Wednesday, July 15, 2009

19 murid keracunan makanan

BANDAR BAHARU 14 Julai - Seramai 19 orang murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Hilir di sini hari ini terpaksa dikejarkan ke Pusat Kesihatan Serdang selepas mengadu sakit perut dan cirit-birit.

Mereka yang berusia antara 8 dan 12 tahun itu dipercayai mengalami keracunan makanan selepas meminum air berperisa anggur yang dihidangkan pada waktu rehat di kantin sekolah terbabit.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu, Harris Abdul Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu, kes tersebut berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Sebahagian daripada murid memakan nasi yang disediakan di kantin terbabit tetapi tidak mengalami masalah.

"Bagaimanapun, seramai 19 murid, masing-masing 16 perempuan dan tiga lelaki meminum minuman berperisa anggur mengadu mengalami simptom keracunan makanan selepas waktu rehat tamat kira-kira pukul 10.30 pagi," katanya.

Beliau berkata, berikutan itu, beberapa guru terpaksa mengejarkan murid berkenaan untuk mendapat rawatan di Pusat Kesihatan Serdang.

Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 15 murid telah dibenarkan pulang selepas keadaan beransur pulih.

Tambahnya, baki empat lagi murid yang kini dalam keadaan lemah dijangka dibenarkan pulang lewat petang ini.

"Pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah telah melaporkan kejadian ini kepada Jabatan Kesihatan untuk melakukan siasatan," katanya.

Harris memberitahu, sepasukan kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kulim/Bandar Baharu juga telah dikejarkan ke sekolah berkenaan untuk mengambil sampel makanan untuk diuji.


No comments:

Post a Comment