Monday, August 24, 2009

Pelajar perlu rebut peluang, jangan abai tanggungjawab

Oleh Zabidi Hitam
zabidi@bharian.com.my

PELAJAR jangan menjadi seperti golongan al-Khosirun yang tidak mengambil peluang untuk berjaya, sebaliknya berpuas hati dengan apa yang ada, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kosnon.

Selain itu, katanya, pelajar juga tidak seharusnya berpuas hati dengan kejayaan tidak seberapa hingga lalai menjalankan tanggungjawab belajar dan mengingati Allah.

“Pelajar perlu percaya diri sendiri dengan meletakkan ilmu sebagai keutamaan bagi merubah kehidupan,” katanya pada majlis pelancaran Skim Simpanan Kelab TaHa dan penyampaian anugerah kecemerlangan pelajar peringkat Selangor di Sekolah Menengah Agama Simpang Lima, Sungai Besar, baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Muslimin Yahya. Turut hadir Pengarah Tabung Haji Selangor, Mat Suhaimi Ali.

Mengenai skim simpanan itu, beliau berkata, ia diwujudkan bagi mendidik dan menarik minat pelajar mengamalkan budaya menabung sejak usia muda lagi, selain memperoleh manfaat lain menerusi pelbagai kegiatan dijalankan.

Pada majlis sama, Muslimin menyampaikan hadiah kepada 14 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu.

Sementara itu, Mat Suhaimi menjelaskan Skim Simpanan Kelab TaHa dilancarkan bagi mendapatkan bapa angkat sama ada individu atau tokoh korporat yang ingin menaja pelajar membuka akaun Tabung Haji.

“Kami berharap individu dan tokoh korporat dapat menjayakan skim ini bagi membolehkan pelbagai kegiatan diadakan untuk ahli Kelab TaHa seperti kem bimbingan peperiksaan dan motivasi.

“Setakat ini, seramai 39,472 pelajar di Selangor menjadi ahli Kelab TaHa,” katanya.




No comments:

Post a Comment