Monday, August 24, 2009

Projek kelas tambahan SK Luagan terbengkalai tiga bulan lalu mengecewakan

24th August, 2009

KENINGAU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kesal kerana sebuah projek kerajaan yang bertujuan untuk menambah kelas sekolah di pedalaman terbengkalai dan kini terbiar sejak tiga bulan yang lalu.

Ketua Penerangan parti itu, Rayner F.Udong berkata, usaha wakil-wakil rakyat, pemimpin-pemimpin masyarakat Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan projek tersebut demi kebaikan pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman, digagalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya pelaksana yang sepatutnya menyiapkan projek tersebut mengikut masa yang sepatutnya.

PBRS menerima banyak aduan dari ibu bapa dan orang ramai yang prihatin dengan nasib bangunan tambahan di SK Luagan di sini, sesiapa pun melihatnya kerana ia berada di tepi jalan bersebelahan dengan hospital daerah,” kata Rayner.

Menurut Rayner, pedalaman memerlukan lebih banyak bangunan tambahan di sekolah-sekolah luar Bandar, memandangkan kesesakan di bilik darjah, selain kekurangan kemudahan seperti pusat pentadbiran, asrama, dewan dan makmal.

“ Dengan keperluan yang mendesak kerana sekolah-sekolah kita telah jauh ketinggalan, kegagalan untuk melaksana salah satu dari projek di pedalaman amat dikesalkan. Kegagalan ini menggangu pembelajaran anak-anak kami dan keselesaan guru,” ujar Rayner.

Menurut Rayner projek tambahan itu bernilai RM7.8 juta.

“Mereka (Kontraktor) baru melakukan kerja sebanyak 10 peratus. Namun kerja ini telah terbengkalai sejak 3 bulan yang lalu,” katanya.

Kata Rayner daerah pedalaman amat bersyukur kerana menerima banyak projek tambahan bangunan sekolah termasuk sekolah tersebut. Namun yang malangnya kata Rayner, projek-projek seangkatan dengan sekolah itu telah siap dan bakal digunakan seperti di SMK Keningau II dan SMK Apin-Apin, tetapi bagi SK Luagan yang hanya 3 kilometer dan berhadapan dengan Hospital Besar Keningau terpaksa menunggu pada masa yang lama untuk melihat berdirinya bangunan itu sepenuhnya.

Menurutnya, orang ramai juga turut mempersoalkan keupayaan kontraktor tersebut, kerana telah meninggalkan kerja sejak tiga bulan yang lalu.

Hasil tinjauan didapati nama syarikat dalam papan tanda telah dibuka.

“Kita mahu kerajaan mengambil serius terhadap aduan orang ramai kerana bangunan sekolah sedia ada telah uzur dan sesak. Kerja-kerja terbengkalai ini amat memalukan,” kata Rayner.


No comments:

Post a Comment