Thursday, August 13, 2009

Murid diberi penutup mulut


ZAHARI Sarip (belakang tiga dari kiri) bersama sebahagian murid selepas majlis simbolik penyampaian topeng mulut di SK Kuala Paya, Buloh Kasap, Johor, kelmarin. - UTUSAN/AHMAD Ismail


SEGAMAT 12 Ogos - Prihatin terhadap penularan influenza A (H1N1) atau selesema babi yang semakin serius, UMNO Bahagian Segamat mengagihkan 1,500 penutup mulut dan hidung secara percuma kepada murid sekolah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap di sini.

Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan, Zahari Sarip berkata, inisiatif pihaknya itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya wabak selesema babi dan langkah-langkah pencegahannya.

"Penggunaan penutup mulut ini, walaupun tidak dapat mencegah sepenuhnya, ia dapat mengurangkan wabak tersebut daripada tersebar dengan cepat.

"Kebersihan juga patut diamalkan setiap masa terutamanya kerap mencuci tangan adalah antara langkah mudah yang patut diamalkan di rumah dan di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis simbolik memakaikan penutup mulut kepada murid-murid sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Paya, Buloh Kasap di sini semalam.

Antara sekolah-sekolah yang menerima sumbangan penutup mulut itu adalah SK Batu Anam, SK Seping serta SK Mensudut Lama.

Zahari berkata, kos untuk membeli penutup mulut itu dikumpulkan oleh UMNO Bahagian Segamat hasil sumbangan orang perseorangan serta pihak swasta yang prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan murid-murid di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, berdasar pemerhatian pihaknya, bekalan penutup mulut di pasaran daerah Segamat agak terhad dan beliau berharap syarikat pembekal memandang serius perkara itu.

"Dengan jumlah korban yang meningkat dari hari ke hari, langkah-langkah pencegahan awal serta pengetahuan secukupnya diperlukan untuk mengawal wabak ini," katanya.


No comments:

Post a Comment