Wednesday, July 15, 2009

Mangsa pergaduhan digantung tiga hari

KUALA LUMPUR: Pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Dungun, Kuala Terengganu yang menjadi mangsa pergaduhan di sebuah surau turut dikenakan tindakan gantung sekolah selama tiga hari.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata penggantung pelajar terbabit dibuat selepas siasatan mendapati dia turut menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan pergaduhan itu.

"Saya difahamkan mereka sengaja merakam gambar kejadian terbabit. Hasil siasatan mendapati mangsa juga turut menimbulkan provokasi sehingga tercetus pergaduhan itu.

"Malah, saya rasa ada pihak yang cuba untuk merosakkan nama baik pelajar dan juga sekolah dengan menyebarkan rakaman pergaduhan itu di internet melalui YouTube," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Kelmarin, pihak sekolah menggantung tiga pelajar perempuan Tingkatan Dua yang bertindak menampar, menumbuk muka dan menyepak pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah surau di Kampung Ketengah Jaya bulan lalu.

Tindakan itu diambil pengurusan sekolah sejak pertengahan bulan lalu selepas menjalankan siasatan berdasarkan maklumat kejadian itu yang disebarkan melalui internet dan telefon bimbit.

Alimuddin berkata, kejadian terbabit kes terpencil dan sepanjang tahun ini hanya dua kes seperti itu dilaporkan, termasuk di Sarawak sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan kerjasama daripada ibu bapa amat penting kerana kebanyakan kes yang berlaku adalah di luar pengetahuan pihak sekolah.

Mengulas mengenai tindakan kumpulan pelajar terbabit yang merakam pergaduhan itu menggunakan telefon bimbit, beliau berkata, Kementerian Pelajaran sudah mengeluarkan pekeliling sebelum ini yang tidak membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

"Sebab itulah kita tidak membenarkan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah. Jika mereka ada urusan mahu menghubungi keluarga, mereka boleh guna telefon pejabat dan juga telefon awam yang disediakan.

"Kalau kita rampas telefon yang pelajar bawa ibu bapa akan melenting. Oleh itu, kerjasama ibu bapa amat diperlukan. Kita akan meningkatkan lagi pemeriksaan penggunaan telefon bimbit di sekolah oleh pelajar," katanya.


No comments:

Post a Comment