Wednesday, July 15, 2009

2 pelajar terlibat dibuang, tiga digantung persekolahan

KUALA LUMPUR 13 Julai - Dua daripada lima pelajar perempuan yang terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah sekolah di Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu dibuang sekolah bermula hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, dua lagi pelajar dikenakan hukuman gantung sekolah selama seminggu manakala seorang lagi digantung persekolahan tiga hari.

"Sekiranya masih ingin meneruskan persekolahan, dua pelajar yang dibuang itu perlu mengemukakan rayuan kepada Ketua Pengarah Pelajaran negeri untuk tindakan lanjut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan disiplin terhadap lima pelajar yang terlibat dalam pergaduhan dan aksi mereka tersebar di Internet dan boleh dimuat turun di laman perkongsian video, YouTube.

Aksi melibatkan empat daripada lima pelajar yang berpakaian seragam termasuk dua daripadanya pelajar tingkatan satu, dipercayai berlaku gara-gara perselisihan faham selain cemburu antara satu sama lain.

Alimuddin menjelaskan, rata-rata pelajar yang terlibat dalam gejala negatif seperti pergaduhan dan buli tidak sedar bahawa ia boleh menjejaskan masa depan mereka.

"Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), mereka yang bertindak sedemikian boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,'' katanya.

Sehubungan itu beliau meminta ibu bapa supaya memainkan peranan memantau perkembangan anak-anak di samping bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menyelesaikan setiap masalah.

"Jangan serah bulat-bulat kepada pihak sekolah untuk menyelesaikan semua perkara berkaitan pelajar, ibu bapa juga wajar bertanggungjawab dalam mendidik anak masing-masing.

"Itu sebab kita minta ibu bapa faham apabila larangan mengenai penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar sekolah diwujudkan, ia demi membendung perkara negatif seperti ini," katanya.


No comments:

Post a Comment