Tuesday, August 11, 2009

Lima IPG dipilih laksana kursus bahasa Inggeris

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

LIMA Institut Pendidikan Guru (IPG) dipilih menjalankan pengkhususan bahasa Inggeris bagi melahirkan lebih ramai guru terlatih selaras pelaksanaan dasar Memperkasakan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

IPG terbabit ialah Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia dan Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, di Lembah Pantai Kuala Lumpur; Institut Perguruan Dato’ Razali Ismail, manakala dua lagi di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pengkhususan itu membolehkan IPG terbabit memberi tumpuan khusus memperkasakan program latihan bahasa berkenaan.

“IPG terbabit bukan hanya sebagai pusat latihan guru, malah mereka sedang berkhidmat boleh memperkasakan kemahiran dengan mengikuti latihan tambahan.

“Kementerian melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan prasarana pengajaran IPG, antaranya menaik taraf pusat komputer kepada makmal bahasa dilengkapi peralatan canggih,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Syarahan Alumni di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, baru-baru ini.

Menerusi pengkhususan itu, Alimuddin menjelaskan ia antara lain memperkemaskan kurikulum Bahasa Inggeris yang tidak hanya menumpukan pengajaran semata-mata.

“Proses meningkatkan kemahiran bahasa ini perlu dilaksanakan dalam pelbagai kaedah, antaranya aktiviti bercerita, membaca, drama dan menyanyi,” katanya.

Mengenai pelaksanaannya, beliau berkata, guru berpengalaman akan ditempatkan di IPG untuk melatih guru sedia ada, manakala guru baru diberi pendedahan beberapa bulan sebelum mereka dihantar ke sekolah pedalaman.

Selain itu, katanya, kementerian sedang mengumpul data guru Bahasa Inggeris yang akan bersara Julai 2010 untuk diserapkan secara kontrak berhampiran rumah masing-masing.

“Saya yakin, mereka berusia sekitar 58 tahun dan sihat tubuh badan masih mampu meneruskan bakti.

“Dalam hal ini, pejabat pelajaran daerah diminta mengemaskinikan maklumat berkenaan kerana pelaksanaan dasar Memperkasakan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris bermula 2012.

“Data ini penting supaya kementerian dapat membuat unjuran jumlah guru bersara wajib dan mengenal pasti berapa banyak lagi masih diperlukan,” katanya.



No comments:

Post a Comment