Monday, July 27, 2009

Martabat bahasa Melayu, perkukuh bahasa Inggeris

26th July, 2009

KUALA LUMPUR: Pendapat bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini boleh menentukan jatuh bangun negara di masa akan datang, bukanlah sesuatu yang keterlaluan.

Ini kerana bahasa Inggeris menjadi lingua franca dalam aktiviti ekonomi global, yang akan menentukan kelangsungan negara ini di pentas dunia.

Ramai yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris (BI) perlu dikuasai oleh rakyat untuk membolehkan negara ini terus maju dan keputusan kerajaan memansuhkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membimbangkan beberapa pihak dan dianggap satu langkah ke belakang.

“Kenapa perlu dimansuhkan PPSMI. Macam mana anak kita nak bersaing dengan dunia luar,” rintih seorang ibu ketika memberi reaksi kepada keputusan kerajaan itu awal bulan ini.

Kabinet memutuskan memansuhkan PPSMI pada 2012 setelah mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu.

Secara tidak langsung, PPSMI juga dikatakan menghakis kedudukan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan, yang menjadi bahasa pengantar persekolahan sejak awal 1970-an.

Lantaran itu, timbul polemik sama ada keputusan kerajaan itu bermakna usaha untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar sudah diketepikan atau isu PPSMI tidak dilihat secara holistik?

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kebimbangan ibu bapa berlaku kerana mereka keliru dengan pemansuhan PPSMI yang hanya menekankan kepada dua subjek, tetapi dasar itu sebenarnya akan diganti dengan dasar yang lebih baik.

“Matlamat asal penguasaan BI dikekalkan, malah ia ditambah baik dengan fokus kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih berkesan,” katanya kepada Bernama di sini.

PPSMI sebenarnya diganti dengan dasar “Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris” atau MBMMBI yang disifatkan sebagai strategi pendidikan serampang dua mata.

Melalui dasar baru itu, penekanan terus diberikan kepada subjek BI dan bukannya melalui subjek Sains dan Matematik, bagi meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Alimuddin berkata antara strategi memperkukuh penguasaan BI itu ialah dengan menambah masa pengajian subjek BI, memperbanyakkan bahan bacaan dalam BI di sekolah, menambah guru terlatih dan memperkemaskan kaedah P&P subjek berkenaan.

Sebagai contoh, masa pengajian BI bagi Tingkatan 1 hingga 3 yang kini 200 minit seminggu akan dinaikkan kepada 280 minit menjelang pelaksanaan MBMMBI pada 2012.

No comments:

Post a Comment