Monday, August 24, 2009

Pendidikan satu pelaburan: Rahim

24th August, 2009

PAPAR: Pendidikan formal yang diterima oleh kanak-kanak di pelbagai peringkat merupakan satu pelaburan kata Wakil Rakyat Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail.

Beliau berkata ibu bapa perlu seharusnya tidak merasa keberatan untuk melabur demi masa depan anak-anak tersebut kerana pelaburan itu tiada taranya dan terjamin sepanjang hayat jika dijana dan diperkembang dengan sewajarnya.

Rahim turut menggesa semua golongan ibu bapa dan penjaga agar mempertingkat ilmu dan kemahiran keibubapaan sejajar dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan kewujudan pelbagai masalah yang melanda golongan muda khususnya pelajar sekolah.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Keibubapaan dan Motivasi UPSR 2009 di SK Buang Sayang anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) dengan kerjasama PIBG SK Buang Sayang dan Biro Pendidikan Umno Papar. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat DUN Pantai Manis, Amri Haji Abu Bakar.

Terdahulu, Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail menggesa ibu bapa serta ahli keluarga pelajar agar menjadikan agenda pembangunan pendidikan, pemantapan disiplin dan pemurnian akhlak

Selain penyusunan ekonomi keluarga dan rangsangan permuafakatan komuniti setempat sebagai strategi utama ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang seimbang dengan pembangunan infrastruktur dan ledakan teknologi maklumat masa kini kata Zulkhairi.

Katanya, kelangsungan cita-cita anak-anak dan harapan ibu bapa secara keseluruhan, setiap lapisan masyarakat sama ada golongan guru, jiran, rakan sebaya, pemimpin komuniti, NGO, pertubuhan siasah.

“Golongan pekerja harus berganding bahu dan sentiasa peka akan isu-isu sejagat yang menular dan sekaligus mencegah lebih awal daripada meresap ke dalam masyarakat.

“Institusi sekolah juga harus dijadikan ‘centre of excellence’ dengan cara memulihara keadaan fizikalnya dan mengisinya dengan pelabagai program bersifat nilai tambah bukan sahaja bercorak akademik tapi juga yang berkaitan dengan kemasyarakatan”, tambah Zulkhairi lagi.

Sementara itu, Guru Besar SK Buang Sayang, Mudin Haji Madin menyeru kepada semua ibubapa yang menerima pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan dan agensinya agar memegang amanah tersebut.

Beliau dengan rasa syukur dan bertanggungjawab meminta agar bantuan atau kewangan yang mereka terima dipergunakan semata-mata hanya untuk tujuan pembelajaran anak-anak tanpa sebarang kompromi.

Program sehari itu pengisian tertumpu dengan ceramah yang menyentuh peluang pendidikan, motivasi, kemahiran keibubapaan dan bicara tokoh yang dikendalikan oleh motivator Jailani Haji Idris dari SMK Gadong, Beaufort; Mohd Fairuz Hj Mohd Yussof, YSZPS dan Mudin Haji Madin, Guru Besar Sk Buang Sayang. Seramai 250 orang ibubapa dan murid-murid tahun 6 menyertai program sepanjang hari itu yang turut menyaksikan penyampaian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada 95 orang murid.

Turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi PIBG Sk Buang Sayang, Sulaiman Haji Ahmad; Pengerusi Penyelaras Program, Mintoh Asai, guru-guru dan kakitangan sekolah.

No comments:

Post a Comment