Tuesday, August 11, 2009

Ibu bapa bimbang menara pemancar dekat sekolah

Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my

Pembinaan tanpa notis, dibuat waktu malam mencurigakan

KUALA LUMPUR: Bimbang anak mereka terdedah kepada pancaran radiasi yang boleh mengakibatkan kanser, ibu bapa murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Segambut Makmur, di sini serta penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memindahkan sebuah menara telekomunikasi yang terdapat di situ.

Kewujudan menara pemancar setinggi kira-kira 10 meter itu mula dikesan lebih sebulan lalu tetapi penduduk mendakwa tiada sebarang papan tanda didirikan untuk memaklumkan jenis projek malah kerja pembinaan dijalankan pada waktu malam.

Seorang penduduk, Mohd Ishak Sidin, 41, berkata kedudukan menara yang tidak sampai 20 meter dari sekolah membuatnya curiga memandangkan jarak berkenaan terlalu hampir dengan sekolah yang mempunyai kira-kira 500 murid.

“Daripada pembacaan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan jarak menara telekomunikasi perlu sekurang-kurangnya 150 meter dari rumah penduduk namun kini selain kediaman, anak kami terdedah kepada bahaya radiasi.

“Mungkin sekarang kita tidak nampak kesan, bagaimana lima tahun lagi? Kami tidak mahu anak kami menanggung kesengsaraan disebabkan kepentingan pihak lain tambahan pula mereka hanya anak kecil yang belum mengenal dunia,” katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati, kedudukan menara berkenaan yang berada di dalam kawasan berpagar Pusat Komuniti Masyarakat Taman Desa Segambut sekali gus menimbulkan persoalan adakah ia dibina dengan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kementerian berkaitan.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak kelihatan sebarang peralatan tambahan seperti antena atau cakera pemantul gelombang dilihat dipasang di menara berkenaan dan tidak dapat dipastikan sama ada ia sudah beroperasi atau sebaliknya,

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang meninjau tapak menara itu berkata, pihaknya akan mengemukakan aduan kepada DBKL bagi memastikan pembinaan struktur sistem pemancar telekomunikasi itu mematuhi garis panduan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Beberapa ibu bapa murid sekolah ini sudah mengemukakan bantahan kewujudan menara ini kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada Jun lalu dan sebagai susulan saya akan mengenal pasti status projek ini daripada DBKL.

“Melihat kepada kedudukannya yang terlalu hampir dengan sekolah selain dikelilingi kawasan kediaman, saya pasti sesiapa saja tentu khuatir kesan radiasi pemancar ini kepada tahap kesihatan manusia dan tentu saja kita tidak mahu menyesal di kemudian hari,” katanya.

Ibu kepada dua murid sekolah berkenaan, Azizah Ariffin, 38, berkata sebagai ibu beliau menentang kewujudan menara pemancar seumpama itu berhampiran sekolah mahu pun kediaman kerana ia turut mengundang sambaran kilat.

“Kita tidak boleh memandang mudah perkara ini disebabkan sudah terbukti menara pemancar telekomunikasi mempunyai kesan hampir sama dengan pemancar gelombang elektrik yang bukan sekadar membawa radiasi malah mudah ‘disambar’ kilat.

“Saya tidak mahu anak saya terdedah kepada bahaya ciptaan manusia malah saya yakin semua ibu bapa mahu keselamatan anak mereka terjamin lebih-lebih lagi apabila berada di kawasan sekolah yang sepatutnya menjadi lokasi paling menenangkan,” katanya.

Terdahulu beberapa ibu bapa mendakwa, mereka pernah membantah pembinaan menara sama di sebuah padang permainan di taman perumahan berhampiran namun tidak menyangka lokasinya kini diubah di hadapan sekolah anak mereka.

Lebih menggerunkan kata mereka, adalah apabila kajian Profesor Bersekutu Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Adlina Suleiman, tahun lalu mendapati penduduk Taman Subang dipercayai berisiko tinggi diserang kanser dan pelbagai penyakit kronik lain berikutan tinggal berhampiran menara pemancar telekomunikasi.

Kajian kesan radiasi itu dijalankan selama dua minggu membabitkan 170 penduduk taman perumahan berkenaan, mendapati 8.23 peratus responden dilaporkan diserang kanser berbanding tidak sampai satu peratus jumlah keseluruhan rakyat negara ini mengalami penyakit sama.




No comments:

Post a Comment