Monday, July 27, 2009

Persekitaran tidak kondusif ganggu proses pembelajaran

PERSEKITARAN sekolah yang tidak kondusif akibat masalah kesesakan boleh mewujudkan kecenderungan pelajar untuk melakukan kesalahan disiplin.

Ketua Jabatan Pendidikan Kaunseling dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rusnani Abdul Kadir, berkata kecenderungan ke arah pelakuan negatif wujud kerana dipengaruhi unsur rangsangan di sekeliling mereka.

Katanya, kesan sekolah sesak membawa kepada fizikal kelas padat menyebabkan situasi tidak selesa kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

“Malah, lebih ketara jika wujud segelintir pelajar nakal yang berperanan sebagai pengganggu bagi menarik perhatian rakan lain yang akhirnya menjejaskan fokus terhadap pembelajaran.

“Kelompok kecil ini mampu merangsang rakan sebaya lain untuk turut melakukan perbuatan sama dan kita khuatir jika tiada pengawalan baik, unsur negatif akan terus meresap serta sebati dalam diri pelajar yang boleh menjurus perlakuan masalah disiplin yang lebih serius,” katanya kepada Berita Harian.

Berdasarkan pengalaman menyelia kaunselor pelatihnya di sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan, Rusnani berkata, beliau mendapati gejala ponteng ketara berlaku di sekolah itu yang mempunyai jumlah pelajar terlalu ramai.

Katanya, sekolah itu mengalami kesukaran menangani masalah berkenaan sehingga sampai ke satu tahap kehadiran pelajar bermasalah tidak dialu-alukan kerana jelas mengganggu proses pembelajaran, selain menyebabkan gejala negatif terus menular kepada pelajar lain.

“Masalah kesesakan juga turut memberi kesan pencapaian pelajar apabila guru sukar menyampaikan pembelajaran dengan berkesan apabila jumlahnya terlalu ramai dalam satu kelas.

“Guru sukar menguruskan masa dengan baik bagi memantau perkembangan setiap pelajar dan mangsanya adalah mereka juga. Bayangkan jika satu kelas ada 45 murid, berapa banyak masa boleh diperuntukkan guru untuk setiap pelajar dan apakah guru mampu memastikan setiap seorang mendapat manfaat,” katanya.

Sebagai kaunselor, katanya, beliau melihat kepentingan faktor rangsangan persekitaran kondusif dan selamat di sekolah khususnya di dalam kelas bagi membolehkan pelajar mempamerkan keseluruhan potensi mereka dalam pelajaran.

“Kita tidak boleh menidakkan kepentingan faktor itu dan ia sewajarnya diambil kira jika mahu terus membina kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.


No comments:

Post a Comment