Tuesday, August 11, 2009

Pelajar antara 15 positif dadah

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Seorang pelajar perempuan tingkatan satu adalah antara 15 yang ditahan kerana positif dadah dalam satu operasi bersepadu di Plaza Tol Jalan Duta di sini malam semalam.

Remaja berusia 13 tahun itu ditahan bersama-sama teman lelakinya yang berusia 20 tahun setelah ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Dr. Sabri Zainudin Zainul berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 178 penunggang dan pembonceng motosikal berusia 20 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 9 malam itu, 15 daripada mereka disahkan positif mengambil dadah.

Menurutnya, 10 individu itu didapati positif dadah jenis ganja manakala selebihnya dadah jenis syabu.

Beliau menyatakan kebimbangannya ekoran penahanan pelajar tingkatan satu.

"Fenomena ini menunjukkan masalah penyalahgunaan dadah tidak akan berkurangan tanpa bantuan masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada masa sama, Sabri Zainudin menyeru ibu bapa, pihak sekolah, majikan dan masyarakat agar sentiasa memantau masalah itu daripada berlarutan supaya dapat mencapai matlamat Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Menurut beliau, operasi sama akan diperluaskan di 93 daerah di seluruh negara sebagai sebahagian dari langkah menyahut seruan kerajaan supaya Malaysia menjadi sebuah negara bebas dadah menjelang 2015.

Operasi itu turut disertai Lembaga Perlesenan Kenderaan Perniagaan (LPKP), Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Rela.


No comments:

Post a Comment