Thursday, August 13, 2009

Kementerian Pelajaran akan adakan mesyuarat khas bincang 150 makmal tergendala

12th August, 2009

SIPITANG: Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan 150 buah makmal komputer yang terbengkalai di Sabah termasuklah di Sipitang.

Timbalan menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata perbincangan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung status dan permasalahan yang dihadapi oleh kontraktor dalam melaksanakan projek itu juga akan diadakan.

“Perkara ini perlu segera diberikan perhatian dan saya amat terkejut apabila dimaklumkan oleh pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah mengenai masalah ini … ada sebahagian makmal komputer itu masih dalam rangka,” katanya kepada pemberita selepas perasmian forum pendidikan Parlimen Sipitang di dewan serbaguna di sini kelmarin.

Forum berjudul Permuafakatan Masyarakat Mencemerlangkan Pendidikan itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Sipitang merangkap Ketua Umno Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad; Adun Lumadan merangkap Timbalan Ketua Umno Sipitang, Kamarlin Ombi; Adun Sindumin merangkap Ketua Penerangan Umno Sipitang, Ahmad Bujang; Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh; Pegawai Daerah Sipitang, Abdul Wahap Adbul Hamid dan Pegawai Pelajaran Sipitang, Abdul Razak Abdul Karim.

Puad berkata akibat masalah itu kualiti pendidikan di negeri ini khususnya di luar bandar akan terjejas.

“Kawasan luar bandar memerlukan komputer untuk mengakses internet dan tentunya makmal itu amat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata masalah lain seperti sekolah daif, usang dan kekurangan bilik darjah di luar bandar akan turut diberi perhatian.

Katanya, pihak kementerian memandang serius perkara itu dan tindakan dengan kadar segera akan diambil.

Puad turut melahirkan rasa bangga dengan kerjasama antara jabatan dengan Umno Sipitang menerusi Biro Pendidikan Umno Sipitang yang mengadakan forum seumpama itu.

Katanya, kerjasama itu membuktikan usaha dalam meningkatkan dan keinginan bagi mencapai mutu pendidikan yang tinggi dan untuk melahirkan modal insan yang terbaik demi kepentingan rakyat khususnya generasi muda.

Sementara itu, Sapawi berkata pendidikan merupakan asas terbaik ke arah memperkukuhkan dan mempermantapkan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum.

“Walaupun kita berbeza fahaman politik tetapi pendemokrasian pendidikan membolehkan semua kaum dapat menikmatinya,” katanya.

Menurutnya, dengan kemudahan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan, masyarakat tentunya mahu anak-anak menerima dan mendapat pendidikan yang sempurna.

Beliau berkata ibu bapa yang meletakkan pendidikan sebagai agenda utama pastinya akan berupaya melahirkan keluarga yang cemerlang.


No comments:

Post a Comment