Tuesday, August 11, 2009

Pelajar boleh terus guna PPSMI

Oleh Kadir Dikoh di Perth, Australia


MUHYIDDIN pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan kerja ke Perth, semalam. Turut hadir (kiri) Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Salman Ahmad.

Murid diberi pilihan jawab Bahasa Malaysia, Inggeris

PELAJAR yang memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris boleh terus berbuat demikian sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah menengah mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran berkata, isu itu turut dibangkitkan rakannya dalam Kabinet dan beliau mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan mengenainya.

"Kami membincangkan perkara itu," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja lima hari beliau ke Perth yang berakhir semalam.

Muhyiddin berkata, pelajar yang mula belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris akan terus diajar dalam bahasa itu, dan mempunyai pilihan dan kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

"Saya mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bimbang. Kami menggunapakai pendekatan berlembut... memberi peluang untuk bergerak secara perlahan-lahan ke dalam sistem baru," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan perubahan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan kembali kepada dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing dari 2012.

Menyentuh isu lain, Muhyiddin berkata, kerajaan mengkaji kemungkinan membenarkan pemegang biasiswanya yang belajar di luar negara untuk bekerja secara sambilan berikutan kenaikan kos sara hidup meningkat dan kesan kemelesetan ekonomi global.

Katanya, pada masa ini peraturan melarang pemegang biasiswa bekerja, kerana mahukan tumpuan diberikan kepada pelajaran sebagai matlamat utama.

"Saya berpendapat kita perlu kaji semula perkara ini, kerana walaupun kerajaan sudah menaikkan kadar biasiswa 100 peratus sebelum ini, kesan kegawatan ekonomi sejagat masih menjejaskan mereka.

"Mungkin mereka dibenar bekerja ketika cuti semester," katanya.

Setiap tahun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan biasiswa kepada 2,000 pelajar untuk belajar di luar negara dan ketika ini ada lebih 10,000 pemegang biasiswa JPA sedang menuntut di seluruh dunia.

Selain itu, katanya, kerajaan akan mengkaji permintaan pelajar dan masyarakat Malaysia di Perth untuk mewujudkan sebuah Dewan Malaysia (Malaysia Hall) di Perth.






No comments:

Post a Comment