Friday, July 31, 2009

Serangan histeria di sekolah perlu sokongan ibu bapa

JOHOR BAHRU: Ibu bapa tidak seharusnya terlalu bergantung kepada kaedah penyelesaian yang diusahakan pihak sekolah bagi tangani histeria, sebaliknya perlu memainkan peranan masing-masing untuk menghindar gangguan makhluk halus membabitkan anak mereka.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin, berkata langkah itu wajar kerana ibu bapa adalah pihak berkepentingan dalam mengasuh dan mendidik anak di rumah.

"Buat masa ini, kita menggalakkan supaya pihak sekolah meneruskan usaha mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil untuk mengekang serangan histeria atau gangguan makhluk halus terhadap pelajar mereka.

"Bagaimanapun, pada masa sama kita berharap usaha sedemikian tidak hanya dijalankan pihak sekolah sebaliknya diteruskan ibu bapa ketika di rumah," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya 2, Saadiah Said, di sekolah itu, kelmarin.

Mengulas pertemuan selama dua jam itu, Mohd Tahrir berkata, kunjungannya bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian yang didakwa kerap berlaku sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan pelajar dan kakitangan sekolah itu.

"Berdasarkan maklumat, kita kenal pasti kejadian ini bermula sejak April dan menghadapi kemuncaknya pada 8 Julai lalu.

"Bagaimanapun, situasi di sekolah mula menunjukkan perubahan selepas mereka (pihak sekolah) mengambil inisiatif dengan mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil," katanya.

Mohd Tahrir berkata, biarpun gangguan berkenaan sukar dibendung dalam masa singkat, namun beliau yakin ia akan pulih sepenuhnya.

"Apa yang penting, sekiranya wujud serangan histeria atau gangguan makhluk halus, kita harus berdoa dan memohon kepada Allah supaya ia dijauhkan," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin, berkata, hasil perbincangan dengan pihak sekolah mendapati kaedah penyelesaian yang dijalankan institusi berkenaan wajar diteruskan.

"Kita berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah kerana kaedah yang digunakan tidak jauh beza dengan apa yang ingin dilakukan Jabatan Agama negeri.

"Selagi kaedah yang dibuat tidak menyimpang dari agama, kita galakkan pihak sekolah untuk teruskan," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kekerapan serangan histeria di kalangan pelajar dan tenaga kerja SMK Taman Daya 2 yang memerlukan jalan penyelesaian segera termasuk khidmat pakar dalam hal alam ghaib.

Sekolah yang mempunyai 1,295 pelajar itu mula gempar sejak April apabila puluhan pelajarnya diserang histeria sekali gus menimbulkan suasana panik di kalangan pelajar lain dan kakitangan sekolah itu.

No comments:

Post a Comment