Monday, July 13, 2009

Pemuda sedia perjelas isu batal PPSMI

JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda Umno tidak mempunyai masalah untuk menjelaskan keputusan kerajaan yang membatalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012.

Pengerusi Biro Pengajian Tinggi pergerakan berkenaan, Syahrin Md Jamaluddin, berkata daripada maklum balas awal, masih ada pihak kurang memahami keputusan kerajaan itu, terutama masyarakat bandar.

Sehubungan itu, beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Pelajaran berkata, Pemuda Umno akan turun padang bagi menjelaskan kekeliruan terhadap keputusan itu dan ia diharap membantu masyarakat, terutama ibu bapa memahami keperluan dasar itu dihapuskan.

"Sebenarnya, kalau kita memahami hakikat dasar PPSMI sejak mula diperkenalkan, ia tidak membantu pencapaian murid... memang ada peningkatan penguasaan bahasa Inggeris untuk dua subjek berkenaan tetapi ia sebenarnya hasil inisiatif ibu bapa serta kemampuan murid di bandar yang mengikuti tuisyen.

"Hal ini langsung tidak terjadi di kawasan luar bandar dan penghapusan dasar itu tidak ada kaitan politik, sebaliknya tanggungjawab kerajaan yang mahu memastikan dasar tidak menjadi penyebab kemerosotan murid," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Syahrin berkata, Kementerian Pelajaran akan merangka satu kaedah dalam memastikan setiap terminologi dalam Bahasa Inggeris terus digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik serta Sains apabila PPSMI dihapuskan.

No comments:

Post a Comment