Tuesday, August 11, 2009

H1N1: MB saran semua sekolah ditutup seminggu

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my

Langkah bagi elak penularan selesema babi lebih serius

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mencadangkan supaya semua sekolah rendah dan menengah di negeri ini ditutup seminggu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang semakin serius.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan muktamad bergantung kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan kerana pihak terbabit lebih mengetahui tahap penularan jangkitan berkenaan di negeri ini.

"Saya berpendapat semua sekolah ini perlu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana sudah 15 sekolah ditutup setakat ini kerana wabak itu.

"Saya bukan hendak menimbulkan suasana panik kalangan rakyat tetapi wabak ini semakin serius kerana sudah dua kematian dilaporkan berlaku di negeri ini," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai wabak itu di negeri ini selepas merasmikan Ekspo Industri Asas Tani (IAT) Wilayah Timur di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Fama negeri, Manon Jalil.

Sebanyak 183 gerai pelbagai produk pengusaha perusahaan kecil sederhana (PKS) menyertai ekspo tiga hari yang berakhir esok.

Adnan berkata, dua kematian itu membabitkan dua kanak-kanak iaitu Mohd Roshazly Roslin, 5, dari Kem Tentera Batu 10 di sini yang meninggal dunia pada jam 5.22 pagi kelmarin di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Mohd Hyafiq Aiman Mohd Saiful Affendi, 6, Rabu lalu, yang meninggal dunia selepas seminggu menerima rawatan di hospital yang sama..

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan lebih mengetahui situasi yang berlaku ketika ini dan terpulang kepada mereka untuk mengambil sebarang tindakan dan rakyat perlu akur dengan sebarang keputusan yang dibuat.





No comments:

Post a Comment