Tuesday, August 11, 2009

Mencorak prestij, kredibiliti sekolah

DI Mount Lawley High School, Perth, Jumaat lalu sekumpulan guru wanita warganegara Indonesia menyapa wartawan TV3, Shahril Kadir bertanyakan kewarganegaraannya.

Apabila disebut Malaysia, mereka bertepuk tangan. ‘‘Tidak sangka jumpa mas di sini, mas pun sama juga mengikuti kami di sini...oo ngak,” kata mereka, sebaik diperjelaskan kedatangan Shahril adalah untuk meliputi lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selama lima hari ke Australia.

Sekolah Mount Lawley menjadi tumpuan rakyat ASEAN berikutan keupayaan kursus insentif Bahasa Inggerisnya – yang banyak diikuti dan berjaya bagi warganegara Vietnam, Thailand dan China.

Kelibat Muhyiddin dan beberapa pegawai Kementerian Pelajaran termasuk Timbalan Ketua Pengarahnya, Datin Asariah Mior Shaharudin di kaunter pertanyaan bangunan pentadbiran sekolah itu bertujuan untuk merangka satu kurikulum komprehensif Bahasa Inggeris di Malaysia – susulan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tempoh hari.

Muhyiddin mengakui tertarik bukan sahaja dengan persekitaran sekolah malah infrastruktur bangunan yang apabila memasuki sahaja ruang legar pejabat – tersergam kaunter pelawat.

‘‘Mungkin dari segi falsafah pendidikan di sini mementingkan pendidikan sepanjang hayat. Mereka mahu memastikan kanak-kanak merasakan bahawa alam persekolahan adalah sesuatu yang menyeronokkan.

‘‘Tidak seperti yang biasa kita hadapi, persekitaran bilik darjah yang agak rigid,” katanya.

Dibuka pada 1955 dengan kapasiti 1,300 pelajar, Mount Lawley Senior High School terbahagi kepada dua komponen yang disertai murid daripada seawal usia 8 dan 9 tahun serta peringkat umur sehingga 11 atau 12 tahun.

Cuma uniknya berbanding sekolah-sekolah di Asia Tenggara, Mount Lawley memiliki pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang sosial dan budaya – hampir 55 bangsa yang bercakap dalam 40 bahasa berlainan dari seluruh dunia.

Antara yang sering disebut-sebut pasal kredibiliti sekolah adalah tentang keupayaannya menghasilkan pelajar yang berjaya dalam bidang multidisiplin – pencapaian tinggi akademik dan pada masa sama lapangan sukan serta pendidikan jasmani.

Berkongsi kemudahan auditorium, perpustakaan, padang, gelanggang sukan, gimnasium malahan tempat letak kereta dengan Edith Cowan University (ECU), sekolah ini juga menjadi cerminan bagaimana penglibatan aktif ibu bapa dalam apa yang menyamai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) – sehingga berjaya mencorakkan perjalanan sekolah ke arah kecemerlangan termasuk menduduki antara 50 sekolah terbaik di seluruh Australia.

Dengan pengambilan subjek wajib yang dihadkan antara empat hingga enam antaranya Sains, Matematik termasuk pendidikan jasmani, pelajarnya dilihat tidak menghadapi masalah untuk mencapai prestij kecemerlangan sehingga lepasannya bukan calang-calang – daripada atlet sukan serba boleh dan terkenal di bumi Kanggaru hingga kepada peguam, jurutera, saintis dan pelbagai bidang profesional lain.

Atas sebab itu Muhyiddin tidak menolak kemungkinan merencanakan perancangan untuk menerapkan komponen pendidikan jasmani dalam sistem persekolahan di Malaysia.

‘‘Kita bukan bercakap tentang sekolah sukan yang memang sedia ada di Malaysia tetapi sekolah-sekolah awam biasa. Juga, bukan untuk memperjudikan jaminan atau peluang pekerjaan pelajar yang mengikuti subjek sukan malah lebih dari itu untuk menjadikan sukan sebagai alat penjagaan kesihatan dan kecergasan,” kata Muhyiddin.

Di ECU yang dikunjungi beliau pula, naib canselornya, Prof. Kerry O. Cox menjelaskan masalah yang dihadapi Malaysia dalam menghasilkan guru Bahasa Inggeris berkualiti seakan-akan sama yang dihadapi oleh Australia.

‘‘Luas negara ini separuh daripada China dan ia merupakan sebuah benua, maknanya memang kami menghadapi masalah menghantar guru ke pedalaman. Namun, kami sedia berkongsi pengalaman dengan Kuala Lumpur,” kata O. Cox.

Di Australia, guru-guru yang ditempatkan di pedalaman diberi insentif tertentu dan apa yang menarik, mereka tidak banyak menimbulkan masalah dan menyuarakan rungutan.

Hasil daripada kunjungan ke ECU yang turut disertai enam pegawai kanan universiti – setiap seorang memberi taklimat pengkhususan kepada Muhyiddin – lalu dimeterai satu memorandum persefahaman untuk membolehkan pakar-pakar Bahasa Inggeris ECU ke Malaysia sekali gus menjadikan Kuala Lumpur rumah kedua mereka.


No comments:

Post a Comment