Tuesday, July 14, 2009

Syor sekolah di bandar guna PPSMI dikaji

KUBANG PASU: Kerajaan bersikap terbuka terhadap cadangan supaya sekolah di bandar dibenar menggunakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan itu dengan teliti supaya ia tidak bertentangan dasar pendidikan negara dan dasar memartabatkan bahasa kebangsaan.

"Tak apalah, kita teliti apa-apa pandangan daripada orang ramai... Dalam apa hal, apa isu pun saya mengamalkan sikap terbuka dan apa pun kita mesti menghormati suara rakyat," katanya selepas menghadiri majlis Mesra Rakyat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan pelbagai pihak, termasuk beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang kecewa berikutan keputusan Kabinet memansuhkan PPSMI.

Sehubungan itu, mereka mencadangkan kerajaan amalkan dasar lebih fleksibel, iaitu membenarkan PPSMI diteruskan di sekolah bandar memandangkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar terbabit adalah baik.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan PPSMI dan Kabinet meluluskan strategi baru untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris pada semua peringkat persekolahan.

Ia selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu berkuat kuasa 2012.

Najib berkata, walaupun PPSMI dimansuhkan, kerajaan memutuskan untuk mencari jalan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah.


No comments:

Post a Comment