Wednesday, July 29, 2009

Banglo, rumah kedai diubah suai jadi tadika

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Usaha tampung keperluan laksana pendidikan prasekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menyewa banglo, bangunan kedai atau rumah teres di kawasan perumahan untuk diubah suai menjadi tadika bagi menampung keperluan pelaksanaan pendidikan prasekolah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ia bagi memastikan kemudahan mencukupi untuk mencapai sasaran sekurang-kurang 80 peratus kanak-kanak dapat akses pendidikan prasekolah menjelang 2012.

Katanya, strategi jangka pendek itu adalah bagi menghadapi kekurangan atau ketiadaan kemudahan akses pendidikan prasekolah, selaras keputusan kerajaan menjadikannya sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

Alimuddin berkata, usaha itu selaras agenda Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, kelmarin, iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, termasuk peringkat prasekolah bagi kanak-kanak di seluruh negara.

“Kajian kami mendapati, kebanyakan kanak-kanak yang tiada akses kepada pendidikan prasekolah adalah mereka yang tinggal di luar bandar dan dari keluarga berpendapatan rendah di bandar.

“Kalau boleh kita mahu sediakan prasekolah di sekolah rendah, bagaimanapun bukan semua sekolah ada ruang untuk pembesaran atau bangunan tambahan untuk tujuan itu, lagipun pembinaan bangunan baru mungkin mengambil masa lama.

“Sebagai langkah jangka pendek dan cepat, kita memutuskan untuk menyewa premis kediaman, banglo atau bangunan kedai, selain memanfaatkan kawasan sekolah menengah berdasarkan keperluan sesuatu kawasan.

“Ketika ini, lebih 3,000 sekolah rendah atau lebih 50 peratus daripada kira-kira 7,000 sekolah rendah di seluruh negara sudah mempunyai program prasekolah sendiri,” katanya kepada Berita Harian.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan NKRA bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) membabitkan enam teras, iaitu mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Di samping pendidikan prasekolah, NKRA lain dalam aspek pendidikan ialah menetapkan semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum akhir 2012.

Kerajaan juga menawarkan Ba’iah baru kepada semua pengetua dan guru besar sekolah ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing, dan sebanyak 100 sekolah akan diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi.

Bagaimanapun, Alimuddin beliau menjelaskan setakat ini pendidikan prasekolah masih belum diwajibkan.




No comments:

Post a Comment