Saturday, August 15, 2009

56 pasukan perubatan bergerak periksa pelajar

Oleh Betty Subaryati
bhkb@bharian.com.my

Petugas beri rawatan kepada pelajar sah dijangkiti H1N1

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan menubuhkan 59 Pasukan Perubatan Bergerak untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan segera di mana-mana sekolah di seluruh negeri ini yang dilaporkan mengalami jangkitan wabak Influenza A atau H1N1.

Pasukan Perubatan Bergerak yang dianggotai pegawai perubatan, pembantu perubatan, jururawat dan pegawai makmal bersedia ke sekolah sebaik menerima laporan ada pelajar memiliki simptom demam panas, selesema dan batuk.

Pemangku Pengarah Kesihatan negeri, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata penubuhan pasukan perubatan itu sebagai langkah mengatasi kebanjiran pelajar yang ingin mendapatkan rawatan kerana risiko dijangkiti wabak H1N1 di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

Katanya, pasukan bergerak itu boleh melawat sekolah sekali gus mengelak pelajar yang disahkan dijangkiti H1N1 dibawa ke klinik atau hospital yang boleh menularkan virus itu kepada orang lain.

"Kita tidak mahu pelajar yang dijangkiti itu dibawa ke klinik kesihatan dan menjangkiti pesakit lain, selain mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital berikutan peningkatan pesakit H1N1," katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Wan Mansor berkata, pihaknya juga kini mencatatkan 13 kes baru jangkitan H1N1 menjadikan keseluruhan kes selesema babi di negeri ini meningkat kepada 84 kes.

"Selain itu, semalam (kelmarin) kita menutup empat lagi sekolah kerana ada pelajarnya dijangkiti H1N1 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, SM Sains Tengku Mohd Faris Petra Pengkalan Chepa dan Sek Teknik Al-Quran Al-Manar 1," katanya.

Katanya, sehingga kini 44 pesakit H1N1 sedang menerima rawatan iaitu 27 pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, Hospital Tanah Merah (satu); Hospital Tumpat (tiga); Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh (satu), Hospital Jeli (dua), Hospital Kuala Krai (tujuh), Hospital Pakar Perdana (dua) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dua kes.

"Sehingga kini sebanyak 15 sekolah dan empat institusi pengajian tinggi (IPT) yang sebelum ini ditutup telah dibuka semula," katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah kedatangan pesakit yang ramai di klinik, pihaknya memanjangkan masa perkhidmatan Klinik Kesihatan Bandar yang akan beroperasi mulai jam 7.30 pagi sehingga 8 malam.

"Malah, Jumaat dan Sabtu juga, tempoh masa perkhidmatan Klinik Kesihatan Bandar dipanjangkan sehingga jam 4 petang dan Klinik Kesihatan Bandar Kota Bharu hingga jam 11 malam," katanya.

Mengenai peperiksaan yang sudah dirancang seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Dr Wan Mansor berkata, pihaknya tidak bercadang menangguhkan peperiksaan itu walaupun ada kes H1N1 di sekolah terbabit.

"Bagaimanapun, pengurusan sekolah perlu mengambil langkah mengasingkan pelajar yang disahkan sebagai pesakit H1N1 dengan pelajar lain sebagai langkah mengelak risiko penularan wabak Influenza A," katanya.





No comments:

Post a Comment