Saturday, July 18, 2009

SEDIAKAN ASRAMA, KATA YB

17th July, 2009

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan diminta untuk menyediakan kemudahan asrama jika kementerian itu memutuskan untuk memindahkan pelajar kurang murid ke sekolah-sekolah lain.

Ketika menyambut baik langkah itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronlad Kiandee berkata kementerian hendaklah tidak memindahkan pelajar-pelajar sekolah ini ke sekolah yang tidak mempunyai asrama.

Masidi yang bertanggungjawab soal pelajaran di negeri ini berharap idea itu akan dapat membantu golongan pelajar untuk meningkatkan pembelajaran mereka.

Beliau juga menegaskan bahawa sekolah-sekolah itu, meskipun mempunyai bilangan murid yang kurang, tetapi ia institusi penting untuk penduduk-penduduk di kawasan luar bandar.

“Sekolah ini memainkan peranan penting dari itu Kementerian Pelajaran perlu mengambil pertimbangan sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Sementara itu Ronlad yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata meskipun cadangan itu adalah baik tetapi kementerian perlu memastikan pelajar-pelajar ini terutama yang tinggal jauh dari sekolah baru mereka dibenarkan untuk tinggal di asrama.

“Ia hanya akan mewujudkan masalah jika kementerian tidak menyediakan asrama kepada pelajar-pelajar ini,” katanya sambil menambah terdapat juga pelajar yang kurang murid di sekolah-sekolah di kawasan Beluran.

Kedua pemimpin ini mengulas cadangan Kementerian Pelajaran yang sedang menimbang cadangan memindahkan murid dari sekolah-sekolah kurang murid (SKM) ke sekolah lain yang berdekatan bagi memastikan murid dari sekolah berkenaan dapat meneruskan pembelajaran dalam suasana yang kondusif.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai berkata satu kajian akan dijalankan mengenai cadangan berkenaan terutama berkaitan kos.

“Kita akan buat kajian kos hantar murid ke sekolah lain sama ada lebih ekonomik daripada menampung kos pengendalian sekolah dan guru-guru di SKM… kalau lebih baik, maka kita akan hantar murid ke sekolah lain,” katanya selepas melawat tiga buah sekolah daif di sini kelmarin.

Beliau berkata cadangan berkenaan tidak akan melibatkan penutupan sekolah yang terbabit kerana kementerian telah membuat ketetapan tidak akan menutup SKM.

Dr Fuad berkata cadangan berkenaan dipertimbangkan selepas kajian awal mendapati murid-murid yang berada di SKM terutama yang terlalu kecil bilangan muridnya tidak begitu memuaskan daripada segi prestasi.

“Murid-murid ini yang rugi kerana walaupun ada sekolah yang bilangan guru lebih banyak daripada murid tetapi mereka tidak ada daya saing…pelajar pun hendak pindah,” katanya.

Mengenai SKM, beliau berkata 70 peratus daripada sekolah kategori itu adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil manakala yang lain terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak dan pulau.

Sekolah yang dikategorikan sebagai SKM ialah sekolah yang bilangan muridnya kurang daripada 100 orang.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran telah menjalankan kajian mengenal pasti jumlah SKM dalam usaha menentukan bentuk bantuan atau kaedah tertentu untuk menyelesaikan masalah itu.


No comments:

Post a Comment