Tuesday, July 14, 2009

Bangunan tambahan SJK Tamil Ladang Selborne akan dibina

KUALA LIPIS 13 Julai - Kerajaan berjanji akan membina bangunan tambahan bagi memberi keselesaan kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Selborne dekat sini tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman berkata, permohonan untuk membina bangunan tambahan bilik darjah dan infrastruktur lain di sekolah berkenaan akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

''Kita akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah, bahan bacaan perpustakaan dan kemudahan tertentu untuk keselesaan murid sekolah ini yang rata-ratanya anak pekerja ladang berpendapatan rendah.

''Saya akan cuba menambah baik kemudahan dan mendapatkan bantuan tertentu walaupun status sekolah ini adalah sekolah bantuan modal dan bukan bantuan penuh kerajaan," katanya kepada pemberita ketika melawat SJK Tamil Ladang Selborne, Padang Tengku dekat sini semalam.

Hadir sama ialah Guru Besar SJK Tamil Ladang Selborne, L. Karunnanithy dan Pengurus Ladang Selborne, S. Rajoo.

Menurut beliau, pihak pentadbiran dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu juga perlu membuat permohonan mendapatkan bilik darjah tambahan kepada Kementerian Pelajaran untuk mengatasi masalah tersebut.

''Kita akan berusaha mendapatkan bantuan bagi pelajar Tamil di sini di samping memastikan pelajar dapat belajar dengan selesa," katanya.

Selain bilik darjah, ujarnya, kemudahan lain yang perlu diberi perhatian termasuk bilik komputer, perpustakaan dan bilik guru.

Mohamed Shahrom bagaimanapun memuji sikap murid SJK Tamil Ladang Selborne yang tetap berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum walaupun belajar dalam keadaan serba kekurangan.

''Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan tiada kelompok atau kumpulan etnik yang tersisih daripada menerima kemudahan dan pembangunan," katanya.

Sementara itu, Mohamed Shahrom meminta murid dan guru SJK Tamil dan Cina tidak mengabaikan mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Sebaliknya, beliau mahu mereka berusaha meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

''Realitinya pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan kembali dalam bahasa ibunda masing-masing tetapi pada masa sama murid perlu terus menggiatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

Bahasa Melayu, katanya, menjadi lingua franca sejak beberapa abad lalu dan alat perpaduan selain berkembang sebagai bahasa ilmu walaupun penjajah British cuba mendominasi penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan dan pentadbiran negara.

Beliau menambah, status bahasa Inggeris juga akan dipertingkatkan di sekolah kebangsaan, SJK Tamil dan Cina menerusi beberapa penambahbaikan sejajar dengan cabaran negara menghadapi persaingan global pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment