Friday, July 31, 2009

RM80,000 hadiah Anugerah Tokoh Akademik Negara 2008

PUTRAJAYA: Hadiah wang tunai sebanyak RM80,000 menanti pemenang Anugerah Tokoh Akademik Negara 2008, penerimaan paling berprestij dalam majlis Anugerah Akademik Negara 2008 pada Rabu depan.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata 69 pencalonan diterima bagi merebut enam kategori, termasuk Anugerah Tokoh Akademik Negara.

Beliau berkata, penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara juga akan membawa pulang trofi dan sijil penyertaan.

Katanya, sebanyak RM20,000 pula menanti pemenang kategori lain iaitu Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkormersialan Produk, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Seni dan Kreativiti.

"Penilaian bagi setiap kategori dilakukan Jawatankuasa Pemilih dianggotai pakar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tokoh sektor swasta serta individu yang pakar dalam bidang masing-masing.

"Jumlah penyertaan kali ini meningkat dua kali ganda berbanding hanya 34 pencalonan pada 2007. Edisi sulung anugerah ini pada 2006 mendapat pencalonan tertinggi setakat ini iaitu 196," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijangka menyampaikan anugerah berkenaan.

Anugerah berkenaan bertujuan memberi pengiktirafan tertinggi kepada pensyarah universiti dan kolej universiti tempatan dan menjadi landasan bagi mengiktiraf serta mengharumkan nama negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Anugerah Tokoh Akademik Negara pernah dirangkul Prof Diraja Ungku Aziz pada 2006, manakala Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim muncul pemenang pada 2007.

Sehubungan itu, Radin Umar berkata, pemenang Anugerah Tokoh Akademik Negara akan turut berpeluang menjadi contoh dan dibawa ke universiti tempatan untuk menyampaikan ceramah berkaitan kepakaran mereka.

No comments:

Post a Comment