Saturday, August 15, 2009

Bekalan air 148 sekolah terjejas akibat kemarau

Oleh Gerald Chung
bhnews@bharian.com.my

JKR diarah hantar bantuan elak aktiviti harian terganggu

KUCHING: Sebanyak 148 sekolah pedalaman yang bergantung kepada air hujan sebagai sumber bekalan air bersih terjejas teruk akibat kemarau yang melanda negeri ini sejak sebulan lalu dan dijangka berterusan sehingga pertengahan September ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan), Datin Fatimah Abdullah, berkata sekolah terbabit terdiri daripada 132 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah yang tidak mendapat bekalan air bersih 24 jam.

Katanya, sekolah terbabit yang terletak jauh di pedalaman bergantung sepenuhnya kepada air hujan terkumpul sebagai sumber bekalan air bersih.

"Sumber air hujan ini digunakan khususnya bagi pelajar yang tinggal di asrama untuk tujuan memasak, air minuman dan mandi. Ketiadaan bekalan air turut mendedahkan pelajar kepada masalah kesihatan," katanya kepada Berita Harian.

Ketiadaan hujan menyebabkan sekolah berkenaan yang kebanyakannya terletak di Bahagian Mukah dan Saratok mengalami masalah mendapatkan sumber air bersih dengan Jabatan Pelajaran Sarawak terpaksa meminta bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membekalkan air bagi mengelakkan penutupan sekolah.


Jawatankuasa Bertindak Bencana Alam Bahagian juga katanya, telah diaktifkan semula berikutan kemarau yang melanda negeri ini.

Fatimah berkata, JKR telah diarah membekalkan air bersih ke sekolah terbabit bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan.

Sebelum ini katanya, sebuah sekolah yang terletak di kawasan Belawai terjejas teruk kerana ketiadaan air, tetapi hujan yang turun pada malam Selasa mengurangkan masalah buat sementara waktu.

"Sekiranya kemarau berlarutan, lebih banyak sekolah di pedalaman dibimbangi akan terjejas dan terputus bekalan air," katanya.

Fatimah berkata, beberapa sekolah yang terletak di Bahagian Mukah juga telah dibekalkan dengan air mineral bagi memastikan pelajar yang terjejas akibat kemarau mempunyai bekalan air minuman yang bersih.

Berikutan masalah yang dihadapi oleh sesetengah sekolah pendalaman yang masih bergantung kepada sumber air hujan, beliau berharap Kerajaan Pusat dapat mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan sekolah terbabit dapat disediakan dengan bekalan air bersih 24 jam.

"Adalah diharapkan Kerajaan Pusat dapat menyediakan peruntukan bagi memastikan semua sekolah di luar bandar negeri ini dapat dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik," katanya.






No comments:

Post a Comment