Sunday, August 16, 2009

Usah malu bertutur dalam BI


DR MAHATHIR menyampaikan anugerah Tun Mahathir kepada Shahida pada Majlis Konvokesyen Institut Sains Kesihatan Bersekutu Bukit Merah, semalam.

Latihan bercakap berulang kali bantu fasih bahasa antarabangsa: Mahathir

BUKIT MERAH: Golongan muda yang terpelajar tidak perlu malu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris (BI) kerana amalan yang dilakukan berulang kali itu akan menjadikan mereka fasih bahasa antarabangsa itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ketika ini, negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menguasai hampir semua teknologi moden dan tidak rugi jika graduan negara ini fasih dalam bahasa berkenaan.

Beliau berkata, bahasa Inggeris digunakan untuk meneroka bidang baru, menyelidik dan menulis hasil penyelidikan.

"Pada satu zaman, penutur bahasa Arab menguasai teknologi semasa hingga orang Eropah belajar bahasa Arab untuk menguasai ilmu. Sekarang, untuk menguasai ilmu baru, kita mesti menguasai bahasa Inggeris.

"Tidak rugi kita menguasai dua bahasa, iaitu bahasa ibunda atau bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris," katanya dalam ucapan motivasi pada Majlis Konvokesyen Institut Sains Kesihatan Bersekutu Bukit Merah di sini, semalam.


Isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai tetamu kehormat menyampaikan Diploma Kejururawatan kepada 91 graduan.

Dr Siti Hasmah turut menyampaikan Anugerah Tun Dr Siti Hasmah kepada graduan terbaik, Nur Shuhaily Mohd Samsudin, manakala Dr Mahathir menyampaikan Anugerah Tun Dr Mahathir kepada Shahida Samsudin.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola institut berkenaan, Tan Sri Mustapa Kamal Abu Bakar. Mustapa Kamal juga menyampaikan Anugerah Tan Sri Mustapa Kamal kepada graduan cemerlang, Mohd Safuan Ahmad.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, penduduk negara ini sama ada di luar bandar atau bandar, orang miskin atau kaya mempunyai potensi intelektual yang sama dengan penduduk negara maju jika keupayaan mereka dicungkil menerusi peluang pendidikan.

Katanya, orang Melayu, Cina, India atau Bumiputera Sabah dan Sarawak mempunyai kecerdasan yang sama dengan bangsa lain di seluruh dunia jika mereka tekun berusaha untuk mencapai kecekapan dan menimba ilmu.

"Menerusi peluang latihan dan pendidikan, pencapaian generasi muda jauh lebih baik daripada ibu bapa mereka yang dikatakan kolot atau tidak berpelajaran tinggi," katanya.



No comments:

Post a Comment