Thursday, July 16, 2009

SK St. John 1 ke Pertandingan Robotik Kebangsaan

KUALA LUMPUR 15 Julai - Penghasilan robot angklung yang boleh memainkan lima not muzik membolehkan pasukan Kelab Robotik Sekolah Kebangsaan (SK) St. John 1 menjuarai Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Zon E (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya) hari ini.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan mereka menempah tiket ke pertandingan akhir peringkat kebangsaan di Perlis selama tiga hari bermula 10 Ogos ini.

Pertandingan peringkat akhir akan menyaksikan pasukan tersebut berentap dengan juara dari zon-zon lain untuk mewakili Malaysia dalam World Robot Olympiad (WRO) 2009 di Korea pada November ini.

Guru penasihat kelab itu, Dasimah Mohd. Daud ketika ditemui berkata, SK St. John 1 memenangi pertandingan tersebut untuk peringkat sekolah menengah atas bagi kategori biasa dan tempat pertama dan kedua bagi kategori terbuka.

''Bagi kategori terbuka, konsep yang dikehendaki adalah robot seni. Pelajar telah menghasilkan I-Rat, angklung yang diintegrasi bersama aplikasi robot menggunakan bahan terbuang dan permainan Lego.

''Angklung ini boleh memainkan lima not muzik iaitu A, B, C, D dan E. Untuk peringkat akhir nanti, kita merancang untuk menambah lagi tiga not muzik yang baru," ujarnya.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak.

Sementara itu, ketua pasukan itu, Syazman Irman Mohd. Ariffin, 16, berkata, pasukannya akan mengekalkan konsep yang sama pada pertandingan akhir tetapi akan menambah baik model sedia ada.

''I-Rat boleh berfungsi membaca not muzik untuk lagu Marry Had A Little Lamb berdasarkan bacaan pengimbas cahaya yang mengikut pergerakan tangan manusia menggunakan perisian NXT Brainstorming.

''Idea pembinaannya mengambil masa lebih kurang empat bulan setelah meninjau beberapa alat muzik yang dijual di Pasar Seni," katanya.

No comments:

Post a Comment