Thursday, August 13, 2009

Anak demam tidak perlu sekolah

SEREMBAN 12 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan ibu bapa agar sensitif mengenai bahaya wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) dengan tidak memaksa anak yang demam ke sekolah.

Menurutnya, ibu bapa harus faham senario wabak tersebut serta ancaman kepada manusia, khususnya mereka yang mempunyai sejarah penyakit seperti asma, radang paru-paru dan selesema yang serius.

''Anak yang demam tidak perlulah ke sekolah. Ibu bapa kenalah beri nasihat dan duduk di rumah. Buat kuarantin sendiri. Kita bukan sahaja menjaga diri kita tetapi bertanggungjawab kepada kesihatan orang lain," kata beliau.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco yang antara lain membincangkan khusus berhubung wabak H1N1 ini.

Kata beliau, ketika ini Jabatan Kesihatan negeri sedang menimbangkan sama ada Sekolah Menengah Seri Pagi di sini perlu ditutup berikutan seorang gurunya yang kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) akibat jangkitan H1N1.

Beliau menambah, sebelum ini kerajaan melalui jabatan berkenaan dan Jabatan Pelajaran negeri telah pun menutup 13 buah sekolah berikutan penularan wabak itu di kalangan guru dan pelajar.

''Saya telah mengarahkan Jabatan Pelajaran negeri dan Jabatan Kesihatan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Induk Peringkat Negeri Tangani H1N1. Kita minta sekolah kurangkan perhimpunan dan aktiviti luar.

''Kalau kita rasa perlu tutup sekolah terbabit, kita akan lakukan. Tetapi masalahnya, bila sekolah ditutup pelajar yang sihat ini merayau-rayau di pusat membeli-belah. Inilah yang perlu dikawal oleh ibu bapa," kata beliau.

Mohamad memberitahu, sehingga hari ini, seramai 142 orang disahkan menghidap H1N1 dan kini ditempatkan di wad pengasingan di HTJ dan beberapa hospital lain di peringkat daerah.

''Ada yang berada dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ada juga yang dilaporkan kritikal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mulai hari ini saringan lebih ketat akan dilakukan terhadap kakitangan kerajaan dan orang ramai yang datang berurusan di pejabat kerajaan melalui pemeriksaan tahap suhu badan.

''Kakitangan kerajaan yang mencatatkan lebih 38 darjah celsius pada bacaan suhu badan, kita arahkan mereka balik dan berehat. Bagi orang ramai yang berada dalam lingkungan yang sama, juga diminta berbuat demikian," katanya.

Untuk memastikan wabak ini tidak menular, kerajaan juga telah meluluskan pembelian alat pengukur suhu badan serta pencuci tangan untuk kegunaan pejabat kerajaan.

''Kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengurangkan majlis keramaian dan aktiviti luar sehingga ancaman wabak ini diisytiharkan bebas dan selamat," jelasnya.


No comments:

Post a Comment