Saturday, July 18, 2009

Mohon masuk MRSM guna Internet

KUALA LUMPUR 16 Julai - Mulai tahun ini, sistem permohonan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi pengambilan pelajar baru tahun 2010 akan dibuat melalui Internet yang dikenali dengan MRSM Online.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah tersebut bertujuan memudahkan proses permohonan selain dapat menjimatkan masa bagi memilih mereka yang layak belajar di MRSM.

Sebelum ini beliau berkata, sistem pengambilan pelajar ke MRSM dibuat secara manual iaitu daripada proses menyiarkan iklan untuk kemasukan tingkatan satu dan empat hingga ke penjualan borang permohonan.

''Melalui sistem talian ini, ia akan memantapkan lagi proses permohonan kemasukan ke MRSM yang sebelum ini dibuat secara manual.

''Sistem tersebut merupakan lanjutan daripada sistem talian yang telah diperkenalkan untuk kemasukan pelajar baru ke institusi pendidikan Mara seperti Universiti Kuala Lumpur, German Malaysia Institute dan Kolej Profesional Mara,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Mara 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek; Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin.

Dalam pada itu Mohd. Shafie berkata, iklan mengenai permohonan kemasukan ke MRSM secara talian untuk tingkatan empat akan disiarkan pada pertengahan bulan depan.

Bagi pelajar tingkatan satu, beliau berkata, ia akan disiarkan seminggu sebelum keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan.

Ujarnya, calon-calon yang ingin memohon kemasukan ke MRSM secara talian perlu mendapatkan nombor pin terlebih dahulu di semua Pejabat Mara Negeri dan Pejabat Mara Daerah yang berdekatan.


No comments:

Post a Comment