Tuesday, August 11, 2009

Pelajar perlu manfaat skim bantuan kerajaan

PULAU BANGGI 9 Ogos - Para pelajar khususnya di luar bandar perlu memanfaatkan sepenuhnya skim bantuan daripada kerajaan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Abdul Mijul Unaini berkata, bantuan itu dapat membantu meringankan tanggungjawab ibu bapa menanggung kos persekolahan anak-anak mereka.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersungguh-sungguh membantu pelajar terutama di luar bandar mencapai kecemerlangan akademik menerusi pelbagai skim bantuan.

"Diharap skim bantuan daripada Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ini mendorong pelajar terus belajar bersungguh-sungguh mengejar kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Skim Bantuan Khas Yayasan Sabah kepada 45 pelajar peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi di SMK Kanibongan dekat sini semalam.

Abdul Mijul berkata, usaha kerajaan membantu pelajar miskin tidak akan membawa sebarang makna jika ibu bapa tidak mempunyai kesedaran untuk memberikan keutamaan pendidikan kepada anak-anak mereka.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Ko-Nelayan berkata, pendidikan amat penting kerana tanpa pendidikan, potensi diri tidak akan dapat dikembangkan bagi menjadikan kehidupan yang lebih baik.

"Lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, kita kena bersaing dalam semua bidang bukan saja di dalam negara tetapi juga di luar negara," katanya.

Abdul Mijul turut memuji komitmen Kumpulan Yayasan Sabah menyediakan skim bantuan yang mampu meringankan beban ibu bapa pelajar yang tidak berkemampuan.


No comments:

Post a Comment