada pembangkang.

"Apabila golongan kami tidak didengar pendapatnya, lebih baik kami minta bantuan daripada pembangkang yang agak lantang menyuarakan isu seumpama itu," katanya.

Sementara itu, Mahfuz ketika mengulas pembabitan Samad, berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak yang ingin berkempen bagi membantah dasar kerajaan yang hanya menyukarkan rakyat.



No comments:

Post a Comment