Tuesday, August 11, 2009

Hari Kantin dorong murid cintai bidang perniagaan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
bhkb@bharian.com.my

Program kaedah terbaik dedah pemakanan sihat

KOTA BHARU: Dalam usaha membentuk kesedaran keperluan pemakanan sihat serta semangat berniaga di kalangan murid, pengurusan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 4 (SKSI-4) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menganjurkan Hari Kantin 2009.

Program yang julung kali diadakan itu dijadikan landasan kepada murid memahami pelbagai perniagaan kecil yang dijalankan di sekeliling mereka, di samping memupuk kesedaran terhadap kepentingan pengambilan makanan sihat khususnya buah-buahnya dalam kehidupan harian.

Guru Besar SKSI4, Wan Hassan Wan Abdullah, berkata program itu dianggap kaedah terbaik memberi pendedahan kepada murid-murid untuk memahami cara perniagaan kecil selain membantu mengeratkan hubungan antara sekolah, murid dan ibu bapa.

"Program ini bukan bermatlamatkan keuntungan, sebaliknya sekadar untuk memberi pendedahan, pengalaman serta pengajaran kepada semua murid.

"Program Hari Kantin ini mendapat kerjasama Fama serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan yang menaja acara larian amal bertema Kami Anti Dadah, sejauh 3.5 kilometer yang disertai semua murid. Selepas keletihan berlari pada awal pagi, semua murid pasti mengunjungi semua gerai makanan dan minuman yang dibuka.

"Untuk itu, 11 gerai makanan dan minuman yang dikendalikan oleh murid dengan guru masing-masing dibuka untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka dalam menguruskan perniagaan dan melayani pelanggan," katanya selepas merasmikan program itu.

Wan Hassan berkata, Fama turut membuka dua gerai buah-buahan segar dengan sebuah gerai mengadakan jualan murah hasil dusun seperti durian, rambutan dan manggis, manakala sebuah gerai lagi menyediakan hidangan percuma.

"Semua murid digalakkan mencuba buah-buahan tempatan yang disediakan secara percuma. Mungkin ada yang tidak gemarkan buah-buahan ketika berada di rumah, tetapi peluang mencuba dan menikmatinya bersama rakan-rakan boleh memupuk cita rasa dan selera mereka," katanya.

Beliau berkata, gerai yang dibuka sempena Hari Kantin itu juga membolehkan murid menimba pengalaman dengan mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kelas.

"Sebelum ini mereka hanya belajar matematik secara teori semata-mata dan tidak terdedah kepada situasi sebenar, apabila mereka perlu mengira dengan cepat ketika berdepan dengan pelanggan yang ramai mengunjungi gerai masing-masing.

"Menerusi jualan yang dilakukan ini, sekolah tidak mengharapkan keuntungan, sebaliknya hanya mahu melihat kepuasan dinikmati oleh murid dan guru yang menjayakannya," katanya yang menyatakan bahawa semua keuntungan hasil jualan yang diadakan akan disalurkan kepada Tabung Akademik SKSI-4.

Murid Tahun Enam, Nurul Dalili Khairatun Khairul Ridzuan, 12, menyifatkan program Hari Kantin amat menarik dan membuatkannya berminat mendalami perniagaan.

"Hari ini saya dilantik sebagai jurujual barang perhiasan, ia adalah pengalaman pertama diberi peluang berniaga. Saya harap program ini dijadikan acara tahunan supaya lebih ramai murid yang berminat dalam bidang niaga pada masa depan," katanya.

Rakannya, Salwa Abdul Rahim, 11, berkata Hari Kantin memberi pendedahan kepada beliau dan rakan bagaimana perniagaan kecil dijalankan dan cara menarik perhatian pelanggan supaya barang jualan mendapat sambutan adalah satu pengalaman yang menarik.

"Selain berniaga, memang seronok bila dapat makan buah-buahan bersama kawan-kawan. Ada yang tidak suka makan, tapi bila tengok kawan lain makan, ramai juga yang cuba rasa," katanya.


No comments:

Post a Comment