Tuesday, August 25, 2009

Belajar 3M pada usia lanjut

26 wanita warga emas rebut peluang diberikan kerajaan

TENOM: Sudah berusia 60 tahun pun masih ingin belajar membaca, menulis dan mengira (3M)? Mengapa sudah tua baru hendak belajar? Mengapa tidak bersekolah ketika muda?

Itulah persoalan yang mungkin terlintas di fikiran umum apabila diberitahu masih ada anggota masyarakat sudah lanjut usia masih mempelajari 3M. Malah, bagi sesetengah orang, ia mungkin tidak masuk akal.

Pada usia mencecah 60 tahun, penduduk Kampung Bakuku, Ulu Tomani dekat sini tidak pernah patah semangat untuk menimba ilmu walaupun waktu itu seharusnya diluangkan untuk bermesra dengan anak cucu.

Bukan untuk mencapai kecemerlangan akademik, bukan juga untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi di sektor awam atau swasta.

Sebaliknya, 26 wanita yang sebahagian besarnya warga emas menghambakan diri untuk menimba ilmu 3M yang tidak pernah dinikmati.

Kemiskinan yang menghimpit tidak memberi peluang mereka menimba ilmu secara formal. Faktor jarak kampung 25 kilometer untuk ke pekan kecil Kemabong, dekat sini, melalui jalan tidak berturap dan dikelilingi hutan tidak membolehkan mereka ke sekolah.

Tinjauan Berita Harian di kampung itu baru-baru ini mendapati, walaupun sibuk mengikuti kelas anyaman disediakan pegawai dan kakitangan Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Sabah Forest Industry (SFI) di kampung itu, mereka tidak mahu melepaskan menyertai kelas dewasa.

Peluang menimba ilmu secara formal yang seolah-olah sudah terpadam daripada perjalanan hidup mereka, terbuka luas apabila Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran menyediakan program Kelas Dewasa sejak April 2008.

Ia bertujuan membasmi buta huruf di kalangan masyarakat luar bandar, sekali gus membolehkan mereka menikmati pembangunan negara.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakuku, 26 wanita yang tidak pernah menikmati pendapatan tetap dan hanya menjadi suri rumah merebut peluang mengenal huruf dan konsep 3M.

Setiap Selasa, Rabu dan Khamis, wanita berusia antara 35 hingga 60 tahun itu berada dalam kelas selama dua jam mulai jam 2 petang.

Dengan dibimbing guru sekolah berkenaan, Daniel Chiong, mereka diajar mengenal huruf bagi membolehkan membaca dan menulis, selain mengira.

"Kebanyakan mereka tidak pernah menerima pendidikan sebelum ini. Sejak mengikuti kelas ini, mereka sudah boleh membaca dan menulis perkataan dan ayat mudah.

"Mereka juga sudah boleh mengira dan membuat Matematik mudah. Awalnya memang sukar tetapi berkat kesungguhan, sekarang mereka sudah boleh berbuat demikian" katanya.

Suliya Ambun, 60, berkata beliau tidak akan melepaskan peluang ke kelas setiap jam 2 petang Selasa, Rabu dan Khamis.

"Sebelah pagi saya membantu suami di kebun. Habis kerja di kebun, saya pulang memasak. Petang saya masuk kelas.

Asda Ngilo, 43, menerima galakan daripada suami dan anaknya untuk menyertai kelas itu.

"Saya tidak pernah menyesal tidak mampu membaca dan menulis sebelum ini kerana ibu bapa saya memang tidak mampu menyekolahkan saya ketika kecil.

"Sekarang saya gembira kerana sudah mengenal huruf dan mengeja," katanya.

Kementerian Pelajaran menyediakan 195 Kelas Dewasa di seluruh negara, iaitu 93 sekolah rendah di Semenanjung yang keseluruhan pelajarnya adalah Orang Asli dan 102 sekolah rendah yang membabitkan pribumi di Sabah dan Sarawak.

Selain SK Bakuku, sekolah lain di Sabah yang turut menyediakan kelas berkenaan ialah SK Tumunda Salimandut di Kota Marudu dan SK Kampung Solob di Sipitang.

Setiap kali hadir, pelajar diberi elaun RM15 selain RM4 untuk membeli makanan dan minuman. Mereka perlu mengikuti kelas bahasa Melayu dan Matematik 200 jam dalam 100 hari dari Mac lalu hingga November depan.

Jelas, pada usia yang sudah lanjut, ilmu yang disediakan secara percuma oleh Kementerian Pelajaran bagaikan bulan jatuh ke riba untuk warga emas di pedalaman. Kesungguhan mereka menimba ilmu seharusnya menjadi pendorong untuk pelajar yang mengikuti pembelajaran secara formal di sekolah.


No comments:

Post a Comment