Wednesday, July 15, 2009

Polis rampas telefon bimbit rakam adegan gaduh

KUALA TERENGGANU: Polis semalam merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk merakam adegan dua pelajar perempuan Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Dungun, dipukul dan bergusti serta disebarkan menerusi internet.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata telefon bimbit milik seorang pelajar terbabit akan dihantar ke bahagian forensik Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan enam orang, termasuk mangsa bersama rakannya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengambil keterangan daripada pengetua sekolah terbabit.

"Keterangan berkenaan perlu untuk melengkapkan siasatan polis sebelum dihantar kepada Pejabat Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut," katanya, di sini, semalam.

Mohd Fauzi berkata, siasatan kes itu membabitkan dua pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia kerana merakam gambar untuk disebar pada umum.

Beliau berkata, polis mengenal pasti empat pelajar perempuan Tingkatan Dua termasuk seorang yang bertindak merakam pergaduhan itu.


No comments:

Post a Comment