Friday, July 17, 2009

Pelaksanaan muktamad

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


MUHYIDDIN bersama kumpulan persembahan daripada SK(2) Sultan Alam Shah, Petaling Jaya serta SK Taman Bukit Subang, Shah Alam menunjukkan isyarat 1Malaysia selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.

Kerajaan fokus sedia kurikulum terbaik bahasa Inggeris

PUTRAJAYA: Keputusan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia bermula 2012 adalah muktamad dan kerajaan hanya terbuka kepada pandangan mengenai kaedah melaksanakannya termasuk memantapkan bahasa Inggeris, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, fokus kerajaan pada masa ini adalah untuk melaksanakan dasar baru itu termasuk merangka kurikulum baru bahasa Inggeris yang mula dilakukan sekarang.

"Kita akan menjemput pakar bahasa Inggeris untuk memberikan idea, apakah bentuk komponen kurikulum yang terbaik atau pandangan untuk memantapkan (pengajaran dan pembelajaran) bahasa Inggeris, Matematik dan Sains," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran 2008 di sini, semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 399 kakitangan kementerian itu pelbagai peringkat yang berkhidmat cemerlang pada tahun lalu, menerima anugerah daripada Muhyiddin.

Justeru, Muhyiddin meminta semua pihak termasuk pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) memberikan pandangan yang konsisten dengan dasar utama berhubung perkara itu.

"Setiap dasar yang kita buat perlu konsisten, tidak boleh dalam dasar itu ada 'flip-flop' walaupun kita menerima pandangan semua pihak dan ahli Kabinet untuk mengukuhkan kedudukan berdasarkan dasar itu," katanya.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan melaksanakan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia mulai 2012 muktamad, Muhyiddin berkata:

"Ya (muktamad) dan kita akan laksanakan pada 2012. Yang penting sekarang adalah bagaimana hendak laksanakan berdasarkan dasar baru," katanya

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, sebelum ini yang mahu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik diteruskan dalam bahasa Inggeris bagi pelajar Tingkatan Empat dan Lima dalam aliran sains.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak menolak sebarang cadangan berhubung isu berkenaan tetapi setiap pandangan perlu konsisten dengan dasar utama yang diputuskan.

"Saya tidak katakan pandangan itu tidak penting tetapi setiap keputusan yang diambil perlu konsisten dengan dasar yang besar (utama) yang diputuskan Kabinet," katanya.

Terdahulu, berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata, warga kementerian perlu sedar mengenai keutamaan kerajaan untuk mengenalpasti pendekatan dan strategi terbaik bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.

Beliau berkata, dasar dan strategi pendidikan perlu sentiasa dikaji keberkesanannya dan ditambahbaik khususnya dari aspek pedagogi dan kurikulum pendidikan.

"Kurikulum kita perlu dipastikan sentiasa dikemaskini dan relevan dengan matlamat hendak dicapai iaitu melahirkan modal insan berkualiti," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara penambahbaikan itu adalah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar bandar dan luar bandar.

Beliau juga berkata, sebagai pengurus pendidikan negara, warga Kementerian Pelajaran perlu sentiasa proaktif, responsif dan bersedia untuk menangani perubahan dengan merangka dasar dan strategi yang sesuai dengan keperluan semasa.

"Dengan perubahan pesat yang berlaku dalam bidang pendidikan di peringkat global, kita tidak boleh berpuashati dengan pendekatan dan strategi sedia ada.

"Kita perlu sentiasa meneliti dan menambah baik perancangan dasar dan strategi pendidikan bagi memastikan sistem pendidikan di negara kita sentiasa berada di tahap terbaik," katanya.


No comments:

Post a Comment